Wednesday 26 December 2012

Tempoyak Ikan Patin Kg Jo'o.

nasamulia
Tempoyak Ikan Patin Kg Jo'o
Assalam semua,
Mulia nak share dengan you all semua makanan asli orang Pahang iaitu Masak Tempoyak Ikan Patin.  Mulia mamang gemar sgt dengan lauk ini sejak diperkenalkan oleh sahabat baik Mulia ketika singgah makan di R&R Sungai Perak.  Sejak dari itu, setiap kali ada peluang lalu R&R Sungai Perak tak kiralah perjalanan menghala ke arah selatan atau arah utara, mesti singgah pekena Tempoyak Ikan Patin.  Kekadang siap tapau bawa balik.  

Allah dah aturkan bertemu jodoh dengan orang Pahang, nah ambik ko, tiap2 hari boleh makan lauk ini.  Mentua dah bekalkan tempoyak dan belajarlah masak sendiri menu ini.  Resepi yang suami Mulia ajarkan, masak tempoyak ini tidak menggunakan sebarang bawang, simple sangat tapi rasa memang sedappp.

Tempoyak Ikan Patin Kg Jo'o
1 ekor ikan patin sederhana besar - siang dan potong kecil
2 ketul kunyit hidup (sebesar ibu jari) - tumbuk bersama cili dan tempoyak.
6 biji cili padi (ikut kepedasan masing2) - tumbuk bersama kunyit
4 sudu tempoyak - tumbuk bersama kunyit dan cili
2 keping asam keping.
Garam secukupnya
1 sudu gula.
1 biji timun tua (xde yang tua, muda pun boleh) hanya buang biji, kulit x perlu kupas dan potong serong
Sedikit Daun kesom
2 kuntum bunga kantan - belah dua
*Didikan air sebanyak 1.5litre, dah mendidih masukkan bahan tumbuk tadi.  Kalau kuah agar cair, pekatkan dengan menambah tempoyak dan kacaukan sehingga sebati.  Masukkan ikan, timun, bunga kantan, daun kesom dan asam keping.  Perasakan dengan garam dan gula.
Selamat mencuba. Wassalam.
nasamulia
Kalau tak suka ikan patin - pembaca boleh tukar dengan ikan lain ikan siakap atau ikan merah.


Thursday 20 December 2012

Aprreciation Lunch, Thank You Boss!

Assalam,
Alhamdulillah syukur kepada Allah yang telah melimpahkan rezekiNya.  Sebenarnya kami baru balik dari lunch kat Eastin Hotel, PJ.  Lunch yang di atur untuk menghargai jasa pekerja-pekerja syarikat (termasuklah saya..hehehe perasan sket, proud as one of the employee)....thank you boss..thanks EDEN.  Pada hari ini jugak kami diberi bonus...yahooo tu yang di tunggu2 oleh semua. 

Hopefully next year boleh bekerja dengan prestasi yang lebih untuk mencapai target company;
nasamulia
Happy jer dapat kuar makan...
nasamulia
Ariati - Muliati
nasamulia
Pose @X'mas Tree
nasamulia
Buffet for Starter & Appertiser...
nasamulia
Pose @ buffet counter

Tuesday 18 December 2012

Sayur Air Baik Untuk si Demam Selsema

nasamulia
Sayur Air
Assalamualaikum wbt,
Ketika cuaca tidak menentu kejap panas kejap hujan lebat di tambah pulak musim buah.  Memang ramai antara kita yang alah dengan keadaan cuaca yang tidak menentu ini, terutama mereka yang antibodi kureng power.  Demam, batuk dan selesema serta tekak perit seakan benda yang dijamah semuanya adalah jadam yang pahit.

Berikut adalah petua daripasa tuk2 dan nenek2 kita ketika musim sakit menular begini, sebagai langkah pencegahan atau rawatan ketika dalam demam.
1. Kalau lepas kena hujan masa kt luar, balik umah mandi dan basahkan kepala...minum air suam banyak2.
2. Sesiapa yang dah terkena selsema atau hidung berair tu...cara cepat untuk melegahkan hingus dari asyik meleleh ialah, bangun awal pagi mandi dan basuh kepala(waktu subuh paling baik).  Ketika mandi waktu petang, jangan sesekali basuh kepala, amalkan selama 3 hari Insya Allah, selsema cepat kebah.
3. Kalau dah di serang demam, amalkan minum air kelapa yang di campur sedikit safron, untuk mengeluarkan haba berlebihan dalam badan.
4. Sentiasa menekap ubun2 dengan tuala lembab ketika demam.  Ada jugak yang mengamalkan dengan membuat pilis menggunakan asam jawa atau daun bunga raya.
5. Tentang makanan pula, seeoloknya sediakan makanan yang berkhasiat dan mudah dihadam. Bubur nasi dan sup sayur yang dicampur dengan isi ikan, ayam atau telur...(bab ini Mulia paling suka, terkenang semasa kecil2 dulu, bila demam jer, arwah nenek akan terkocoh2 menyediakan bubur nasi special untuk mulia).
6.  Pastikan minum air dengan banyak.

