Monday 23 June 2014

Majlis "Naik Duit"

Assalam...
Semalam telah berlangsung majlis "naik duit' nun jauh di kampung.  Saya hanya saksikan melalui kiriman gambar dari anak sedara ketika majlis berlangsung.  Majlis "naik duit" ini adalah antara rentetan proses untuk melangsungkan majlis perkahwinan dalam masyarakat Bugis.  "Naik duit" sebenarnya adalah terjemahan langsung daripada perkataan Bugis "Ma' pengrek duwi" yang membawa maksud penyerahan duit hantaran oleh pihak/wakil (bakal) pengantin lelaki kepada pihak/wakil (bakal) pengantin perempuan. Sebenarnya sebelum ini telah dilaksanakan acara merisik (ma' pettu ada).  Dalam majlis sebelum ini telah diputuskan tentang jumlah dan nilai hantaran yang bakal diberi oleh pihak lelaki.
Selain wang RM, pihak lelaki turut membawa hantaran berupa keperluan asas seperti beras, gula, tepung dan minyak masak.  Nilai RM yang diberi oleh pihak lelaki itu saya tahu tapi biarlah rahsia, tak perlu nyatakan disini.  Tapi kalau tengok note RM100 yang tebal begitu, boleh agak kan berapa banyak duit yang mereka beri.  Siap ada juru audit yang kira tu...hehehe.  Itu adalah wakil pihak perempuan yang menyambut hantaran dan mestilah kena kira, betul ke tidak jumlah seperti yang diputuskan.
Selepas wakil kaum lelaki mengira duit hantaran, duit tersebut akan diserahkan kepada kaum ibu untuk acara selanjutnya.  Antara mereka yang akan mengendalikan acara ini adalah orang tua terdekat seperti nenek bakal pengantin perempuan, nenek saudara, ibu saudara atau orang tua yang mendapat kepercayaan keluarga atau penduduk kampung.
Duit-duit itu akan diletakkan dalam dulang yang berisi beras, bersama wang siling dan sedikit rempah 4 sekawan (kayu manis, pelaga, bunga lawang dan cengkih).
Duit ini bukan untuk dikira semula tetapi, akan disukat  bersama barang-barang yang terdapat di dalam dulang tersebut menggunakan sukatan yang diperbuat daripada tempurung kelapa.  Penyukat akan diangkat tinggi-tinggi dan dituangkan isinya ke dalam dulang semula.  Proses ini akan diulang-ulang sehingga kiraan 3, 5 atau 7 kali.  Bunyi gemersik duit siling dan benda-benda jatuh dalam dulang melambangkan perasaan yang gembira dan sebagai alu-aluan untuk menyambut orang baru dalam keluarga.  
Selepas itu duit akan diserahkan kepada ibu bakal pengantin perempuan untuk disimpan.  Kain batik yang dipakai oleh si ibu tersebut digunakan untuk membungkus wang hantaran tersebut.  Agaknya sebagai simbolik kepada perasaan gembira untuk menerima menantu sebagaimana gembiranya ketika melahirkan anak lalu diselimutkan dengan kain batik.
Setelah acara penyerahan duit telah disempurnakan, perbincangan lanjut akan diteruskan untuk menetapkan majlis perkahwinan iaitu tarikh dan waktu nikah dan acara bersanding.  Ketika majlis itu nanti, pihak lelaki hanya menyediakan barang hantaran seperti persalinan untuk pengantin perempuan, duit mas kahwin dan sompa.  Majlis perkahwinan telah ditetapkan seminggu selepas sambutan aidil fitri akan datang iaitu pada 6hb Ogos.  So haruslah saya & en.Abe akan menghadirkan diri kelak.
Ini adalah sebahagian daripada rombongan pihak lelaki yang hadir bersama keluarga pihak perempuan.  Ramai kan?....ini belum kenduri lagi, kalau hari majlisnya nanti mesti lagi meriah ini. Jemputan bukan setakat satu kampung, kampung sebelah lagi, orang seberang laut lagi, orang jauh lagi...semua datang berkampung.
Penutup acara pada majlis itu, adalah acara makan-makan.  Mengikut adat, ketika majlis 'naik duit' tetamu akan dihidangkan dengan menu khas yang diberi nama Palopo' (pulut yang dimakan bersama manisan iaitu gula merah yang dimasak bercampur dengan telur).  Pada majlis ini mereka dijamu makan tengahari dengan soto ayam (ni kes lupa nak close up tang makanan ni).
Semoga majlis yang bakal berlangsung Ogos akan datang dipermudahkan dan hubungan silaturrahim dua buah keluarga terjalin erat melalui penyatuan ini kelak...Amin.
Wassalam.

No comments:

Post a Comment