Tuesday 22 November 2016

Kuih Nona Manis


Assalam...
Kuih yang boleh dianggap sebagai fenomena juga dikalangan tukang-tukang masak dan suri rumah sekarang di negara ini.  Asal usul kuih ini tak dapat saya nak pastikan jadi jangan tanya ada yang kata kuih ini asal dari kelantan, ada yang kata kuih asal dari Indonesia.  Karang bagi fakta yang salah dan orang percaya itu dah kira menipu.  Sila rujuk dengan sejarawan kuih ye (ada ker individu tersebut).  Saya sebenarnya ada menyimpan resepi kuih nona manis (yang kadang kala mereka panggil kuih cantik manis) sejak dari tahun 1998 lagi lama kan peram resepi.  Bila dah viral baru keluarkan dari peti besi.  Resepi pemberian dari ibu saudara di Indonesia (Petta Jume'), ketika itu saya sendiri sempat saksikan cara penyediaan kuih nona manis yang mereka sediakan untuk satu majlis keramaian.  Dulu memang minat kumpul dan simpan resepi  (sebelum zaman internet) masaknya jer tidak, salin dari majalah, tv, radio ataupun ambil daripada tukang-tukang masak di kampung.  Tetapi sebab tak diamalkan jadi tak berkembang ilmunya.    


Sukatan resepi yang digunakan dalam kuantiti yang banyak, jadi kalau nak sediakan untuk ahli keluarga yang kecil, kena kurangkan sukatan.
 

Nona Manis (Cantik Manis)
Sumber: Petta Jume'

Bahan - A
5 mangkuk tepung gandum
5 mangkuk santan
pewarna hijau / pati daun pandan
4 biji telur
2 mangkuk gula pasir

Cara penyediaanya
*  Bahan A - pukul telur dan gula hingga kembang.
*  Campurkan santan dengan pewarna hijau atau pati daun pandan hingga dapat warna hijau yang diingini.
*  Masukkan tepung ke dalam telur tadi dan kacau rata.
*  Masukkan santan dan gaul rata.


Bahan - B
1/2 mangkuk tepung jagung
4 mangkuk santan
pewarna hijau / air pati
1/4 mangkuk gula
sedikit garam

Cara penyediaanya
*  Bahan B - Campurkan tepung jagung, santan, gula dan garam, gaul hingga rata sehingga tiada tepung yang berketul.
*  Masak di atas api sederhana sambil terus dikacau.
*  Masak hingga pekat, berkilat dan meletup-letup.
*  Tutup api.


Bahan - C
2 sudu besar tepung gandum
2 mangkuk santan pekat
1 sudu garam

Cara penyediaanya
* Bahan C - Campurkan semua bahan dan kacau rata hingga tepung sebati dengan santan.
*  Masak atas api sederhana sambil terus di kacau.
*  Masak hingga adunan tepung kental dan meletup-letup.



Cara Penyediaan Keseluruhan

* Sediakan periuk kukusan.  Acuan oles dengan minyak.
*  Campurkan olahan bahan B ke dalam olahan bahan A.  Gaul rata atau guna mixer / blend untuk sebatikan adunan.
*  Sendukkan adunan ke dalam acuan hingga 3/4 penuh.
*  Sendukkan / paipkan adunan putih (bahan C) ke atas adunan hijau tadi.
*  Susun dalam kukusan dan kukus hingga masak (lebih kurang 10 ke 15 minit).
*  Bungkus penutup kukusan dengan kain bersih untuk mengelakkan air kukusan menitis ke atas kuih.
*  Angkat dan sejukkan kuih sebelum mengeluarkan daripada acuan.
* Boleh letakkan acuan kuih dalam dulang yang berisi air sejuk untuk mempercepatkan proses penyejukkan.
*  Dah sejuk boleh keluarkan daripada acuan dan hidangkan.


Kena dapatkan tips macamana nak buat warna putih tu cantik terletak si atas warna hijau.  Sebab ini titikan guna sudu saja, tu yang tak sama rata ada besar dan kecil titikannya itu.  Katanya ada yang guna piping beg atau botol sos ya.  Huduh sungguh hasil percubaan pertama, bukan itu saja mereka yang makan kata kurang lemak dan kurang manis.  Nasib tak patah semangat untuk mencuba lagi.


Yang paling win apabila resepi dah sampai kepada mereka yang lebih kreatif.  Maka terhasilnya banyak versi kuih nona manis yang mana asalnya hanya rasa pandan dan berwarna hijau, sekarang dah ada versi durian, kacang merah, jagung, keladi, coklat dengan pelbagai warna.  As long ianya boleh diterima ramai oleh tekak si pemakan tiada salahnya, itulah yang dikatakan revolusi sesuatu menu dan resepi.
Wassalam.

No comments:

Post a Comment