Monday 15 August 2016

Ketupat Sotong


Assalam...
Sessi main masak-masak dengan mak mertua, kali ini belajar buat ketupat sotong yang merupakan salah satu makanan tradisi orang pantai timur terutama kelantan dan terengganu.  Ketupat sotong ini sebenarnya kena makan sebagai lauk dengan nasi atau dimakan begitu saja?  saya pun tak berapa pasti.  Tetapi kedua-dua cara itu pun boleh mengikut citarasa masing-masing.




Jom ikut langkah demi langkah ini, simple dan mudah saja untuk menyediakan menu ketupat sotong ini.



Kulit luar sotong tu boleh dibuang kalau hendakkan sotong yang putih.   Tetapi sebab kami suka ketupat sotong yang asli dan masih nampak kulit yang bintik-bintik jadi biar ajelah.



Ketika proses memasak itu pun, kulit luar sotong akan tertanggal dengan sendirinya.



Ketupat Sotong
Sumber: Nang Teh


Bahn-bahan
1 kg sotong - bersihkan dan asingkan kepala dan badan.
2 cawan beras pulut - rendam sekejap
1 liter santan cair
500ml litre santan pekat 
Garam secukupnya
Gula pasir
Gula nipah (manisan)
Daun pandan


Cara Penyediaannya
*  Campurkan beras pulut yang telah direndam terlebih dahulu dengan sedikit santan cair dan garam.
*  Isikan pulut ke dalam badan sotong sehingga 2/3 penuh.
*  Sumbatkan balik kepala sotong ke badan sotong dan kemaskan dengan lidi.
*  Susun sotong dalam kuali atau periuk, masukkan santan cair dan daun pandan.  Masak hingga menggelegak.
*  Masukkan santan pekat dan gula nipah.
*  Tanak hingga pulut masak dan kuah pekat sedikit.




Wassalam.

Thursday 11 August 2016

Butir Nangka.


Assalam...
Kejadian penghujung ramadhan lepas, mak mertua ada di rumah jadi kita minta dia sediakan kuih untuk berbuka puasa.  Disebabkan masa pun dah suntuk dan bahan-bahan yang limited, butir nangka menjadi pilihan untuk disediakan petang itu.  Pernah buat sekali dengan en.Abe dulu, ceritanya di sini.  Tapi kali ini nak merasa dari air tangan yang empunya resepi itu sendiri.


 Butir Nangka 

Sumber ResepiNang Teh

  1 bungkus tepung beras (300gm) 3 sudu tepung beras pulut sedikit air kapur Daun pandan - blender untuk jus Pewarna hijau. Pewarna merah jambu  Air secukupnya untuk membuat doh. 2 litre air untuk merebus biji nangka.
 

  Cara Menyediakan
  1. Gaul tepung, air kapur dan air secukupnya untuk membuat doh seperti hendak membuat kuih Buah Melaka atau Ondeh-Ondeh.  Bahagikan kepada dua bahagian. 
  2. Satu diwarnakan dengan pewarna merah jambu dan satu lagi diwarnakan hijau menggunakan jus pandan, boleh tambahkan sedikit pewarna hijau klau nak hasilnya yang lebih hijau. Klau kawan2 nak guna warna lain pun boleh juga.
  3.  Bentukkan doh bujur memanjang sebesar jari kelingking sehingga habis. 
  4. Didihkan air di dalam periuk lebih kurang 2 litre.  Masukkan doh yang telah dibentuk ke dalam air mendidih.
  5.  Angkat doh yang dah timbul dipermukaan mengunakan penapis dan letakkanya ke dalam air sejuk. 


Untuk Kuah
  300gm Gula Nipah (orang kelantan panggil manisan, klau takde gula nipah, guna gula merah atau gula melaka ataupun gula kabung) ikut kemanisan masing2.
  2 sudu Gula Pasir
  1 litre Santan
  2 helai daun Pandan - simpulkan
  secubit garam
  3 sudu tepung beras (cairkan bersama santan untuk memekatkan kuah), yang ini ikut suka,  kalau tak nak pekat pun boleh.



