Thursday 30 April 2015

Siakap Soya Sauce

Assalam...
Masak cincai sebab nak cepat, bukan malas tau....hehehe (ini ayat penafian ke ayat penyata ini, entahlah).  Ingat nak elak dari bayar sgt, jadi kena rajin-rajinkan diri masuk dapur.  Tetapi sebab kena menapak naik tangga sampai tingkat sepuloh setiap petang tak larat lah nak memikul segala-gala bahan memasak tu kan.  Jadi kenalah makan kat kedai sebelum balik rumah.  Kadang perut dah kenyang tapi dek tenaga dibazir naik tangga jadi lapar balik ler kan, hanya ada bekalan ini dalam peti ajaib jadi kita olahnya menjadi sesuatu untuk mengelakkan perut berdongdang sayang tengah malam nanti.


Siakap Soya Sauce
Sumber: Mulia


Bahan-bahannya
1 ekor siakap - gaulkan dengan garam kunyit kemudian goreng hingga masak
2 sudu kicap cair*
1/2 sudu kicap pekat*
1 sudu sos tiram*
1 sudu sos ikan*
sedikit daun limau purut - racik halus
sedikit hirisan kulit lemon
1/2 biji tomato
cili padi - ketuk
1 ulas bawang merah - hiris
3 ulas bawang putih - cincang
Serbuk lada putih*
Sedikit air*
Garam dan perasa.


Penyediaannya
#  Campurkan semua bahan bertanda "*".
# Tumiskan bawang putih dan bawang merah hingga layu.
#  Masukkan campuran sos, biar hingga mendidih.
# Perasakan dengan garam dan masukkan hirisan daun limau purut, cili padi, tomato dan hirisan kulit lemon.
# Tuangkan  ke atas ikan yang telah digoreng terlebih dahulu. 
# Hidangkan.

Harapnya lepas balik dari bercuti beberapa hari ini, takdelah lift tu buat pasal lagi, tak daya dah nak menapak lagi.  Segala-gala yang indah tinggal di atas awan dah jadi tidak indah bila lift tidak berfungsi....yang terbayang hanyalah swimming pool indah water....
Wassalam.

Lebah....

Assalam...
Haiwan istimewa selain daripada labah-labah, semut, burung hudhud, burung ababil dan gajah kerana namanya disebut dalam al-Qurannul karim dan terdapat surah istimewa berkenaan lebah iaitu surah Al-Nahl.

Lebah istimewa kerana akhlaknya, ia singgah untuk mengutip nektar bukan menghisap madu seperti yang ramai sangkakan.  Tidak pernah memusnahkan malah memperbiakkan lagi bunga-bunga itu.  Tidak seperti lalat yang membawa dan menyebarkan penyakit pada setiap tempat yang dihinggapinya.
Lebah menghasilkan madu, makanan yang sempurna, tidak mudah basi dan tahan hingga berabad lamanya.
Penternakan lebah telah wujud dan diusahakan sejak zaman tamadun mesir dan berkembang sehingga kini.
Madu lebah telah digunakan sejak berabad lamanya, sebagai bahan pengawet yang digunakan untuk mengawet mumia firaun dan bahan untuk rawatan kulit pada zaman cleopatra.
Nota: Sarang lebah tepi tingkap belakang almari, dalam rumah, sudah lama wujud tapi tidak pernah menganggu penghuni rumah, penghuni pun biarkan saja mereka menumpang, setiap hari laluan koloni ini melalui tingkap yang dibuka dan ditutup oleh penghuni rumah ....pasca banjir - sarang dan koloni masih setia di situ walaupun sudah terendam beberapa hari dalam banjir besar Disember 2014 lalu. 
Wassalam.

Wednesday 29 April 2015

Texas Chicken....