Sayur Air
1 batang Leek - potong serong
1 batang Fucuk - rendam sehingga lembut dan potong pendek
1 gulung kecik soohoon - rendam sehingga lembut dan potong pendek
1 batang Celery - potong kecil
1 batang Carrot - potong dadu
1 pokok Sawi - potong
2 biji Bawang merah - tumbuk
Sedikit ikan bilis ditumbuk bersama bawang (boleh jugak guna stock ikan bilis)
1 litre air
 *Tumiskan bahan tumbuk hingga wangi.  Masukkan air biar mendidih dan masukkan sayur celery n carrot.  Bila dah empuk boleh masukkan sayur yang lain dan perasakan.

Saturday 15 December 2012

Sambal Tempoyak Udang Dan Petai Batu Balai

nasamulia
Sambal Tempoyak Udang dan Petai Batu Balai.
Assalamualaikum wbt....
Lima belas tahun dahulu Mulia pernah dijamu dengan menu ini oleh seorang kenalan ketika berbuka puasa bersama, hanya sekali itu Mulia rasa sambal tempoyak yang ditumis dengan udang tetapi sehingga kini masih terasa keenakannya.  Rasa rugi jugak sebab x sempat nak minta resepi dari kawan itu.  Selepas itu Mulia hanya menjumpai sambal budu yang ditambah tempoyak (yang ini Mulia kurang sikit, x boleh terima rasa durian yang manis makan dengan nasi).

Tak sangka bertemu jodoh pula dengan orang Pahang, menu yang selami ini dicari rupa2nya menjadi sebahagian hidangan wajib sehari2 di rumah mertua. Alhamdulillah selepas memendam rasa lebih 10 tahun, Allah memberi peluang Mulia merasa dan mencuba memasak sambal tempoyak udang.   "Dah kahwin dengan orang Pahang kenalah belajar masak dan belajar makan makanan mereka" itu pesan yang diterima dari sabahat baik Mulia.  Segalanya tentang makan Mulia tiada masalah, cuma nak masak tu yang ralat sikit,  tapi demi sesuatu yang dihajati, segala alasan ditolak tepi.

Jom kawan2 kita cuba memasak resepi ini, ianya mudah bak kata orang expect di dapur, main campak2 aje.  Nama Batu Balai sempena nama kampung  tempat Mulia kutip pengalaman memasak sambal ini.  Ini pertama kali Mulia masak ini, komen suami "Sedap, rasa ok, tapi berminyak sikit" erm ok, next time kurangkan minyak ketika menumis.
nasamulia
Siap untuk menjamu selera
Sambal Tempoyak Udang Dan Petai Batu Balai
300gm isi udang
1 cawan isi petai
2 sudu besar tempoyak
3 ulas bawang besar - mayang halus
3 ulas bawang putih - mayang halus
5 ulas bawang kecil - mayang halus
1 ketul halia muda - mayang halus
1camt serbuk kunyit
Garam
Minyak untuk menumis.

* Cara masak sangat simple, tumiskan bahan2 yang telah di mayang bersama serbuk kunyit hingga layu, masukkan udang, isi petai, tempoyak dan serbuk perasa.  Kalau terlalu kering boleh masuk sedikit air dan tumis hingga pekat.

Aku Terima Nikahnya..........

nasamulia
Thumbs Up for .....Aku Terima Nikahnya!!!
Assalamualaikum wbt.....
Segala Puji hanya pada Allah, pencipta dan pentadbir sekalian makhluk dan selawat salam untuk Muhammad saw junjungan besar umat islam yang mencintai semua umatnya jauh sebelum kita dilahirkan ke dunia ini.  AKU TERIMA NIKAHNYA............lafaz keramat sang suami ketika majlis ijab dan kabul, yang merupakan titik permulaan hidup berumahtangga.  Penulis menukilkan bahawa perkhawinan bukan jalan penyelesaian tetapi ianya satu titik permulaan untuk merealisasikan sebuah GAGASAN.

Alhamdulillah, semalam baru selesai membaca buku ini setelah tertangguh sekian lama.  Sebenarnya Mulia beli buku ini agak lama sebelum ada ura-ura akan melangkah ke alam perkhawinan.  Kini dah memasuki alam perkhawinan baru ada kelapangan untuk membacanya.  Agak rugi jugak rasanya sebab x sempat khatam sebelumnya.

Mulia suka dengan kata-kata dalam buku ini antaranya....."bergaduh, merajuk, mengamuk adalah peluang yang dianugerahkan kepada pasangan suami isteri, janganlah kita sia-siakan peluang yang ada dan pandanglah dari sisi yang positif"....semoga ianya lebih meningkatakan rasa cinta dan sayang dan memberi kematangan fikiran diikuti dengan tindakan-tindakan yang tetap menghadapi ujian selama dalam alam rumahtangga ini...

Buku yang amat baik dan berguna untuk semua, yang ditujukan khas untuk lelaki dan perempuan, WAHAI adik2ku, teman2ku dan sahabat2ku semua jangan ada diantara anda yang terlepas peluang untuk membaca buku ini. Terima Kasih banyak untuk Ustaz Hasrizal Abdul Jamil yang dikurniakan Allah cetusan ilham untuk menghasilkan buku ini.  Wassalam!!


Friday 14 December 2012

13.12.2012 - Happy Birthday to My Hubby.


Assalam,
Semalam hari gembira dan bermakna untuk en. hubby, Selamat Hari lahir Abang.  Walaupun xde wat party atau acara potong kek serta tiupan lilin, Ayang harap kita jadikan hari bahagia ini sebagai detik untuk kita muhasabah diri tentang matlamat hidup sebagai hambaNya.  

