Sunday 30 November 2014

Kuih Bom / Onde-onde

Assalam...
Kuih bom or kuih onde-onde or kuih bijan, tak tahu yang mana satu nama yang betul untuk kuih ini.  Agaknya semua betul kot, cuma lain tempat lain nama gelarannya.  Saya lebih suka panggil kuih ini, kuih bom.  Ada rupa bom ker? entah tak pernah nampak bom sebenar.  Tapi bila silap buat boleh meletup macam bom ketika di goreng.
Senang jugak sebenarnya buat kuih ini kalau inti dah ada yang tersedia.  Inti boleh guna inti kelapa mahupun inti kacang hijau.  Kacang merah agak2 suka, boleh juga.  Saya buat ini berbekalkan inti kelapa yang dapat free itu.
Cara buatnya ikut cara buat kuih lame-lame yang dah buat sebelum ini.  Buat dari doh yang sama sebenarnya dan bentukkan lain-lain.  Bezanya cuma kuih bom ini buat bulat-bulat dan golekkan dengan bijan terlebih dahulu sebelum digoreng dalam minyak penuh.  Resepi buat doh boleh rujuk sini yer.
Mari kita belajar buat inti kelapa pula, sangat senang dan mudah untuk disediakan.

Inti Kelapa (Pallise')
Sumber: Mak Timah
 
Bahannya
1 biji kelapa parut - seelok-eloknya guna kelapa yang muda kerana seratnya masih lembut dan lemak.
1 cawam gula merah / melaka / kabung - kurangkan atau lebihkan mengikut kemanisan yang anda suka.
sedikit garam
1 sudu tepung gandum
sehelai daun pandan - simpulkan

Penyediaannya
* Campurkan semua bahan, masak dalam periuk atau kuali pun boleh.  Ada orang yang cairkan gula telebih dahulu kemudian masukkan bahan-bahan yang lain.  Pun boleh, ikutlah yang mana lebih senang.
*  Kacau selalu hingga sebati gula dan kelapa.  Masak hingga pekat sedikit atau inti seakan keluar minyak atau tidak melekat pada sudip.
*  Sejukkan terlebih dahulu sebelum digunakan sebagai inti.  Kalau di kampung saya, ada kenduri mereka sediakan ini ini awal sehari atau dua hari sebelum digunakan.
Inti kelapa ini boleh jadi sebagai ibu kuih, sebab bila dah ada inti, boleh hasilkan pelbagai jenis kuih seperti ini kuih bom, badak berendam, tepung bungkus, kuih ketayap, kuih koci, pulut inti atau ada lagi kuih yang lain, yang unik atau kuih tradisi di tempat korang.
Wassalam.

No comments:

Post a Comment