Cara Menyediakan
  1. Larutkan gula menggunakan sedikit santan dan masukkan simpulan daun pandan.  Masukkan lebihan santan.  
  2. Masukkan roux perlahan-pelahan sambil kacau kuah untuk mengelakkan  roux berketul dan santan pecah minyak.     
  3. Letakkan sedikit dan bila dah menggelegak kecil, tutupkan api.
*Untuk menghidangkannya, ambil beberapa ketul butir nangka dan letakkan kuah.  Boleh dihidangkan secara panas mahupun sejuk.  Sebagai alternatif, boleh meletakkan hirisan buah nangka ke dalam bubur ini



Wassalam.

Monday 8 August 2016

Minuman Soda Herb, am falling with...


Assalam....
Dah terjatuh hati dengan minuman ini, minuman soda herb.  Ada yang kata popular dekat kedai william dekat sini, tapi tak pernah lah pulak minum di situ.. lagipun dah lama sangat kami tak pergi makan kat situ, memang tak akan pergi kot...


Pertama kali buat ketika bulan puasa lepas, hari itu ramai-ramai kami berbuka puasa di rumah jadi buatlah sebab ingatkan best kalau dapat dinikmati bersama.  Nak dijadikan cerita, hanya tuan rumah yang minum, tetamu semua tak berehi nak minum air ini.  Walaupun sedap, tuan rumah pun agak-agaklah nak syok sendiri kan sebab tetamu hanya berehi minum air sirap...hahahaha. So mana yang lebih tu kita sumbat masuk peti, sebab masa yang sama kalut nak balik kampung. 


Oleh kerana masih tak puas hati lagi menikmati minuman ini, sampai kampung malam raya buat lagi. Kesian bapak terkocoh-kocoh pergi ambil serai malam-malam buta, cepat jer serai tu ada bila kita tanya ada serai ke tidak (almaklum bekas tokeh serai, mana boleh kata dah takde pokok serai lagi).  Agaknya beliau ingat kita nak campur dalam masakan sebagai menu hari raya keesokkan harinya.


Minuman Soda Herb
Sumber: Pelbagai


Bahan-bahan
Air ice cream soda
Laici dalam tin
Asam masin
Daun pudina
Serai - ketuk
Lemon (optional) - hiris
Air masak atau ketulan ais


Cara Penyediaan
* Campurkan semua bahan dalam bekas, sesuaikan dengan rasa manis yang dikehendaki.
*  Saya letak hanya sedikit saja air soda, sebab dah gunakan semua air laici alam tin dan lebihkan dengan air masak.
*  Saya tidak letakkan ais batu tetapi biar seketika dalam peti ais hingga sejuk sementara rasa asli daripada bahan-bahan bercampur mesra.  

Di kampung rasa seronok, sebab ramai jugak yang minat minum soda herb ini.  Walaupun ada yang terkejut bila diberitahu air tu dicampur dengan serai.  Yang bestnya sebab mereka sporting walaupun mereka tak minum banyak tetapi tetap nak mencuba sedikit, tidaklah tuan rumah bermuram durja sebab air dihidang tidak dikerling kalau sebelah mata oleh tetamu.  Bapak seperti biasa tidak gairah dengan makanan lain selain menu hari-hari yang dia biasa makan.   
Wassalam.

Tuesday 2 August 2016

Shelloutku yang Pertama...


Assalam...
Cara makan hidangan sebegini di panggil shell out ya?  Kaedah menghidang makanan yang menjadi trend terkini.  Lauk yang terdiri daripada campuran makanan laut dan yang bercengkerang dihidang secara dilonggok di tengah-tengah meja.  Ada orang kata, shell out tu nama restoran yang mula-mula buat hidangan cara ini kemudian melekat nama tu, walaupun restoran tu nama lain dan di tempat lain.  Kira macam mee segeralah, makan jenama lain tapi still orang sebut makan maggi.  Lebih kurang gitulah mengikut pemahaman saya.  Konsep makan cara begini kalau fikir-fikir macam konsep hidangan nasi ambeng atau makan dalam dulang pun ada.  Trend ini pun cepat tersebar kalau nak tahu dah sampai ke kampung saya pun. Cuma balik hari itu tak sempat pergi mencuba.
 

Ini kami makan di restoran Periuk Belanga Kelana Jaya, mulanya kami datang nak makan soto ayam yang best di sini.  Bila belek-belek buku menu, aik kat sini pun ada buat shell out, itu yang kami cuba tu.  Menu shell outnya dimasak sambal.  Agaknya mengikut konsep restoran itu sendiri yang terkenal dengan hidangan melayu Johor terutama asam pedas.   