Semoga abang dikurniakan keberkatan hidup dunia akhirat,  murah rezeki dan kesihatan yang baik.
nasamulia
Happy Birthday Abang!!

Monday 10 December 2012

Bestnye...Balik Kampung Ketika Musim Buah

nasamulia
Bekalan Dari Kampung, Macam2 ada - Rambutan, Tempoyak, Petai Papan dan yang dah siap jeruk pun ada.

Assalam,
Hujung minggu lalu Mulia dan suami sempat balik kampungMentua dah banyak kali call suruh balik makan buahSo kebetulan hujung minggu lepas, suami boleh dapat pelepasan 2 hari...yahooo balik kampung, ohohohoh balik kampung.  Dua hari x cukup, x puas nak makan banyak2, so kita tapaulah bawa balik KL.  Ikutkan hati nak bawa balik semua yang adaYang wajib dibawa balik sebagai bekalan ialah cili padi kampung, tempoyak dan petai jeruk hand made bapak mertuaku.
nasamulia
Raja Buah - tak lupa punya, angkut sekali yang isi dan yang masih cantik dengan kulit dengan durinya
Seterusnya ini lah aksi-aksi memetik buah rambutan.
nasamulia
Yang lerai kat bawah pokok jangan x kutip, X baik membazir
nasamulia
Yea dengan bangganya sebab dapat mematahkan ranting pokok sekali....hehehe Takpe! Suami kate, tahun depan tumbuh dengan ranting yang baru.
nasamulia
Close Up Sket buah rambutan yang ranum, yang ini Rambutan Species apa x tahu, rasanya manis, x berair, biji yang kecil, nipis dan leper, banyak jugak yang Mulia jumpa lansung xde biji..itu yang syok makan rambutan jenis ini.

 

Sunday 9 December 2012

Kisahku dengan Cendawan Kukur @ Kulat Sisir - Keddi' / Peppi'

Cendawan Kukur @ Kulat Sisir
Assalam semua,
Sebagai seorang anak kampung, pengalaman mengutip kulat sisir adalah sesuatu yang tidak dapat dilupakan oleh Mulia.  Tapi kulat dalam gambar kat atas ini, di ambil dari peti ais ibu mertuaku....hehehe.  Kulat ini juga juga dikenali sebagai peppi' atau keddi' dalam bahasa Bugis.  Kulat ini suka tumbuh di batang kayu getah mati dan membiak subur ketika musim hujan.  Batang kayu jenis lain juga mampu membiakkan kulat sisir ini, namun tidaklah selebat seperti yang tumbuh di kayu getah.  

Pernah sekali pengalaman bermain ketika musim hujan dan menjumpai banyak kulat sisir di pokok getah.  Mulia dan rakan2 yang lain memang gemar memakan cendawan ini, so masing2 berebut2 nak kutip untuk dibawa balik ke rumah.  Senyum bila terkenang, balik umah nanti, mak x akan marah mandi hujan sebab ada alasan pergi mutip kulat...hehehe...Dalam ghairah memetik kulat, masing2 xde yang membawa bekas untuk mengisi kulat, so ada antara kawan yang bungkus dengan baju, daun pisang atau apa saja yang difikirkan sesuai....Mulia x kan nak buka baju pulak, sebab antara kami ada jgak kanak2 lelaki....malu Ler...Mulia pun terlihat ada pokok keladi di kawasan tersebut, daun hijau dan besar pulak...erm elok ini, daun besar boleh isi banyak kulat banding dengan kawan2 yang lain yang cuma menggunakan daun pisang kering dan mudah koyak pulak...perasaan tamak sentiasa ada.  Petik jangan x petik, memang banyak sangat kulat dapat dibungkus dalam daun keladi tersebut

Boleh kata habis licin kulat di kawasan itu kami petik, rengsa atau miang keladi memang ada tapi x terfikir gatal tu datang dari getah pelepah dan daun keladi, ingatkan sekadar gigitan nyamuk atau sebab main air parit tadi.  Lepas dah puas hati dan bungkusan masing2 penuh, kami pun bailk dan meninggalkan tempat tersebut untuk balik ke rumah masing2 sampai bergelak ketawa.  "Ya Allah, Anakku ko pegang apa tu? Cepat2 buang bungkusan tu, buka baju dan pergi mandi" emak separuh menjerit....heran sungguh Mulia dengan reaksi mak, bungkusan cendawan terpaksa mulia campakkan sebab emak dah tarik tangan mulia masuk bilik air.

Mulia mengaru kepala dan seluruh badan sperti kanak2 yang kebingunngan ketika mak mandikan Mulia.  Lepas mandi mak tarik Mulia ke hadapan cermin, barulah Mulia tahu yang seluruh badan telah merah akibat biang daun keladi si pembungkus kulat tadi.  Mulia mula menangis sementara arwah nenek mengambil alih tugas mak dengan menyapu ubat ke seluruh badan.  Usapan jemari mereka diselami dengan leteran panjang kerana kedegilanku ketika itu. Bertambah deras air mata Mulia jatuh semakin rancak arwah nenek menegah Mulia daripada menggaru badan yang gatal.  Mak dan arwah nenek menuam seluruh badan mulia dengan air panas yang di isi ke dalam botol, almaklum ketika itu mana ada hot water bag lagi.  Mulia disuruh memeluk botol tersebut sampai berbaring untuk mengurangkan rasa gatal.  Belaian dan usapan arwah nenek menyebabkan Mulia tertidur sehingga ke petang.  Selepas bangun tidur badan yang gatal dah berkurangan dan kulit juga beransur-ansur kembali ke warna asal.  Begitulah kisah Mulia dengan cendawan ini, setiap kali terjumpa dengan benda ini, kenangan lalu akan terimbas di benakku..

