nuffnang_bid = "6d3fefaa2657f8901dfaPages

Showing posts with label Cerita Raya. Show all posts
Showing posts with label Cerita Raya. Show all posts

Monday, 19 June 2017

Poskad Animasi Aidil Fitri


Assalam...
Selamat bersiaran, lamanya ala hai berehat.  Rindu tapi apakan daya, tak kesampaian jari menggapai keyboard.  Daripada sihat sampai ke sakit, sembuh dan sakit semula dan diberi kesembuhan lagi. Nikmat Allah beri sangat banyak, tetapi ketika menerima ujian yang sedikit, serasa sangat tidak berdaya dan lemah untuk melaluinya.

Baru nak ucap selamat berpuasa, tetapi kita dah masuk penghujung ramadhan dah pun.  Semoga ini ramadhan terbaik untuk kita semua.



Sebenarnya nak cerita pasal dapat poskad raya, ala macam kad raya juga lah.  Dah berzaman kita tinggalkan berkirim kad-kad raya ini kan, tiba-tiba pagi tu dapat poskad raya.  Ingat poskad biasa saja, abang posmen tu tulah yang tunjuk kan caranya nak tengok kad itu guna hp dia.


Kalau tidak memang tengok macam kad biasa saja lah kan.  Siapa sangka poskad raya bisa secanggih ini kan.  Dulu-dulu kita dapat yang berbunyi tu kira paling canggih kan, siap tayang kat semua kawan-kawan bila dapat, sebab bukan semua orang boleh dapatkan yang macam tu.


Poskad animasi nie, didatangkan dengan 4 design kad, dengan tiga lagu berbeza.  Paling best sebab dah lengkap dengan setem.  Jadi kalau nak kirim tak perlu susah beratur nak beli setem lagi.


Mokcik jakun sekejap, dapat poskad raya animasi begini.  Lepas tu tunjuk kat kawan-kawan kad ajaib ini, la la tu juga mereka pecut pergi pejabat pos nak dapatkan poskad ini.  Jom tengok sample video kat bawa ini. 

video


video

Sempat lagi kot kalau nak beli dan poskan kepada kawan-kawan.  Dah dapat tu cepat-cepat down load aplikasi mengikut arahan yang ada pada poskad tu.
Wassalam.

Tuesday, 1 November 2016

Rendang Daging Klasik...


Assalam...
Yang ini entah tahun bila punya lauk raya dah tak ingat, tapi yang pasti ini adalah raya yang di kotaraya, masa yang tak balik kampung.  Beraya di rumah sendiri itu yang suka hati nak tentukan menu sendiri.  Begitulah kalau raya setiap tahun mesti tak sama tempat sampai menu boleh lupa, banyak sangat kampung yang kena rotate.

Sebenarnya nak juga merasa suasana raya di kampung itu yang pulun merendang.  Sebab kurang mahir maka kita godek-godek blog tukang masak sohor Che Mat Gebu, ada banyak versi rendang kat blog beliau, pilih lah yang mana suka.  Terbekenan dengan rendang daging klasik ini, maka kita copy paste resepi dan tips yang pakar kat sini.  Minta halal ye Che Mat..




Rendang Daging Klasik
Sumber: Che mat Gebu


Bahan-bahannya
2kg daging lembu pejal, dipotong kiub, cuci dan toskan
2 kuntum bunga kunyit hiris halus
2 helai daun kunyit, hiris halus
5 helai daun limau purut
2 liter santan (dari 3 biji kelapa)
Air panas secukupnya
5 camca penuh kerisik
4 camca besar rempah kari daging Baba's
1 senduk nasi cili kisar
3 keping asam gelugor
2 camca besar hirisan gula melaka
Garam secukup rasa


Bahan-bahan Kisar Halus
2 biji bawang besar,
18 biji bawang merah
7 ulas bawang putih
10 biji buah keras
1/2 inci belacan
2 inci kunyit hidup
30 biji cili padi
12 batang serai, hiris halus 