Assalam...
Nyaman sungguh tersedar dari lena ada hidangan depan mata, macam dejavu pulak sebab dulu masa kanak-kanak suka tantrum bila bangun tidur takde makanan depan mata.  Tapi ini cerita kami pergi makan beramai-ramai kerana ada seorang rakan yang akan berhijrah ke tempat baru.  Tak tahu menahu apa nama tempat tu, tak pernah dengar dan tahu, ikut saja, sampai-sampai cari tempat duduk dan makan.
Kami pergi time lunch hour, memang ramai orang, sebab tak tempah jadi tempat duduk tu merata lah, ikut dan mana yang kosong kami duduk saja. Masing-masing dapat hidangan standard yang sama macam kat bawah ni, 2 ketul ayam goreng, bun, coleslaw dan kentang putar.
Bunnya yang macam muffin tapi bukan, macam biskut rock bun pun ada.
Kawan saya kata, dia dah jatuh cinta dengan Texas Chicken ini sebab ayamnya besar, lembut tapi still juicy.  Erm apa-apalah.
Minuman yang disediakan adalah free flow...ini yang bagus, ada orang ulang lebih dari 3 kali.
Lepas makan baru dapat kumpul semua geng, kita dengar sedikit ucapan dari tuan pengerusi di hujung tu.
Good luck untuk orang yang hendak berhijrah tu, jangan lupa pada kawan-kawan yang masih di sini.
Sedari awal tercari-cari logo ini, rupanya kedudukannya terlindung sedikit di sebelah monitor.  Dijamin halal, boleh makan tanpa was-was.
Tu waktu operasinya, outlet yang kami pergi ini yang di Jaya One PJ.  Outlet sekitar lembah klang taklah sebanyak uncle kentucy punya, baru ada 7 atau 8 sahaja, boleh cari di sini.  Kalau dah bosan dengan ayam di kentuky kita pergi ke texas pula sambil verangan menjelajah bumi uncle sam ye..
Wassalam.

Monday 20 April 2015

Kuih Bugis: Bandang Lojo'

Assalam...
Cerita lepat tak habis lagi, silalah muntah hijau atau abaikan bila tak suka yek.  Nama makanan ini memang pelik sikit, bukan saja sebutan bagi yang tak pernah dengar tapi maksud kata "bandang lojo" itu sendiri.  Namun kerana namanya dalam bahasa ibunda menyebabkan saya harus abadikannya di sini.  Cuma berkenaan dengan kata lojo' tu macam sedikit lucah yang bermaksud telanjang dan kata bandang itu merujuk kepada lepat.  Dari mana asalnya atau siapa yang memberi nama tidaklah dapat saya pastikan.  Yang saya tahu celik-celik mata sudah dengar orang sekeliling panggil nama benda ini sebagai bandang lojo'.  Ini antara kuih kesukaan saya masa kecil dan sanggup berhutang, bergolok bergadai demi mendapatkan kuih ini, punyalah teruk bila dikenang peristiwa zaman jahil ketika kanak-kanak dulu.

Nampak tak dalam periuk pengukus tu, ada bungkusan lepat yang besar dan kecil kan.  Yang kecil tu lepat ubi, buat sekali arung dengan bandang lojo ini, lagipun dari sumber yang sama cuma satu campur dengan gula merah satu lagi ada inti pisang.

Lepas masak, buka pembalut dan golekkan bandang dengan kelapa parut.  Kira bandang lojo' telah dipakaikan baju gitu, dek na malojo-lojo (sudah tidak telanjang).

Bandang Lojo'
Sumber: Mak Mulia


Bahannya
Ubi kayu parut
Pisang raja masak - potong dua
Kelapa parut putih
Sedikit garam
Daun pisang secukupnya.


Penyediaannya
*  Letakkan parutan ubi di atas daun pisang, agak-agak boleh menyaluti setengah sebiji pisang.  Selain pisang boleh juga guna pisang jenis lain seperti pisang nipah masak/abu. 
*  Golekkan pisang dengan ubi parut agar bersalut sempurna kemudian lipatkan kedua-dua hujung daun tersebut.  Kukus hingga masak.
*  Bila dah suam, keluarkan kuih daripada pembungkusnya.  
*  Salut kuih dengan kelapa parut muda yang dah digaul dengan sedikit garam dan bolehlah dihidangkan.
 

Sekali pandang macam kuih ubi yang kak noor suka buat tu, tapi kak noor buat cantik sangat siap rona roni trepik light lagi.
Wassalam.