Berikut adalah info berguna berkenaan kulat sisir yang mana mungkin ramai di antara kita yang tidak mengetahui khasiat pemakanan kulat atau cendawan tradisional ini.  Kulat sisir mempunyai khasiat yang sangat tinggi utntuk kesihatan kita kerana mengandungi schizophllyan yang bersifat anti tumor dan anti kanser. Ia juga mampu meningkatkan sistem imun badan. Selain itu, ia bersifat anti bakteria, anti parasit dan anti radang. Khasiat yang terdapat dalam kulat sisir ini mampu melindungi dan mengawal hati.


Friday 7 December 2012

Bihun Singapore versi Che Nasa

nasamulia
Bihun Singapore versi Che Nasa.
Salam Jumaat,
"Makan bihun jer, boleh kurangkan barat badan, jangan ambik nasi langsung" itu antara nasihat dari seorang rakan yang geram tengok badan Mulia yang makin bam bama...hehehe......Makan Bihun untuk diet...betul ker?  begitulah yang Mulia dengar dari ramai orang, yang berjaya kuruskan badan dengan makan bihun saja pun dah ada contoh....tapi klau ada tips2 lain separti senaman atau ubatan lain, wallahualam le.

Mulia pun cuba nak meracun suami untuk makan bihun jer, kadang2 kalau bosan dengan bihun tukar masak spagheti untuk berdiet.  Tapi jalan sekejap jer, pastu makan seperti biasa, bihun, mee, nasi, roti semua hantam....semangat hangat2 tahi ayam la katakan.  Sepupu Mulia kata, tahi ayam tu lagi hangat dari we all.  Apa2 jelah, klau dah namanye dua-dua orang food lover,...pantang nampak, air liur kecur saje.  Mari kita share antara menu bihun yang disediakan oleh Che Nasa dalam program dietnya....jom

Bihun Singapore 
Bahan-bahan
1 bungkus Bihun Kasar - rendam dan toskan air.
1 biji Bawang Besar - mayang halus
5 biji Bawang Kecil - mayang halus
3 biji Bawang Putih - mayang halus
300gm isi Ayam - potong kiub
2 batang Sawi - potong kecil2
1 biji Carrot - sagat kasar
2 sudu Lada Hitam - tumbuk lumat (lebihkan kalau suka pedas)
2 biji Telur
Minyak untuk menumis
Garam
2 cawan air
* Tumiskan bawang hingga perang, masukkan isi ayam dan garam.  Bila ayam dah masak, masukkan sayur dan bihun.  Letakkan air.
*Biar seketika dan wap air naik untuk melembutkan bihun, tambahkan perasa dan serbuk lada hitam. Kemudian gaul rata hingga bihun lembut.


Tuesday 4 December 2012

Musim Durian Datang Lagi

nasamulia
Isi Durian - Musang King
Salam sayang untuk semua penggemar durian....
Kita kat Malaysia nie memang terlalu bertuah merasa pelbagai musim berbanding hanya 4 musim di negara barat (musim yang merujuk hanya kepada perubahan cuaca). Kalau nak banding cuaca di Malaysia musim hujan dan panas memang sepanjang tahun, dan ini bukan penghalang untuk kita meraikan pelbagai musim yang lain....musim kenduri kahwen, musim cuti sekolah, musim buah, musim perayaan dan macam-macam musim lagi ada.

nasamulia
Jemput semua makan Pulut Durian
Musim buah, sapa yang tak suka musim ini, jawapannya semua orang akan tertunggu-tunggu akan musim ini.  Kalau tak percaya, takdelah gelaran "sedara musim buah" iya tak?.  Lawak je kawan2 jgn lah terasa, kita ambik yang positifnya.  Kadang dalam musim buah ini boleh mengembangkan silaturrahim, orang yang tak pernah jumpa boleh bertemu, mana tidaknya mereka yang berasal dari kampung, membawa kawan2 balik kampung makan buah.  Ahli keluarga yang lain pun dapat berkenalan.  Dari satu sudut lain pulak.  Musim buah ini boleh meningkatkan amal ibadat dengan bersedekah buah yang berlebihan.  Rezeki yang Allah beri kita kongsi2kan.  Anak2 balik dari kampung bawa buah ke bandar lalu memberi kepada jiran2 atau rakan sekerja.   Maka berkembanglah amal jariah ibu bapak di kampung.

