Tuesday 8 April 2014

Sambal Cendawan Kukur / Kulat Sisik / Sambala Keddi @ Peppi

Assalam...
Satu resepi tradisi orang Bugis yang hendak dikongsikan adalah sambal cendawan kukur atau kulat sisik.  Cendawan yang bersaiz kecil ini tumbuh subur selepas hujan terutama pada batang kayu getah mati. Cendawan ini dikenali sebagai Keddi atau Peppi oleh orang Bugis.

Cendawan ini boleh disimpan lama setelah dikeringkan dengan sempurna.  Bila nak masak baru rendam dalam air dan kelopak-kelopak kecilnya akan mengembang.  Cendawan yang saya dapat ini adalah pemberian mak mertua yang telah disimpan dari tahun lepas...mak ai, kalau guna tuk melabur dah dapat deviden dah kan. 
Jomlah tengok resepi macamana nak masaknya, ini mengikut resepi yang keluarga saya selalu buat. Resepi lebih kurang jer dan senang untuk disediakan. Lebih kurang jelah.

Sambal Kulat Sisik / Sambala' Keddi
Sumber: Mak Mulia

Bahan-bahan
2 gengam kulat sisik (keddi/peppi) kering - rendamkan dengan air dan biar kembang sepenuhnya.
500ml santan pekat
5 biji Cili merah - hiris halus bentuk serong tanpa buang biji
5 biji Cili hijau - hiris halus bentuk serong tanpa buang biji
5 ulas bawang merah dihiris
5 ulas bawang putih dihiris
1 genggam ikan bilis - boleh ganti dengan isi udang kalau nak
1 biji tomato potong 4 - optional
10 biji cili padi - optional 
Sedikit serbuk lada putih
Minyak untuk menumis
Garam dan perasa secukupnya.

Cara Menyediakan
1. Tumiskan bawang merah dan putih hingga layu, Masukkan ikan bilis dan tumis seketika.
2. Masukkan cili, kulat, santan dan sedikit air.
3. Biar merenih hingga pekat.  Bila hampir pekat tambahkan garam dan perasa secukupnya.  Akhir sekali masukkan tomato.
Hari itu bekalan cili hijau dalam fridge tiada, so saya guna semua cili merah.  Rasa ok jugak, tapi kalu nak lagi pedas bolehlah tambah cili padi sebagai perangkap samar dalam tu.  Jom kita makan bersama nasi panas dengan lauk orang kampung ini.  Malamnya nasi dah habis kami makan sambal ini dengan roti.
Wassalam.

No comments:

Post a Comment