Friday 17 April 2015

Lepat Ubi Kayu Limited Edition.

Assalam...
Gigih pepagi ketika hari cuti untuk mengerjakan ubi kayu, kupas kulit dan parut ubi.  Sudah beberapa kali percubaan untuk membuat lepat ubi ini, ssetiap kali orang ke pasar kirim beli ubi kayu, tapi sedihnya hasil yang dirancang yang jadi benda lain.  Jadi inilah dipersembahkan lepat ubi kayu limited editionku.....
 

Guna gula kabung yang dibungkus daun kayu, kayu jenis apa tak tahu, jauh datangnya ini dan diproses secara tradisional.

Kalau tak suka gula merah, boleh tukar dengan gula pasir.  Seeloknya gula merah kena racik halus agar sekata dengan adunan ubi.

Saya gaul lebih kurang je, style orang malas.

Lebih kuranglah isi dalam setiap bungkusan, sila sesuaikan mengikut saiz daun pisang yang ada.

Abaikan size bungkusan, pendek ada, panjang ada, kurus dan gemuk pun ada.

Lepat Ubi Kayu
Sumber: Mulia


Bahannya
Ubi kayu - parut
Kelapa parut putih
Gula merah / pasir
Sedikit garam
Daun pisang sebagai pembungkus


Penyediaannya.
*  Satukan semua bahan kecuali daun pisang di dalam bekas.  Gaul rata kesemuanya hingga sebati.
*  Sudukan adunan atas daun pisang yang telah disediakan terlebih dahulu.
* Bungkus dan lipat kedua-dua hujung daun pisang.
*  Kukus hingga masak atau daun pisang pembungkus itu bertukar warna.
*  Sejukkan dan bolehlah dihidangkan.


Ketika makan tu, liat-liat rasanya dan terasa manis gula sana sini, tak sekata dek kerana gaul tak berapa nak mesra kan.  Makan liat-liat tu rasa adventure macam buat senaman muka dan teringat kat lepat liat pula.  Nantilah bila nak buat kita tanya pakcik google macamana cara-cara buat lepat liat tu.
Wassalam.

Thumbs Up Untuk e-Filing LHDN

Assalam...
Sebagai galakan kepada yang belum menghantar e-filling atau yang masih menggunakan kaedah lama, cepat-cepat hantar sebelum tamat tempoh hujung bulan April ini.  Saya dah buat entri bulan lepas berkenaan e-Filing di sini.  Saya settlekan e-Filing pada hari yang sama sebaik saja terima penyata EA dari majikan.  Ada pun tarikh dan masa, detik tercatat di bawah tu, pada 12 Mac 2015, 10:01:10:433.  Kiranya waktu proses semakan cukai dan pembayaran balik mengambil masa hanya 35 hari.  



Awal pagi tadi ketika nak buat online banking terperasan baki dalam akaun ada yang ganjil, almaklumlah baki kat situ bukan banyak pun, jadi sebarang perubahan kecil pun dapat diketahui.  Lainlah kalau duit memang banyak berkepul-kepul dan tak surut-surut dalam tu kan, susahlah nak tahu kalau berubah sikit.  Bila cek transaksi rupa-rupanya LDHN senyap-senyap dah buat pembayaran balik dua (2) hari lepas.  Surat pemberitahuan kemudianlah diorang akan hantar ke alamat kita kan.

Walaupun sedikit jumlahnya tetaplah saya puas hati kan.  Cepat hantar cepat dapat balik.  Tapi ada kawan saya kata claim dia yang tahun lepas pun tak dapat-dapat lagi, macamana tu....mesti ada silap kat mana-mana, baik cek dengan LHDN cepat-cepat.  Sekarang semua dah guna sistem komputer, lainlah 10, 20 tahun dulu, nak dapat claim memang lama.  Ada seorang sahabat tu dapat claim selepas 10 tahun.  Bayangkan.  Nasiblah tuan empunya masih bernyawa, timbul pulak soalan kalau orang dah arwah duit itu ke mana eh?.
Wassalam.