Klau ada antara orang di luar sana yang rajin untuk membuat kaji selidik tentang jenis buah yang paling digemari, best jugak kan.  Boleh leh kita tahu buah mana yang menjuarai carta..hehehe xde kerje lain ke?, sape nak biayai kos banci?....Tapi rasa2 Mulia kan Raja Buah yang Menang sebab dah dapat title King of the Fruits sejak azali lagi...Durian, Lulian, Doyan, Derie, Duriang walau bagaimanapun cara sebutan, namun kita bercakap pada benda yang sama - DURIAN

Tabik spring pada yang kreatif dan inovatif dalam mempelbagaikan cara durian ini dikomersialkan.  Pelbagai resepi telah dicipta, tradisional diadun dengan yang baru, yang tempatan boleh ditemukan dengan western atau fusion.  Di medan masakan tercetuslah resepi2 seperti kek durian, cheese cake durian, crepe durian dan macam2 lagi. 

nasamulia
Pinggan yang pertama

Mulia tak berkesempatan lagi nak mencuba resepi2 baru dan terhangat di pasaran tu, so apa yang mampu musim durian kali ini, Mulia hanya sempat menyediakan pulut durian. Resepi lama, sungguh ngam klau diaspirasikan oleh orang muda.  Apa yang Mulia perasan, nenek moyang kita jugak tak kurang kreatifnya dalam mengaspirasikan durian dalam kehidupan mereka.  Bukan hanya dihidang sebagai dessert (cucur duiran, serawa durian, pulut duiran, dodol durian, kuah durian) mala dijadikan sebagai bahan rencah dalam lauk pauk seperti dalam menu masak lemak tempoyak mahupun sambal tempoyak.
nasamulia
Isi Durian Jenis Apakah Ini?...Musang King @ D24 @ D48 @ Kucing Tidur @ Udang Merah -            Dan asal durian yang di tanam dari mana yang paling sedap?....Pulau Pinang @ Segamat Johor @ Raub Pahang @ Taiping Perak

Monday 3 December 2012

Sambal Buah Keras - Pecco Pelleng'




nasamulia
Sambal Buah Keras - Pecco Pelleng
Salam Semua,
Anda kenal dengan buah keras atau dalam bahasa Inggeris dikenali sebagai candlenuts atau kemiri dalam bahasa Indonesia?...klau orang lama2 mesti tau sebab selalu guna buah keras dalam masakan.  Penambahan buah keras dalam masakan selalunya untuk memekatkan kuah atau menambahkan rasa lemak.  Bagi masyarakat nusantara, buah keras memang digunakan secara meluas terutama di Malaysia dan Indonesia (negara pengeluar terbesar).

Ketika zaman kanak-kanak, Mulia biasa menolong arwah nenek untuk membuat lilin menggunakan buah keras.  Isi buah keras ditumbuk bersama kapas sehingga lumat.  Paste buah keras ini kemudian dilekatkan di lidi kelapa sebelum dibakar.  Bagi upacara2 adat bugis lama (adat seperti ma'pano, ma'pacci' ), lilin buah keras adalah satu kemestian yang perlu disediakan. 

Kat sini Mulia nak kongsikan satu resepi sambal yang menggunakan buah keras.  Cara membuatnya pun mudah dan cepat.  So jom kita try sambal ini.....
nasamulia
Isi Buah Keras yang telah dikeluarkan dari kulitnya
Sambal Buah Keras (Pecco Pelleng' / kemiri)
Bahan-bahan
5 biji Buah Keras (candle nuts / pelleng' / kemiri)
1 biji Cili Hijau
1 biji Cili Merah
1 biji Bawang Merah
1 biji Bawang Putih
5 biji Cili Padi
1 biji Tomato
*Gorengkan semua bahan di atas sekejap atau sehingga agak layu.
Gararm
Isi ikan goreng - ambil agak2 dari 2 ekor ikan kembung.
*Tumbukkan bahan yg telah digoreng dan masukkan isi ikan, perasakan.

Friday 30 November 2012

Bihun Sup Ikan Kerapu Chinese Style

nasamulia
BIHUN SUP IKAN KERAPU
Salam Petang Jumaat semua,
Yahoo seronoknya bila sampai hari jumaat, sebb esok adalah hari cuti untuk meninggalkan tugasan2 di tempat kerja.  Pastinya bagi yang bekerja hari jumaat adalah hari yang di tunggu-tunggu, kalau boleh hari2 nak hari jumaat, lagi2 yang kerja gomen tu....betul tak?...Cuti dari buat kerja2 opislah, laksana pertukaran shift untuk selesaikan tugasan rumah tangga yang banyak tertinggal dalam seminggu.

Mulia nak kongsikan satu resepi suami Mulia, yang memang urmpphh..bolehlah kawan2 semua mencuba untuk menghidangkan dengan keluarga ujung2 minggu ini.  Bagi kita yang biasa makan sup ayam atau daging, apa kata kita tukar sikit selera dengan memasak sup ikan ini, menu yang memang femes bagi masyarakat cina...Mulia tak nak celoteh panjang kat sini, selamat mencuba dan selamat berhujung minggu...
Bihun Sup Ikan Kerapu