Bahan Tumis
1 batang kayu manis
2 kuntum bunga lawang
8 kuntum bunga cengkih
4 biji buah pelaga
5 biji bawang merah, hiris halus
2 ulas bawang putih, hiris halus


Cara Penyediaannya
* Satukan bahan kisar halus bersama kari, kacau rata hingga sebati.  Ketepikan.
*  Panaskan minyak dalam kuali, masukkan bahan tumis hingga harum, tambah cili kisar dan tumis hingga cili garing.  Masukkan rempah kari dan bahan kisar halus tadi dan masak hingga terbit minyak dan rempah garing, guna api sederhana dan kacau selalu.
*  Masukkan daging dan kacau rata.  Masak hingga daging kecut, Tuang Santan, kacau dan biar mendidih hingga pekat.  Masukkan garam (sedikit dahulu), kerisik, asam gelugor dan daun limau purut.  
*  Kacau rata dan terus memasak hingga sedikit kering.  Kalau masa ini daging masih keras, tuang sedikit air panas dan sambung masak guna api kecil.
*  Masukkan gula melaka dan sedikit lagi garam.  Kacau rata dan masak hingga rendang kering tapi masih lembap.
*  Masukkan hirisan bunga dan daun kunyit, gaul rata dan masak lagi.  Rasa dan jika ok boleh matikan api.
* Hidangkan bersama ketupat, lemang, nasi dan sebagainya.

Tips Dari Che Mat Gebu:-
- Jangan letak garam banyak-banyak, dikhuatiri daging akan lambat empuk dan rendang akan jadi masin bila ia kering nanti.  
- Satu lagi tips yang Che Mat selalu buat, untuk memastikan rendang anda tahan lama, bekas yang anda guna untuk menyimpan rendang harus kering, bersih dan jika menggunakan periuk, panaskan sekejap periuk tadi, kemudian masukkan rendang.  
- Jangan tutup rapat periuk berisi daging rendang panas, biarkan ia renggang sedikit, ini untuk menggelakkan wap air yang terkumpul akan masuk kembali dan rendang anda dan menyebabkan ia cepat basi.  Senduk yang anda guna pun harus kering dan bersih....



Tak pandai bukan alasan kan, belambak rujukan kat web.  Cuba dulu, tak cuba tak tahu hasilnya macamana.
Wassalam.

Sup Tulang Kambing


Assalam...
Antara sup yang paling kerap dimasak di dapur kami dan tak kira sama ada musim raya atau hari biasa.  Nampak sangat suka makan kambing kan, sebenarnya bergantung juga kepada bekalan tulang kambing golek jika ada.  Lebihan tulang kambing golek ini lebih sedap daripada tulang frozen, sebab rempah-rempah yang diguna semasa proses memerap kambing sudah meresap dalam tulang dan daging kambing.   


Jom lah tengok resepinya.

Sup Tulang Kambing
Sumber: Mulia


Bahan-bahan
2 kilo tulang kambing (lebihan kambing golek)
1 bungkus sup bunjut
2 batang cellery - potong
3 biji tomato - belah 4
2 biji bawang holland - belah 4
2 labu bawang putih - ketuk
Air secukupnya
Garam secukupnya
Serbuk perasa secukupnya
Daun bawang - hiris
Daun sup - hiris
Bawang goreng
* Batang, akar daun sup dan bawang, cuci bersih dan rebus bersama tulang kambing. 


