Tuesday 10 October 2017

Kampung Bambangan, Sandakan


Assalam...
Usaha penduduk Kampung Bambangan, Sandakan menjadikan kawasan perkampungan mereka sebagai pusat rekreasi patut dicontohi oleh kampung-kampung lain.  Kampung ini hanya merupakan perkampungan kecil nelayan yang dihuni kurang daripada 100 buah keluarga dan boleh diakses melalui jalan darat dan pun jalan laut dari pada bandar Sandakan. 



Kedudukan, kampung Bambangan dalam daerah Sandakan (Bandar).  Walaupun masih terdapat sebahagian jalan masuk yang masih belum bertar, itu bukan halangan pelawat untuk datang berkunjung ke sini dan bilangannya semakin bertambah.


Istimewa tempat ini kerana kedudukannya ditepi laut yang berdekatan dengan kawasan sangkar ternakan ikan.  Pembinaan jeti yang menganjur ke laut dan dilengkapi dengan bangunan yang dijadikan tempat pengunjung beraktiviti di hujung minggu bersama keluarga. 


Pelawat dikenakan sedikit bayaran untuk memasuki kawasan rekreasi.  Semasa kami datang, kaunter bayaran dah tutup,  tetapi pintu masuk pada jeti laluan ke pusat rekreasi di tengah laut masih terbuka. 


Bangunan yang menempatkan gerai dan kaunter bayaran untuk masuk ke pusat rekreasi Kampung Bambangan.


Pemandangan ke rumah penduduk daripada bangunan pusat rekreasi.  Setakat ini pusat rekreasi ini hanya membenarkan aktiviti pada waktu siang seperti mandi laut, memancing, berkayak dan bbq.  Bekalan makanan dan peralatan bbq boleh dibawa dari rumah atau dapatkannya di sini dengan kadar bayaran tertentu.


Di bangunan pusat rekreasi telah disediakan beberapa tempat yang sesuai untuk menampung beberapa group dalam satu-satu masa.  Mereka mengamalkan sistem siapa cepat dia dapat, boleh pilih kawasan yang mereka suka.  Untuk aktiviti mandi laut, terdapat platform disediakan yang bersesuaian dengan peringkat umur.


Terdapat perkhidmatan berperahu melawat tempat ternakan ikan dalam sangkar.  Menurut penduduk yang kami temui, pelawat boleh membeli ikan dari sangkar untuk bbq atau sebagai bekalan untuk dibawa balik.


Oleh kerana Kampung Bambangan ini masih baru diperkenalkan dan membuka pintu untuk kedatangan orang luar.  Beberapa kemudahan asas perlu penambahbaikkan untuk keselesaan penduduk dan pelawat.
Wassalam.

2 comments:

  1. This comment has been removed by a blog administrator.

    ReplyDelete
  2. This comment has been removed by a blog administrator.

    ReplyDelete