Kari Telur Berpetai.

Assalam...
Masakan dari dapur en.abang, kadang saya boleh layan kadang tak boleh nak terima.  Dia gemar makan kari, dah rupa gaya mamak boleh hirup-hirup kuah kari gitu.  Kalau hati dah suka, semua benda nak dikarikan, tengok ajelah menu kari telur berpetai dia ini.


Kari Telur Berpetai
Sumber: Abe Nas


Bahannya
5 biji telur
Sedikit isi petai / petai papan
2 biji ubi kentang - dadu
1 biji bawang holland - hiris
2 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
Daun kari
2 sudu serbuk kari campur sedikit air untuk buat paste.
1/2 sudu cili boh 
2 cawan air
Secukupnya garam dan gula
Minyak masak


Penyediaannya
* Rebus telur dan bersihkan dari kulit.  Jika rajin boleh goreng sekejap.
*  Tumiskan hirisan bawang putih, merah hingga layu.  Masukkan cili boh, tumis lagi hingga garing.
* Masukkan kari paste, dan masukkan sedikit air, tumis dengan api perlahan hingga kari masak.
* Masukkan air kalau nak kuah cair boleh tambah.  Masukkan ubi kentang, bawang holland.
* Bila ubi dah empuk, masukkan telur dan petai.  
* Perasakan dengan garam, gula dan perasa pilihan.
 
Masa makan saya cuma kutip petai, kentang dan telur saja, kuah kari nehi, nehi, nehi babooji.
Wassalam.

Tuesday 14 April 2015

Ambuyat Makanan Tradisi Orang Borneo

Assalam...
Cerita weekend dengan dua orang lagi girlfren, aktiviti masak-masak makanan tradisi orang borneo.  Ada yang panggil ambuyat, linut, na'ua, kapurung atau ada nama lain mengikut suku kaum.  Nama ambuyat tu orang semua dah tahu, tak silap nama tu dalam bahasa brunei.  Ini 1st time saya rasa ambuyat versi orang brunei dan sarawak yang menggunakan tepung sagu.  Saya selalu makan yang versi buatan orang bugis seperti yang saya cerita di sini menggunakan tepung ubi atau kanji.


Adunan kena kacau tanpa henti ketika menuang air panas mendidih.  Berhenti menuang air panas bila senduk dah jem pada sagu yang mula mengeras.  Kemudian teruskan lagi mengacau adunan hingga semua warna putih bertukar menjadi jernih.  Ambuyat kami nampak berwarna perang sedikit sebab tepung sagu (mulong) dah simpan lama.

Macamana nak makan, ambil garfu sebab takde chopstik khas tu, pusing-pusingkan dalam ambuyat sampai dapat satu ketul.  Kemudian cicah dalam sambal, kemudian telan.  Ye kena terus telan, itu cara orang makan ambuyat, tak perlu kunyah.  Encik sham, kata ambuyat ini makanan yang sesuai untuk orang yang takde gigi sebab tak perlu kunyah.

Sambal pencicah petang itu kami sediakan sambal cencaluk, sambal belacan, sambal budu dan tiga lagi lauk sampingan.  Menurut girlfren saya ambuyat boleh dimakan dan dipadankan dengan semua jenis lauk.  Terbaik bila ada sup ikan atau ikan tamban masin.  Tapi paling penting nak makan ambuyat kena ada sambal yang sedap dengan kombinasi tiga rasa masam, masin dan pedas.

Slurp, slurp, punya slurp tak sedar dah habis satu besen ambuyat.
Wassalam..