Bahan Tumis
5 biji bawang merah*
2 biji bawang besar*
2 labu bawang putih*
2 inci halia*
1 sudu serbuk jintan manis
1 sudu serbuk jintan putih 
1 sudu serbuk ketumbar
1 bungkus kecil serbuk rempah sup
1 bungkus kecil serbuk kurma
minyak untuk menumis


Cara Penyediaannya
* Rebus tulang bersama sup bunjut, batang celery, bawang holland dan bawang putih.
* Blend halus bahan bertanda "*"
* Tumiskan bahan blender dalam periuk yang berasingan hingga naik minyak.
* Campurkan semua serbuk rempah ke dalam mangkuk dan letakkan sedikit air untuk jadikan peste.
*  Masukkan paste ke dalam bahan tumis.  Tumis hingga rempah masak.
*  Tuangkan rempah tumis ke dalam sup tulang.  Rebus lagi hingga empuk.
* Masukkan buah tomato.  Sesuaikan rasa dengan garam dan bahan perasa.
*  Taburkan daun bawang, daun sup dan bawang goreng ke dalam sup.
*  Hidang bersama sambal kicap.  Boleh dimakan bersama nasi, nasi impit ataupun ketupat.
 


Nota - Buatkan sambal kicap yang pedas sebagai pelengkap  untuk menikmati sup kambing.
Wassalam.

Tuesday, 2 August 2016

Cerita Raya Lagi..

Assalam...
Cerita raya dan makan-makan tak habis lagi, jamuan makan sempena raya untuk kawasan kejiranan kami.  Baru pertama kali menghadirkan diri itu yang nak cerita.  Sebelum-sebelum ini hari jamuan tu sentiasa clash dengan program lain jadi tak dapat nak hadir.  Teruk kan we all, buat hal masing-masing kenal pun hanya beberapa orang je kat sini. 
 

Makanan malam itu disediakan secara gotong royong oleh kaum ibu selain itu ada juga sumbagan dari orang perseorangan.  Banyak jenis juga lah tapi masih kurang berbanding dengan tahun-tahun lalu menurut cerita orang yang satu meja dengan saya tu (tak kenal nama, baru 1st time jumpa dia pun kata tak pernah jumpa saya, fair and square lah tu).  


Sessi berhibur tak ketinggalan, selain lagu raya sesiapa yang nak menyumbangkan lagu dipersilahkan boleh lah nak karok.  Ini Pak Omar tengah nyanyi lagu apa ntah... kira orang kuatlah kat sini.


Roti bom, live store concept malam tu.  Panjang jer orang berbaris sambil pegang pinggan masing-masing.


Saya pun tak ketinggalan beratur juga (masa tu en.Abe dah balik rumah, laju jer nak tengok bola lah tu).  Lepas dah dapat roti bom, cepat-cepat minta diri nak balik juga.  Layan bola sambil makan roti bom.

Terima kasih sudi menjamu dan menjemput kami, In Sha Allah tahun hadapan kita join lagi.
Wassalam.

Thursday, 14 July 2016

Eid Mubarak 1437


Assalam..
Setiap kali raya, kami sambut dengan penuh kesyukuran walaupun tak meriah dan gah macam orang lain.  Raya sedondon memang takde dalam kamus, walaupun sentiasa ada plan tapi tak pernah menjadi.  So tahun ini just follow the flow.  Nak balik rumah siapa atau giliran siapa tahun ini tak jadi masalah, beraya di bandar, dikampung atau seberang laut saya ikutkan saja yang penting semua happy.   Tahun ini tak plan awal pun nak balik beraya di kampung saya, jadi takdelah saya intai-intai tiket.  Tak suka bila sudah beli tiket lepas tu kecoh tak dapat cuti sebab kena bertugas di pagi raya.  Lepas en.Abe confirm boleh cuti tahun ini baru cari tiket, tapi masa tu tiket semua dah mahal.  Bila saya bagi tahu harga tiket dah mahal, en.Abe jawap saya harga sebuah kasih sayang lebih mahal dari harga tiket, tahun ini kita raya dengan bapak di Sandakan.  Terkedu dan tangkap sahdu sangat, walaupun saya tak meminta-minta untuk dapatkan semua ini tetapi bersyukur dan terima kasih sangat-sangat kerana membuat saya faham. 
 

Hari isnin masing-masing masih berkerja dan kami hanya balik pada hari selasa pagi.  Kali ini saya naik MAS tapi kena transit di Kota Kinabalu lebih kurang 4 jam,  sampai di rumah pada malam raya.  Perjalanan dari airport balik ke rumah kami singgah pasaraya beli barang serba sedikit untuk masak-masak malam tu.  Burasak dan ayam masak lengkuas dah minta sepupu dan anak buah tolong buatkan, mereka dah janji tak kisah nak buatkan yang penting kami balik beraya.




Pagi raya, seawal jam 6 pagi bersiap-siap untuk ke masjid bersholat sunat.  Masjid kampung saya adakan sholat sunat jam 7.30 pagi, kena datang awal cop tempat kalau tidak sholat di luar nanti.  Lepas sholat kami singgah beraya di rumah anak buah yang dekat masjid dan kami dijamu kuih raya dan hidangan seperti di atas.  Oleh kerana beraya di Sandakan, so en.Abe kenalah hadap makan burasak, mana-mana rumah akan hidangkan burasak dengan ayam masak lengkuas selain kuih raya dan tapai pulut.  Lupakan nasi impit dan kuah kacang sebagaimana tradisi di tempat dia.


Hidangan hari raya di rumah kami (gambar bawah), dua menu yang atas tu saja yang kami masak, sup tulang kambing dan hati lembu masak kicap (cuba nak perkenalkan kat diorang walaupun tahu ramai antara ahli keluarga yang tak makan daging).  Dua lagi menu bawah tu ayam masak lengkuas dan burasak, sponsor dari anak buah dan sepupu.

Kuih raya kami, bukan yang tunjuk-tunjuk tau tapi atas ehsan dari orang.  Petang sebelum balik beraya ada orang hantarkan kuih raya, macam tau-tau jer kita tak sempat nak buat kuih raya.  Lebih baik ada daripada tiada.


Petang hari raya kami berkunjung ke kampung sebelah (Kampung Jawa 1) di rumah sepupu saya yang saya anggap sebagai abang kandung sendiri (begitulah kalau tiada adik beradik, bermanja hanya dengan sepupu saja). Dua orang sepupu lelaki (berkaca mata dan baju coklat) yang rapat dengan saya bersama isteri, anak-anak, dan cucu mereka.


Sepupu, ipar, anak buah dan cucu.  Nak kumpul ramai-ramai untuk ambil gambar bukan kerja senang ye, masing-masing ada hal tersendiri.


Lepas magrib kami sempat beraya di rumah jiran sepupu saya yang jugak kawan lama dan sedara bapak.

Selepas itu kami lanjutkan lagi berkunjung ke Batu 16, Kampung Gum-gum Manis di rumah dua pupu saya.  Balik malam tu memang letih sangat tapi puaslah dapat beraya dengan sedara mara kali ini.


Raya ke-2 sebelah pagi hanya di rumah membereskan apa yang patut. Tengah hari anak buah dan cucu-cucu berkunjung ke rumah.  Anak buah yang lain ajak pergi jalan-jalan ke Sepilok, so angkutlah semua yang ada di rumah ke sana petang tu, kecuali bapak yang tak nak ikut.  Sebab feeding time orang utan pada jam 3 petang dan kami sampai awal, so kami corner masuk ke RDC terlebih dahulu.  Tetapi bila sampai waktu nak masuk Sepilok, hujan terlalu lebat dan yang kecik-kecik tu memang kami tak bagi mereka masuk.  Muncung dan merajuk tak usah kiralah mereka ini.


Malam hari raya ke-2, kami sambung beraya lagi di rumah sedara yang duduk satu kampung.  Baby (Khairul) yang nampak kepala dan sibuk nak layan tetamu tu dah pangkat cucu saya dah (cucu latest edition - anak Hasmia) 

Ini paling ramai yang dapat dikumpulkan untuk bergambar.  Pada pagi hari raya ke-3 selepas ziarah kubur.


Ini pula the latest version anak buah (anak abang Saleh, anak sepupu) yang baru pertama kali jumpa, nama dia Aisyah.

