Monday 7 July 2014

Terang Bulan itu Apam Balik

Assalam..
Cerita terang bulan di bulan puasa, orang kampung saya kalau sebut terang bulan tu maksudnya apam balik.  Mungkin namanya disebabkan ketika memasak tu bulat macam bulan tengah mengambang, tapi bila lipat dah jadi terbalik....hehehe.  Satu family memang suka makan kuih manis lemak berkrim ini dan bila mak atau bapak ke pekan mesti mereka beli untuk bawa balik.  Saya ada 2 cerita yang melekat dalam ingatan ketika bercerita tentang kuih terang bulan ini.
Nak dijadikan cerita, ada seorang pakcik di kampung kami yang pandai membuat terang bulan ini katanya berguru dengan pembuat yang terkenal di daerah kami.  Kiranya family kami dengan family pakcik ini rapat jugaklah.  Pakcik ini akan berniaga terang bulan setiap kali datangnya ramadhan di bazaar dekat pekan.  Hanya bulan ramadhan, bulan2 lain mereka berniaga benda lain.  Sehingga kini si pakcik masih meneruskan tradisi itu dan ilmu beliau itu dah diturunkan kepada anak-anak beliau.  Kami pun setiap hari dapat makan terang bulan sebab sekembalinya pakcik ini dari berjualan akan ada baki untuk diberikan kepada jiran-jiran.  
Mula-mula tu, ada jugak kami risik2 nak belajar cara membuatnya dengan pakcik ini.  Tapi pakcik tu beritahu susah nak buatnya, ada guna "ubat" yang sukar nak dibeli dipasaran tempatan.  Kalau ubat yang dimaksudkan sekadar baking powder dan soda bicarbonate yang mungkin pakcik tu sendiri tak tau nak sebut, takde hal sebab memang dah kenal dua benda alah tu.  Kami pun dengan naifnya bersangka baik ajelah, iyakan sajalah dan terbantutlah hasrat kami nak belajar.  Masa tu mana ada internet yang kita boleh google cari resepi kan?.  Ada rezeki kami beli di pasar, nak tunggu yang free dari pakcik tu kena tunggu kedatangan bulan puasa.
Cerita yang lagi satu, masa bersekolah rendah tahun 80-an, ada rakan satu kelas kami yang bernama Dayang.  Dia inilah yang supplykan terang bulan untuk kami dengan harga 20 sen sekeping ketika itu. Satu keping besar yang belum dipotong tu, cumanya nipis sedikit.  So memang setiap hari kami akan membeli secara seludup dengan dia ini sebab murid-murid sekolah tidak dibenarkan berniaga masa sekolah terutama dalam kelas.  Dari situlah kami telah menukarkan nama si Dayang ini dengan gelaran si Dayang Terang Bulan.  Di pelusuk dunia manalah agaknya si Dayang berada sekarang..rindu pulak pada dia.

Kiranya ilmu itu nak sampai pada saya pada era IT, baru sekarang tahu cara dan bahan-bahan untuk membuat terang bulan.  Melihat bahan2nya takde plak guna "ubat" macam yang pakcik tu cakap. 

Ini rezeki untuk jiran sebelah, sama-sama kita berbagi rasa.
Resepi apam balik yang saya guna ini hasil skodeng daripada blog My Kuali by Kak Rose, terima kasih sudi berkongsi ilmu.  Tak sangka begitu senang nak membuatnya bahan-bahan pun mudah.  Igauan ngeri tentang apam balik selama ini dah boleh letak ketepi sungguh pun saya mungkin tak akan menjadi peniaga terang bulan seperti si Dayang atau Pakcik itu.
Ini behind the scene, biasalah baru pertama kali cuba mesti ada yang tak menjadi, nama pun try and error.  Dah pandai ikut tempoh hasil macam dalam gambar yang kat atas tu.  Boleh lah kan sebagai permulaan.  Tepuk tangan untuk diri sendiri.
Wassalam.

No comments:

Post a Comment