Wednesday 15 July 2015

Ayam Masak Lengkuas (Nasu Likku')

Assalam...
Lusa dah raya, mesti semua tengah rancak buat persiapan terutama mak-mak, kakak-kakak kat dapur sibuk main masak-masak kan.  Adik-adik dengan abam-abam tak kan tolong tengok jer? ringan-ringankan lah tulang tu untuk menolong sama ya.  Ini nak share dengan kawan-kawan juadah turun temurun yang disajikan oleh masyakat Bugis ketika menyambut idul fitri mahu pun idul adha iaitu Nasu Likku (Ayam Masak Lengkuas).    

Menjadi tradisi menjelang hari raya mereka akan menyediakan burasak daripada beras biasa atau beras pulut.  Merebus burasak mengambil masa sekurang-kurangnya 6 jam setelah selesai dibungkus dalam daun pisang.  Tentang burasak boleh rujuk sini.  Sementara lauk yang paling sekufu dengan burasak adalah Ayam Masak Lengkuas (nasu likku), kira macam aur dengan tebinglah dua benda ini.  
Kalau ada yang masih tercari-cari nak masak apa untuk hari lebaran ini, boleh lah mencuba ayam masak lengkuas ini.  Tapi perlu di ingat, nak sediakan menu ini perlukan masa dan perhatian yang lebih kerana proses memasak yang agak lama.  Kena sabar banyak-banyak, kan kita dah melalui ujian selama sebulan dengan penuh kesabaran, moga sifat itu melekat dan makin menebal dalam diri.
Ayam Masak Lengkuas (Nasu Likku)
Sumber: Mak Mulia


Bahan-bahan
1 ekor ayam - potong jangan terlalu kecil (sebaiknya guna ayam kampung atau ayam pencen)
Santan dari 2 biji kelapa
1kg lengkuas muda- hiris halus atau diblend
4 ulas bawang merah - hiris
5 ulas bawang putih - hiris
2 batang serai - ketuk-ketuk
Serbuk kunyit
Serbuk lada putih
1 cawan bawang goreng
Air asam jawa
garam dan serbuk perasa.


Bahan Kisar
5 ulas bawang merah
5 ulas bawang putih
2 inci halia
3 batang serai
2 inci lengkuas


Cara Penyediaannya.
*  Lengkuas selalunya disediakan beberapa hari awal, dihiris halus atau tumbuk guna lesung (style orang lama), tampi untuk asingkan  lengkuas halus dengan yang masih kasar, kemudian dijemur dan dikukus sebelum digunakan.  Untuk lebih mudah, saya blend hingga halus.  Lengkuas yang dah dikisar perlu ditapis dan diperah untuk keluarkan airnya.  Cara ini boleh dilakukan serentak semasa kita hendak memasak ayam lengkuas, maknanya lengkuas tak perlu dijemur atau dikukus lagi.
*  Perap ayam bersama bahan kisar, tambahkan air asam jawa, lada putih dan garam.
*  Guna kuali yang bersesuaian, didihkan santan hingga berketul sedikit dan pekat.
*  Masukkan lengkuas yang telah diblender tadi dan masak lagi hingga pekat dan pecah minyak.
*   Masukkan serbuk kunyit, bawang hiris, bawang goreng dan serai.  Jika menggunakan ayam kampung atau ayam tua boleh masukkan sekali waktu ini.  Tetapi jika guna ayam daging seeloknya masukkan ketika lengkuas dan santan sudah pekat, untuk mengelakkan daging ayam hancur.

*  Masak guna api sederhana hingga kering dan kekuningan.  Perlu sentiasa dikacau terutama bahagian bawah untuk mengelakkan berkerak dan hangus.
*  Masak sehingga kering dan kekuningan,  lengkuas dan santan akan menjadi seperti seredak yang biasa ditemui pada ayam goreng berempah.

Nota: Ada sesetengah orang menyediakan masak lengkuas yang masih basah atau sedikit lembab.  Terpulang pada kesukaan masing-masing, tetapi bila kita masak sehingga kering, ianya lebih tahan lama dan aroma masak lengkuas lebih wangi.

Wassalam.

1 comment: