Saturday 14 October 2017

Maranjak Long House, Matunggong Kudat


Assalam...
Siapa nak merasa tidur dalam perut "binatang"?, Binatang adalah nama bagi rumah panjang dalam bahasa suku kaum Rungus di Sabah.   Binatang merupakan satu kebanggan kepada suku kaum Rungus kerana ianya menggambarkan sesuatu yang unik bagi suku kaum mereka.  Rumah panjang lazimnya sepanjang 300 kaki, dibina di atas bukit dan mempunyai tiang tinggi, kawasan bawah rumah (kolong) digunakan untuk memelihara binatang ternakan seperti ayam, kerbau dan babi.  Ianya juga bertindak sebagai tugu pertahanan daripada serangan luar.  


Di halaman rumah panjang ada disediakan biografi En. Maranjak sebagai pengasas rumah panjang (Rungus) di Matunggong Kudat.  Bekas ahli politik yang banyak memperkenalkan rumah panjang suku kaum Rungus kepada pelancong.


Bahan binaan rumah panjang suku kaum Rungus adalah daripada sumber tempatan seperti kayu, buluh dan rumbia.  Maranjak Long House turut menggunakan bahan asli yang biasa untuk mengekalkan ciri sebenar sebuah rumah panjang Rungus.  Dinding daripada kulit kayu, atap rumbia sementara lantainya diperbuat daripada papan dan sebahagiannya daripada buluh. 


Laluan dan tangga di dalam rumah panjang yang bersambung dengan ruang serambi di sebelah kiri dan bilik tidur disebelah kanan.  Ruang serambi merupakan tempat pertemuan dan tempat ahli keluarga melakukan aktiviti seharian mereka.


Laluan daripada rumah panjang no.1 ke ruang lobby.


Antara bilik tidur yang boleh di sewa jika menginap di Rumah Panjang Maranjak.  Bahan binaan rumah panjang sepenuhnya adalah daripada kayu dan buluh untuk mengekalkan ciri sebenar sesebuah rumah panjang.  Dinding Lantainya diperbuat daripada papan dan sebahagiannya daripada buluh. 


Ruang tengah (yang berfungsi sebagai lobby) menghubungkan antara rumah panjang no.1 dan no. 2.  Dalam situasi sebenar, ruang ini merupakan tempat pertemuan dan berbincang antara pelawat dan ahli rumah panjang.  Serambi pula merupakan tempat privasi untuk ahli keluarga sahaja.


Bangunan yang menempatkan kedai kraftangan, alat muzik tradisi dan pentas.  Pengunjung yang yang ingin mengetahui lebih mendalam tentang adat budaya suku kaum Rungus boleh meminta pihak pentadbiran menyediakan persembahan tarian atau menyediakan sajian dengan kadar bayaran tertentu.


Perhiasan manik yang dijual di kedai kraftangan.


Peralatan muzik gong sangat sinonim dengan suku kaum Rungus di Sabah yang diwarisi secara turun temurun daripada nenek moyang mereka.  Gong menjadi peralatan yang sangat penting ketika menjayakan sebarang acara keramaian.


Bagi sesiapa yang ingin merasai pengalaman menginap di rumah panjang, boleh lah chek in di Marajak Long House yang terdapat di Matunggong, Kudat.
Wassalam.

No comments:

Post a Comment