En.Abe makan laju lepas itu terus berhenti makan dan order air lagi.  Ingat dia malas nak perisi segala kerang-kerangan tu, tapi sebab dia kepedasan.  Dia memang jenis tak tahan makan makanan pedas, dah cuba banyak kali tapi tak boleh.  Disebabkan tak mahu membazir saya pulun habiskan juga, walaupun air hidung dah meleleh.



Lepas ini, kalau nak merasai nikmat shell out sebenar kena try di tempat lain kot.  Style masak yang lain, western style atau chinese style ker. 

Wassalam.

Cerita Raya Lagi..

Assalam...
Cerita raya dan makan-makan tak habis lagi, jamuan makan sempena raya untuk kawasan kejiranan kami.  Baru pertama kali menghadirkan diri itu yang nak cerita.  Sebelum-sebelum ini hari jamuan tu sentiasa clash dengan program lain jadi tak dapat nak hadir.  Teruk kan we all, buat hal masing-masing kenal pun hanya beberapa orang je kat sini. 
 

Makanan malam itu disediakan secara gotong royong oleh kaum ibu selain itu ada juga sumbagan dari orang perseorangan.  Banyak jenis juga lah tapi masih kurang berbanding dengan tahun-tahun lalu menurut cerita orang yang satu meja dengan saya tu (tak kenal nama, baru 1st time jumpa dia pun kata tak pernah jumpa saya, fair and square lah tu).  


Sessi berhibur tak ketinggalan, selain lagu raya sesiapa yang nak menyumbangkan lagu dipersilahkan boleh lah nak karok.  Ini Pak Omar tengah nyanyi lagu apa ntah... kira orang kuatlah kat sini.


Roti bom, live store concept malam tu.  Panjang jer orang berbaris sambil pegang pinggan masing-masing.


Saya pun tak ketinggalan beratur juga (masa tu en.Abe dah balik rumah, laju jer nak tengok bola lah tu).  Lepas dah dapat roti bom, cepat-cepat minta diri nak balik juga.  Layan bola sambil makan roti bom.

Terima kasih sudi menjamu dan menjemput kami, In Sha Allah tahun hadapan kita join lagi.
Wassalam.

Monday 1 August 2016

Pokok Kedondong


Assalam..
Pokok kedondong sebelah kiri dan kanan ditepi rumah, pokok kegemaran mak.  Sejak dahulu mak memang suka tanam pokok kedondong, di mana dia menetap akan ada di tanam berdekatan dengan rumah.  Keadaan komposisi dalam tanah mungkin penyebab utama kenapa pokok di sebelah kanan lebih subur, lebih tinggi dan buahnya lebih besar berbanding yang sebelah kiri, namun kedua-duanya tetap mengeluarkan buah bila tiba waktunya.  Nak kata dia suka sangat makan buah kedondong, tidak juga mungkin sebab senang nak tanam, tak perlu jaga rapi dan satu-satunya pokok yang beliau tanam yang akan cepat berbuah. 


Disebabkan keinginan nak tahu kenapa mak suka tanam pokok ini, pernah jugak tanya kenapa asyik tanam pokok kedondong tanamlah pokok buah lain macam rambutan ker, durian ker.  Buah tu lagi sedap dari buah kedondong.


Pokok kedondong unik, selepas musim buahnya habis, daun-daun akan kekuningan dan berguguran, meninggalkan ranting dan pokok yang togel, seakan pokok nak mati.  Selepas beberapa ketika kemudian di penghujung ranting atau dahan akan tumbuh tunas-tunas baru berupa pucuk daun dan bunga.  Itu bermakna musim untuk berbuah sedang bermula.  Fenomena itulah yang mak paling suka dan alasan itulah yang membuatkan dia suka akan pokok kedondong.
 


Selalunya pokok yang masih kecil akan dicantas pada tunas supaya pokok kedondongnya menjadi rendang dan berdahan rendah.  Meyenangkan kita dikemudian hari untuk memanjat pokok kedondong itu nanti.  Pucuk daun muda kedondong boleh dijadikan sebagai bahan utama untuk menyediakan menu Ayam Masak Asam Daun Kedondong (Manuk Nasu Kecci).  


Antara buah kedondong yang sempat dipetik untuk dibawa balik  sebagai buah tangan untuk kawan-kawan.  Kalau rajin dan ada masa yang lama di kampung boleh petik banyak sikit untuk dibuat jeruk atau pajeri kedondong.
Wassalam.