Havana Sparkle / Almond London

Assalam....
Orang yang nak berniaga biskut raya mesti tengah sibuk sekarang pergi kelas untuk belajar biskut yang baru-baru kan.  Biskut raya pun up date setiap tahun, bukan model handphone jer kalau nak tahu.  Agak-agak tahun ini biskut raya apalah yang terbaru, ada yang berani buat biskut gst?...hehehe.  Kita ini biskut baru-baru suka juga mencuba sekali dua gitu, tapi yang lama jugak yang akan diulang-ulang seperti biskut Havana Sparkle @ Almond London ini.  Nama biskut pun canggihkan, cuma tuan jer tak sampai london apatah lagi melihat havana.  Resepi ini sumbangan seorang kakak (Kak Ana) belasan tahun yang lalu yang dipelajarinya masa pergi kelas belajar membuat biskut.  Nak pergi kelas bayar mahal juga lagi pun masa tu belum banyak sumber dari internet, misi menyalin dan mengumpul atau potostat resepi dari orang budiman yang baik seperti Kak Ana, dapat orang copy free atau dikenakan bayaran yang minima amatlah bersyukur.  Buku resepi pun dah koyak rabak, jadi kita abadikannya di sini sebagai rujukan.
Havana Sparkle
Sumber: Kak Ana (Rohana Astec)

Bahannya
150gm mentega
50gm gula ising
50gm coffemate
50gm nestum - kisar halus (kadang tak letak)
1/2 sudu vanila esen
50gm tepung jagung
1 biji kuning telur
sedikit garam (saya tak letak)
170gm tepung gandum
Coklat masakan
Badam / hazelnut - saya panggang sekejap
Manik (colour rice / badam cincang) secukupnya


Penyediaannya
*  Pukul mentega dengan gula hingga kembang.  Masukkan telur dan esen vanila.  Pukul lagi hingga sebati.
*  Masukkan coffeemate, nestum, tepung jagung dan gaul sebati.
*  Masukkan tepung gandum, gaul sebati.  Ambil sedikit adunan, letakkan badam atau hazelnut di tengah.  Buat bulat-bulat atau mengikut bentuk biji badam atau hazelnut.
*  Bakar hingga masak dalam oven.
*  Bila dah sejuk, celupkan ke dalam coklat masakan yang telah dicairkan secara double boiler.
* Letakkan dalam mangkuk kertas dan tabur manik atau badam cincang di atasnya.
*  Biar hingga coklat kering dan simpan dalam bekas kedap udara.



Base almond london yang dah siap dibakar, tunggu nak salut coklat.  Tak tersusun langsung tonggang terbalik.
Ini yang tahun lepas punya, ready untuk dihantar ke rumah ibu mertuaku...
Moga tahun ini masih diberi lagi peluang, rezeki dan masa untuk uli-uli biskut raya seperti tahun lepas.
Wassalam.

Biskut Kacang Hijau

Assalam...
Masa tengah tulis entri baru tercari-cari gambar masa buat biskut ini, tapi takde.  Baru teringat masa itu adik-adik datang umah nak berbuka puasa, jadi termiss di situ, dapat ambil gambar yang dah masuk balang.  Nasib sempat, sebagai rujukan akan datang bagaimana rupa biskut ini. Dulu masa di penang, selalu beli yang tepung ready mix, tinggal campur minyak jer masa nak buat.  Yang ready macam ini ada hanya di kedai bahan-bahan kuih auntie rose di pasar bayan baru, ketika itu.  Pernah insiden polis yang bertugas di mesin scan bagasi di LCCT tak lepas benda tu dibawa naik kapal terbang, mereka suruh saya buang dengan alasan sebab minyak tu cecair tak boleh diletak dalam bagasi.  Takkan lah saya nak buang beberapa paket tepung ready mix bersama minyak jagung tu, sedangkan dari airport penang boleh lepas pula.  Terpaksa lah saya bertekak dengan polis-polis tu, masih ingat ayat perli polis tu kat saya "kampung awak takde jual eh minyak?,.  Sakit hati dengan mereka, last saya pergi jumpa dengan pegawai Airasia dan dibenarkan bawa secara hand luggage.  Arahan di keluarkan di hadapan polis itu juga. 
Pada yang tak jumpa tepung ready mix tu, boleh buat guna resepi pemberian auntie rose seperti di bawah ini.  Auntie rose ini kalau kita beli barang dengan dia, mesti dia akan supply resepi walaupun tak pernah masuk kelas dia.