500gm ikan kerapu - potong keping2 dan gaul dengan tepung, garam serta kunyit. Goreng hingga kekuningan.
3 sudu tepung gandum
serbuk kunyit
Garam
Bihun kasar - celur untuk melembutkannya
Bawang Goreng
nasamulia
Isi Ikan perlu digoreng terlebih dahulu
Bahan-bahan untuk Sup
Rempah 4 sekawan
Bawang Merah - hiris
Bawang Putih - hiris
Daun Bawang - potong panjang2
Halia - hiris
Garam
Air secukupnya
nasamulia
Tumiskan Bawang dan Rempah Sup
 Sayur-Sayur
1 biji Tomato - potong kiub
1 batang English Celery - potong kecil
1 batang bawang (Leek) - potong kecil
Daun Sup
Daun Bawang
* Tumiskan bawang, halia dan rempah 4 sekawan sehingga naik bau atau kekuningan.  Masukkan air dan daun bawang. masukkan sayur-sayuran dan perasakan.  Bila dah masak tutupkan api, masukkan bihun dan ikan yang telah digoreng.  Hidang dan hias dengan bawang goreng, daun sup dan daun bawang.
nasamulia
Sayur - selain yang ada dalam gambar ini, pembaca boleh gantikan dengan sayur yang digemari

Thursday 29 November 2012

Sup Sayur Berempah ketika Keseorangan.

nasamulia
Sup Sayur Berempah
Assalamualaikum semua..
Mulia doakan pembaca semua sihat dan happy selalu.  Dua benda ini lebih bernilai dari duit berjuta ataupun harta bertimbun, betul tak?.  Ujung minggu begini, kalau Mulia duduk kesorangan di rumah, nak masak pun malas rasanya.  X seronok nak makan sorang2, seleranya kureng banding makan rebut2 benda sikit.  So masak jer menu simple seekadar untuk mengisi perut. Tapi pastikan yang seimbang dan terdapat semua khasiat.  Tu yang penting.

Sebenarnya Mulia lebih gemarkan makanan berupa sup atau masak lemak berbanding kari atau masakan berempah, tapi tak maksud menolak terus makanan tersebut.  Makan ketika teringin saja.  Ketika menetap di Pulau Pinang dulu, makan nasi kandar pun jarang2, bukan sebab susah nak jumpa, mala kedai nasi kandar sebelah umah je.

Rasa segar fikiran dan minda setelah dapat menghirup sup...cewahhh, bukan apa.  Bagi sesiapa yang obses tentang satu2 makanan tu, kepuasan dapat menikmati yang lebih utama, melebihi segala-galanya.  Sebab tu ada pepatah melayu klau dapat makan benda sedap sampai orang lalu depan pun tak perasaan -  mak mertua lalu kat depan pun tak nampak....hehehe.  Begitulah agaknya gambaran yang dikiaskan oleh orang lama2. 

Sup Sayur Berempah
1/4 ekor Ayam
200gm Cauliflower - potong
1 biji Carrot - potong kiub
2 biji Ubi Kentang - potong kiub
200gm Kacang Panjang
3 biji Bawang Merah - hiris
2 biji Bawang Putih - hiris
Serbuk Lada Putih
Serbuk Rempah Sup
Rempah 4 sekawan (cengkih, kayu manis, bunga lawang & pelaga)
Garam
Air

*Tumiskan bawang bersama 4 sekawan sehingga kuning dan naik bau, serbuk rempah sup.  Masukkan ayam, tumis sekejap kemudian masukkan air.  Bila ayam empuk, masukkan sayur-sayuran dan perasakan.

Monday 26 November 2012

Barobbok alias Bubur Menado Yang Kaya Khasiat

nasamulia
Barobbok alias Bubur Menado yang penuh khasiat sayur-sayuran
Assalamualaikum wbt...
Alhamdulillah, lega rasa dan puashati dapat memasak dan makan, makanan kegemaran.  Makanan tradisi terutama ketika musim panen (musim menuai) bagi petani yang menanam jagung.  Tapi ini hanya anggapan Mulia saja melalui pengalaman dulu2.  Sebab setiap kali tiba musim menuai tanaman jagung, isteri-isteri para petani akan memasak bubur ini yang dikenali sebagai Barobbok oleh masyarakat Bugis.

Di beberapa tempat khasnya di Tanah Bugis (Sulawesi), menu ini dikenali dengan beberapa nama (seperti Bubur Menado atau Bubur Jagung) walaupun versi pembuatannya adalah sama. Ramuan asas yang perlu ada dalam bubur ini ialah jagung, beras dan sayur-sayuran. Ketika ini, ramai yang telah mengolah bahan2 untuk meningkatkan nilai tambah borobbok dengan memasukkan isi ayam adau pun seafood seperti udang.  Ada jugak yang mencampurkan udang dan ayam sekali dalam resepi ini, terpulang kepada citarasa dan kemampuan seseorang.

Barobbok @ Bubur Menado
2 tongkol Jagung Muda - Hiris nipis untuk asingkan dari tongkolnya.
1 cawan beras - cuci dan toskan
1 pkt sup bunjut
500gm Ayam - potong kecil2 (boleh jugak guna udang kalau nak)
Garam

Bawang Goreng
Daun Sup
Daun Bawang

Bahan Tumbuk
Bawang Merah
Bawang Putih
Lada Putih


Sayur-sayuran
2 biji terung (panjang atau bulat) -potong kecil
Bayam
Kacang panjang
Daun Kelor (Daun Ramungai)
Daun Kemangi

*Boleh guna apa2 jenis sayur-sayuran kampung selain di atas

nasamulia
Jagung Yang telah dileraikan dari tangkainya
Cara Memasak
 - Buat air rebusan dengan memasukkan sup bunjut. Bila dah mendidih masukkan beras dan isi jagung. Rebus seketika dan masukkan bahan2 tumbuk.  Sekiranya pembaca rajin bahan2 tumbuk boleh jugak ditumis sehingga naik minyak kemudian masukkan ke dalam sup.
- Masukkan isi ayam atau udang.  Tunggu sehingga masak, kemudian masukkan sayur-sayuran.  Sayur-sayur daun masukkan last sekali untuk mengelakkan dari terlebih lembik.  Perasakan.

