Monday 6 April 2015

Nasi Kuning, Sarapan Feveret Orang Sabah

Assalam...
Ini salah satu menu sarapan kesukaan ketika di Sabah.  Menu yang bukan mak saya sediakan tetapi sering menikmatinya di sekolah atau di pasar gantung Sandakan (Central Market) suatu ketika dulu, bangunan pasar itu pun dah tiada sekarang ini, sudah diganti dengan bangunan baru.  Bangunan dah tiada tak bermakna menu ini juga dah pupus, boleh aje dapatkan dari gerai-gerai makan yang lain. 
Sebab tak pernah tengok mak saya masak benda ini, saya berguru dengan kakak sepupu yang juga berniaga nasi kuning. 
Nasi Kuning
Sumber: Kak Hajah Hayati

Bahannya
4 cawan beras - basuh dan rendam dengan serbuk kunyit lebih kurang 30 minit.
2 liter santan pekat (boleh kurangkan dan ganti dengan air kalau tak nak terlalu lemak).
2 helai daun pandan - simpulkan
serbuk kunyit secukupnya
1 sudu majerin
sedikit garam 

Bahan lauk
Sambal ikan basong
Telur goreng
Hirisan timun


Penyediaannya
*  Masukkan beras, daun pandan, majerin, garam dan santan ke dalam kuali.
*  Masak sambil kacau sentiasa sehingga santan pekat.
*  Letakkan nasi ke dalam mangkuk dan pindahkan ke dalam pengukus.
*  Kukus sehingga nasi kuning masak.

Sambal ikan talapia....talapia tu sebab kebetulan ada stock bolehlah nak meramaikan lagi sambal basong.
Sambal ikan basong (ikan selayang / sardin).
Sebenarnya nak buat lauk untuk nasi kuning ini boleh aje buat lauk lain macam ayam goreng sambal.  Sama jugak halnya dengan memakan nasi lemak, tapi kat sini saya buat yang basic saja sebagai ubat pelepas rindu.
Inilah nasi kuning yang dah siap untuk disantap, sebutir-sebutir nasinya.  Menurut empunya rezeki, kalau kita tak nak kukus boleh juga dimasak terus dalam periuk seperti masak nasi biasa atau nasi lemak.
Perbezaan zaman, masa kini dan masa lalu membawa kepada memori dan kaedah menikmati nasi kuning.  Tentu saja dalam plastik itu tetap menjadi memori indah untuk dikenang, cara murid-murid di Sabah dahulu menikmati makanan ketika di sekolah.
Mengenang memori zaman persekolahan dahulu 80-an dan 90-an terutama ketika sekolah rendah dahulu.  Beli nasi kuning dalam bungkusan seperti di bawah ini, ada nasi kuning, sambal, telur rebus atau ikan goreng.  Harga sebenar dah tak ingat tapi antara 20 ke 30 sen kurang dari 50 sen.  Cara nak makan pusing-pusing dan ketatkan plastik kemudian gigit pada buju plastik, ohh nikmatnya ketika itu makan bersama eskrim malaysia harga 10 sen, begitu juga kalau nak makan mee atau bihun goreng.  Zaman sekarang kanak-kanak sekolah ada lagi ke yang buat macam tu?.
Jom kita sediakan sambal ikan basongnya pula, nasi kuning ini macam nasi lemak juga.  Tidak sah kalau tidak cukup syarat iaitu sambal.


Sambal Ikan Basong
Sumber:  Mulia

Bahannya
Ikan basong (selayang / sardin) - gaul dengan garam dan kunyit dan goreng
Minyak untuk menggoreng


Bahan untuk sambal 
5 biji cili kering - buang biji dan rebus*
4 ulas bawang merah*
4 ulas bawang putih*
1 ulas bawang besar*
1 batang serai*  
sedikit air asam jawa
gula, garam & perasa secukupnya
minyak untuk menumis.


Penyediaannya
*  Kisar bahan bertanda * hingga halus.
*  Panaskan minyak dan tumis bahan kisar hingga naik minyak.
*  Masukkan air asam jawa dan masukkan garam, gula dan serbuk perasa idaman.
*  Sesuaikan rasanya dan bolehlah masukkan ikan yang telah digoreng terlebih dahulu.
*  Kalau nak hidangan berasingan sambal dengan ikan pun boleh.


Selamat mencuba ya...
Wassalam.

No comments:

Post a Comment