Sunday 4 October 2015

KEK GULA HANGUS AKA KEK DUNLOP..

Assalam....
Antara kek kegemaran keluarga terutama mak saya.  Kenangan semasa baru mula tumbuh jadi anak dara di kampung, mak selalu pesan intai-intai tukang masak di rumah kenduri ketika sediakan kek ini (selalu mereka ada rewang sehari dua sebelum berlangsung hari besar semata-mata untuk memasak kuih muih).  Kita pun pulun lah duduk dapur dan tengok dengan mata tak berkedip nak mengingat sukatan dah langkah demi langkah, nasib baik kalau dapat tukang masak yang tak kedekut akan bagi tau resepi dan tips.  Nanti boleh praktis di rumah, tapi itulah kadang sarangnya menjadi dan kadangkala bantat.  Cuba lagi, kalau hasil bantat lagi, kita pun give up ler nak mencuba lagi.

Bila dah keluar kepompong, pesan mak tetap di ingat dan misi mencari resepi yang senang serta mudah dan yang paling penting hasilnya memuaskan.  Allah dengar niat yang baik dan dimakbulkan berkenalan dengan Roslina (bekas teman rumah bujang semasa di Penang dulu) dari dia saya peroleh resepi ini dan memang guna sampai sekarang.
 


Kek Gula Hangus
Sumber: Roslina

Bahan-bahan
7 biji telur
2 cawan tepung gandum*
2 sudu teh soda bicarbonate*
1 cawan susu pekat
2 sudu besar margerin
* Ayak bersama terlebih dahulu.

Bahan karemel (gula hangus)
2 cawan gula pasir
2 cawan air

Cara - masak gula hingga perang dan masukkan air, masak hingga gula larut, tutup api dan masukkan majerin.  Ketepikan (sejukkan).

Penyediaannya
* Pukul telur hingga kembang, masukkan susu.
* Masukkan tepung sedikit demi sedikit.  Tuang air gula, gaul hingga sebati (tapis adunan jika berketul-ketul).
* Bakar dalam loyang yang telah dilenser dengan majerin lebih kurang 60 minit dengan suhu 180'C atau bergantung pada jenis oven.


Kek ini sebenarnya banyak nama, mengikut tempat agaknya.  Dikenali sebagai kek sarang semut, kek sarang lebah, kek gula hangus.  Tapi paling win, orang kampung saya panggil ini kek dunlop, bukan sempena nama tayar janama dunlop tu, tapi nama sempena nama jenama tilam dunlop berspring menggantikan tilam kekabu orang dulu-dulu yang keras kematu.  
Wassalam.

No comments:

Post a Comment