nasamulia
Rebus Jagung dan Beras sehingga empuk

nasamulia
Sayur-sayuran masukkan akhir sekali untuk mengellakan over cook.
- Hidangkan bersama sambal cili limau atau sambal kicap

Sambal Cili Padi Limau
Cili Padi kampung
Garam
Limau Nipis / Kasturi

* Tumbukkan Cili bersama garam sehingga hancur, Perahkan asam Limau.

nasamulia
Barobbok hidang bersama Sambal Cili Padi Limau


Thursday 22 November 2012

Sambal Telur Ikan Tenggiri.

nasamulia
Sambal Telur Ikan Tenggiri
Salam Hari Khamis,
Pembaca semua gemar makan telur ikan tak? Selalu bila kita makan dekat restoran nasi kandar, pasti menu menu telur ikan ada disediakan.  Menu Telur ikan yang disediakan bersama bawang goreng dan daun kari, memang terangkat, harga pun boleh tahan.  Kebanyakkan orang yang Mulia perhatikan, akan menggoreng telur ikan dengan garam kunyit saja atau dijadikan gulai kari bersama isi ikan.

Mulia nak cuba menyediakan telur ikan dengan kaedah yang lain.  Sebenarnya Mulia dapat idea daripada menu Kak Soda (kakak Mulia) yang suka membuat sambal organ dalaman ikan seperti jantung dan hati yang sangat sedap. Cara Kak Soda ini, jenuh sikit terutama mereka yang tak boleh membezakan organ-organ dalaman ikan, silap2 perut ikan atau hempedu ikan tu yang dimasak, tak ke naya pahit dan...bayangkanlah sendiri.  So untuk mengelakkan kekeliruan dan rasa selamat, Mulia guna telur ikan.  Telur ikan apa2 pun boleh, tapi Mulia guna telur ikan tenggiri.

SAMBAL TELUR IKAN TENGGIRI

500gm Telur Ikan (cuci dan bersihkan)
5 biji tomato (potong kecil2)
5 ulas bawang putih (tumbuk)
5 ulas bawang kecil (tumbuk)
2 ulas bawang besar (tumbuk)
Cili Padi (tumbuk, ikut pedas yang disukai)
Garam secukup rasa
Gula pasir
Serbuk lada putih
Minyak masak

Cara-caranya
Tumiskan bahan-bahan yang ditumbuk sehingga naik minyak.  Masukkkan tomato dan telur ikan, perasakan. Masak seketika sehingga telur ikan masak atau agak kering sedikit.


nasamulia
Menu sambal telur ikan, adaptasi daripada menu sambal kak Soda.

Tuesday 20 November 2012

Sawalla'

nasamulia
Sawalla yang belum disira - Untuk Mulia tak perlu disira
 Assalam semua,

Syukur kehadrat Allah SWT kerana masih memberi kita peluang bernafas dibumiNya ini.  Semoga dengan rasa syukur ini kita dapat memanfaatkan hidup kita dengan memberi sedikit sumbangan tak kira dalam bentuk yang bagaimana, harta, ilmu, kasih sayang mahupun hanya senyuman.
nasamulia
Membentuk doh Sawalla

Kali ini Mulia nak kongsi satu lagi resepi leluhurku yang menjadi pemanis mulut kegemaran keluarga iaitu Beppa Sawalla' (Kuih Sawalla').  Nak terjemah dalam bahasa Melayu kuih ini, memang Mulia tak pernah jumpa mana2 kata nama dalam Bahasa Melayu berkenaan kuih ini.  Untuk menghasilkan kuih ini memang mudah dan ringkas, sesuai untuk dihidangkan ketika minum petang bersama keluarga.
nasamulia
Doh yang telah siap di bentuk dan bersedia untuk digoreng
 Sawalla"

2 cawan tepung pulut
1 cawan tepung gandum
1 cawan kelapa parut (putih, seelok-eloknya guna kelapa muda)
2 sudu gula pasir
1 cawan air
1 cawan gula merah atau gula melaka
garam - secubit
Minyak untuk menggoreng.

* Gaul semua bahan kecuali gula merah sehingga menjadi doh yang boleh digentel.  Bentukkan doh menjadi bulat atau lonjong seperti telur ayam.
* Gorengkan doh yang telah digentel sehingga kekuningan atau masak. (setelah di goreng - Sawalla' boleh dimakan begitu saja dengan dicicah gula pasir, sekiranya pembaca enggan menyira dengan gula).
* Larutkan gula merah dengan sedikit air, masak sehingga pekat (masak sehingga tua - menurut kata orang dulu2), kemudian masukkan sawalla' dan gaul rata dengan gula.
nasamulia
Menggoreng Sawalla sehingga kekuningan (tetapi awas, ada kes yang Sawalla meletop2 ketika di goreng).  Petua untuk mengelakkan kejadian tersebut ialah dengan mengcampurkan tepung gandum (seperti dalam resepi yang disertakan).
nasamulia
Proses menyira Sawalla - Kena pandai nak timing gula jangan sampai terhangit. Mulia selalu fail proses ini. Kalau gula muda dan tua sangat salutan akan melekit dan bercantum sesama sendiri.
nasamulia
Hasil Sawalla'ku yang gulanya hanpir terhangit, nasib baik tak pahit.