Biskut kacang Hijau.
Sumber: Auntie Rose

Bahan-bahan
750gm tepung gandum
350gm gula ising
400gm kacang hijau (peas) - blend hingga hancur
1/2 sudu teh emplex
1/2 sudu soda bicarbonate
350ml Minyak jagung

Hiasan;
Kacang hijau.
Kuning telur

Penyediaannya
*  Campurkan semua bahan, kacau hingga sebati.  kalau peroi sangat dan susah untuk dibulat-bulatkan, tambah sedikit minyak.
*  Bulat-bulatkan sebesar guli dan susun dalam loyang.  Kalau nak terap guna acuan pun boleh, tapi saya lebih suka bentuk bulat.
*  Letakkan sebiji kacang hijau dan sapukan dengan kuning telur pada bahagian atasnya.
*  Bakar hingga masak.  Biakan sejuk kemudian masukkan dalam balang kedap udara.

Wassalam.

Monday 13 April 2015

Tiket Kapal Dengan GST.

Assalam...
Beberapa hari ini sepupu dan anak sedara minta saya tolong belikan tiket kapal terbang untuk balik kampung.  Bersilih ganti mereka ini balik kampung, tukang beli tu yang tak balik-balik.  Ini transaksi pertama kali selepas hari gst.  Sebelum hari gst tu hari dah book yang hujung tahun untuk sendiri punya dengan sepupu yang lain.  Jadi entri ini sebagai panduan untuk melihat pada step mana gst 6% dikenakan untuk penerbangan domestik.
Ini contoh harga promosi rm119.01 penerbangan antara Kuala Lumpur ke Tawau pada 22 Mei 2015.  Gst rm6.74 dikenakan daripada jumlah rm112.27 harga tiket, yang mana telah dimasukkan sekali jumlah itu ke dalam harga promo.

Mari kita lihat sekiranya kita buat tambahan aksessori pada tiket perjalanan kita.  Pilih nak bagasi 15kg, gstnya rm1.50.  Pilih nak makan nasi tomato di atas awan, gstnya rm0.72 dan nak merasa keselesaan dengan comfort kit, gstnya rm1.74.

Jika memilih untuk membeli insurans perlindungan, nilai gstnya rm0.54.

Gst turut dikenakan pada harga check-in di kaunter rm0.60, skybus rm0.50 atau perkhidmatan sewa kereta.

Sekiranya hendak memilih tempat duduk, gst mengikut standard tempat duduk pilihan.  Makin mahal harga tempat duduk makin tinggi lah nilai gstnya.  Charge gst daripada rm0.36 hingga rm1.80.

Sekarang kita pergi step terakhir, iaitu step pembayaran.  Ada 4 kaedah bayaran boleh dilakukan, tapi saya nak tunjukkan 2 kaedah sahaja kerana 2 jenis ini yang kerap saya gunakan.  Kalau memilih internet banking gst dikenakan pada processing fee sebanyak rm0.24 daripada harga rm4.00.

Jika memilih untuk membuat bayaran dengan kad kredit atau debit card, gstnya sebanyak rm0.48 daripada rm8.00.

Berikut adalah jumlah kos tambahan yang perlu saya sediakan sekiranya hendak balik kampung dengan tambahan perkhidmatan seperti yang saya kehendaki, boleh pilih option gst yang mahal atau gst murah.

a. Tiket + bagasi 15kg + makan + comport kit + insuran + check-in + bus + tempat duduk + internet banking = gst rm12.94.
b. Tiket + bagasi 15kg + makan + insuran + bus + internet banking = gst rm10.24.
c. Tiket + internet banking = gst rm6.98. 
Untuk penerbangan antarabangsa, jumlah gst akan bertambah sebagaimana harga setiap perkhidmatan adalah lebih mahal daripada harga penerbangan domestik.  Kaedah pengiraan gst ini juga adalah tidak sama dengan syarikat penerbangan yang lain.  Baru teringat booking kami yang hujung tahun semua hanya beli tiket sahaja, bagasi dan benda-benda sewaktu dengannya tak beli lagi.  Melepas nak enjoy harga murah alasan boleh beli kemudian yang penting tiket kena dapatkan dulu.  Sekarang kena sediakan tambahan duit lagi.
Wassalam...