Wednesday 23 May 2018

Sambal Tomat Kak Soda


Assalam...
Sambal tomat (sambal tomato) antara hasil air tangan kak soda yang menjadi kegemaranku bila kami dapat berkumpul bersama.  Buah tomato memang tak pernah putus bekalan dalam peti ais rumahnya, lebih-lebih kalau tau saya nak datang bertamu.  Setiap hari mesti minta dibuatkan sambal ini, takde ikan bakar pun boleh jalan dengan sayur bening.
 

Kunjungan kali ini menggunakan tomato bulat, besar sikit daripada tomato ceri, saya bertanyakan buah tomato yang berlipat-lipat bentuknya seperti selalu yang digunakan.  Kak soda maklumkan agak sukar mencari buah seperti itu sekarang, mungkin sudah jarang ditanam oleh petani sebab hasil tak sebanyak yang bulat.



Mari sediakan sambal tomat fresh, tiada resepi pun boleh sebab dah ada gambar step by step.


Dah masukkan hirisan tomato, tak perlu tumbuk sekuat tenaga.  Tumbuk manja-manja cukup asal sebati semua bahan.


Perahkan air limau nipis, sambal ini memang rasa dia agak masam.  Masam paduan antara masam tomato dan masam air limau nipis.


Rasa sambal semakin sedap jika menggunakan minyak kelapa sebab wangi, jika tiada boleh gantikan dengan minyak zaitun. 



Resepinya ringkas dan mudah lebih kurang kat bawah ini.


Sambal Tomat
Sumber: Kak Soda


Bahan-bahan
5 biji tomato sederhana - hiris halus
2 biji bawang kecil
4 biji cili padi - boleh tambah kalau nak pedas
Garam secukupnya (Kak Soda guna garam kasar)
1 biji limau nipis - ambil jus
Sedikit minyak kelapa


Cara penyediaannya
*  Tumbuk cili padi dan garam hingga lumat.
*  Masukkan bawang, tumbuk lagi hingga lumat.
*  Tambahkan hirisan buah tomato, lumatkan hingga sebati semua bahan.
*  Perahkan jus limau nipis dan sesuaikan rasanya.
*  Akhir sekali masukkan minyak kelapa.  Gaul sebati dan hidangkan.



Sambal tomat ini sangat sedap sebagai bahan cicah untuk ikan bakar atau dijadikan sebagai sambal begitu saja.  Sambal ini merupakan sambal mentah dan sebaiknya disediakan segar ketika menghampiri waktu makan.


Nasi panas, sayur bening, ikan goreng dan sambal tomat sudah cukup untuk membuatkan seorang saya makan bertambah-tambah.
Wassalam.

No comments:

Post a Comment