Selamat Mencuba.


Pecok Lambacek - Sambal Tumis Tomato

nasamulia
Sambal Tumis Tomato - Pecco' lambacek
Assalamualaikum wbt.
Semoga pembaca semua sihat walafiat hendaknya.  Klau kita bercerita berkenaan sambal, mesti kecur air liur.  Sambal adalah hidangan sampingan (side dish) sebagai pembangkit selera masyarakat nusantara. Sambal dalam masyarakat Bugis dikenali sebagai pecco', ada jugak yang menggelarnya sebagai pecco'-pecco'.  Sambal boleh didihidangkan secara mentah (pecco terasi, pecco lambacek, pecco canenneng, pecco lame', pecco cemangi dan pelbagai lagi) ataupun yang telah ditumis (pecco lambacek, pecco keluak, pecco ladang', pecco urang, dan pelbagai lagi).

Satu jenis pecco yang Mulia sempat kongsikan di sini adalah Pecco Tumisik Lambacek atau Sambal Tumis Tomato.
nasamulia
Ermphh Power, berdesing telinga! Sambal yang menggunakan cili padi kampung
Pecco Tumisik Lambacek - Sambal Tumis Tomato

5 biji Tomato - belah empat
2 ulas bawang merah (besar) - hiris
2 ulas bawang kecil - hiris
2 ulas bawang putih - hiris
Halia sebesar ibu jari - hiris
Belacan bakar sebesar ibu jari
Cili Padi (ikut pedas - suka pedas guna cili padi kampung banyak2)
Garam secukup rasa
2 sudu makan gula 
Minyak untuk menumis

*Blend semua bahan2 hingga halus.  Letak air sedikit sahaja
*Panaskan minyak dan tumis tomato blend sehingga kering dan naik minyak. Perasakan dengan garam dan gula.

Sambal tumis tomato ini selalu dijadikan sebagai pencicah untuk pisang goreng, ubi rebus, ubi goreng, pisang rebus, ataupun dimakan bersama nasi.  Sambal tumis yang dimasak sempurna boleh disimpan lebih lama.


Beppa Pejje'-Pejje' (Kuih Puteri Mandi)


nasamulia
Beppa Pejje'-pejje
Assalamualaikum semua,
Satu lagi pemanis mulut masyarakat Bugis yang Mulia ingin kongsikan bersama yang dipanggil dalam bahasa Bugis sebagai Beppa Pejje'-Pejje' (Kuih seumpama ini Mulia pernah rasa dan dikenali sebagai Puteri Mandi Lilin di kalangan masyarakat Melayu).  Menurut arwah nenek Mulia, zaman dulo2 pemanis mulut mereka diperbuat daripada bahan2 ringkas yang mudah didapati atau boleh disediakan sendiri oleh mereka.  "Klau 3 benda utama ini ada, tepung, gula dan kelapa, dah boleh buat macam2 pemanis mulut"..antara kata2 nenek yang Mulia masih ingat.."Mesti x sedap kan nek klau banding kuih zaman sekarang" antara jawapan nakal dari Mulia, sambil membayangkan kuih yang nenek cuba terangkan dan membandingkan dengan macam2 kuih nak kek yang pelbagai zaman sekarang.

Memang indah mengimbau kenangan lalu, kenangan semasa menjadi kanak2 riang.  Kerana kenangan itu yang menyebabkan Mulia sentiasa rindu dengan arwah nenek, sebagai ingatan padanya aku mencuba resepi yang tak seberapa ini.  Nampak di mata mmg tidak menarik jika dibanding dengan pelbagai jenis kuih-muih zaman sekarang, tetapi Mulia letakkan nilai sentimental dan kasih sayang sebagai kisah di sebalik setiap makanan zaman kanak-kanak.

Pejje-pejje'
 2 cawan tepung pulut
secubit garam
1/2 cawan air
sedikit pewarna ikut suka..
1 cawan kelapa parut (putih - seeloknya yang muda)
gula pasir (ikut manis)
 Air untuk merebus

* Campurkan tepung dengan garam, dan tambah air untuk menghasilkan doh.
* Kelapa parut, gula dan garam digaul rata dan ketepikan.
* Didihkan air untuk merebus kuih (merebus seperti membuat kuih onde-onde).
* Bentukkan doh bulat2 (sperti butang) atau panjang.  Bentuk ikut suka hati pembaca.
* Masukkan ke dalam air yang telah mendidih, tunggu sehingga kuih masak (timbul dipermukaan air), angkat dan tapiskan air.
* Pejje'-pejje' yang telah di tapis gaulkan dengan campuran kelapa tadi.  Siap untuk dihidangkan.
nasamulia
Aduan kuih (klau pembaca suka nak warnakan, apa warna pun boleh)
nasamulia
Campuran kelapa parut dengan gula pasir dan garam (ikut citarasa masing-masing)
nasamulia
Bentukkan Adunan seprti dalam gambar
nasamulia
Adunan yang timbul menunjukkan dah masak
nasamulia
Lepas tuskan air, golekkan dengan campuran kelapa parut, ala2 cam buat Onde-onde gitu.