Balik dari ziarah kubur, singgah beraya di rumah sedara di Rancangan Sungai Manila (rumah Kak Siti).  Petang hingga ke malam lanjutkan lagi ziarah rumah anak buah, sedara jauh dan rumah sahabat karib sejak kecil (Maslinah) di Batu 18 (asyik bersembang hingga lupa nak bergambar).


Hari raya ke-4, sebelah petang saya ikut Wati pergi rewang di rumah kenduri kahwin dan akikah.  Tunjuk muka sekejap, hanya itu yang mampu sebab keesokkan hari dah sibuk sambung berkemas rumah dan nak balik.   Wati dah siapkan bekalkan untuk dibawa balik mangga udang, buah salak dan sambal ikan bilis.


Ini buah kedondong depan rumah turut menjadi mangsa.  Rumah jiran terdekat kiri kanan tak terkunjung, bila nak berkunjung mereka pula tiada di rumah.


Hari raya ke-5, kami bersiap untuk balik ke sarang.  Tanda liat nak balik, flight sengaja ambil yang paling last dari Sandakan.  Nasiblah rumah tak berapa jauh dari airport, so bolehlah kemas slow-slow.  Malam tu bapak, Wati dan anak-anaknya yang hantarkan ke airport.  Maka fly lah kami dalam perut kapal terbang merah bersama segala bekalan. 


Alhamdulillah selamat sampai rumah tepat jam 1.00 tengah malam.  Sebelum tidur sediakan segala kelengkapan untuk bertugas pada esokkan harinya.  Itulah cerita raya kami tahun ini, walaupun pun sambut setakat apa yang ada, tapi tetap bermakna dan gembira.
Wassalam.

Sunday, 12 June 2016

Kek Buah Kukus


Assalam...
Salam Ramadhan kareem, semoga segala amal ibadah kita pada bulan ini diterima oleh Allah SWT.  Tahun ini juadah berbuka puasa tak beriya jika dibandingkan tahun-tahun lepas, juadah sama macam hari-hari biasa yang jadi kelainan sebab ada tambahan buah kurma.  Berbuka dengan apa yang ada saja kali ini, lagi pun tahun ini berbuka puasa lebih banyak di tempat kerja masing-masing, dekat isyak baru balik.  Kiranya masak-masak dan bazar ramadhan belum lagi setakat ini, bagus jugak permulaan yang baik untuk mendidik diri agar jangan melampaui batas mengambil makanan seperti bulan-bulan sebelumnya.


Jika ada antara kawan-kawan, adik kakak yang merancang untuk menyediakan juadah pemanis mulut untuk  hari raya ini.  Boleh lah mencuba resepi kek buah kukus ini.  Resepi lama pemberian dari seorang sahabat, tengok ukuran bahan pun guna kati, gelas semua belum sistem metrik lagi.  Setiap kali nak makan kek buah cara kukus memang selalu guna resepi ini saja sebab hasilnya menjadi dan pas pada tekak kita, tidak terlalu manis.


Kek Buah Kukus
Sumber: Azie (Norazimah)

Bahan-bahan
1 gelas gula (untuk buat caremel / gula hangus)
campurkan dengan 1 gelas air - sejukkan.
1 kati (600gm) tepung gandum
1/2 kati (300gm) gula castor
500gm mentega
4 sudu teh cream of tartar
2 sudu teh soda bikarbonat
1 sudu teh baking powder
1 sudu teh esen vanila
6 biji telur gred A
500gm campuran buah-buahan kering (mix fruits)



Cara Penyediaannya
* Sediakan gula karemel terlebih dahulu dan sejukkan.
* Sediakan loyang pengukus 10" x 10", gris dengan butter, dan lapikkan dengan kertas.
* Sediakan periuk pengukus yang sesuai.
* Ayak tepung bersama dengan cream of tartar, baking powder dan soda bikarbonat terlebih dahulu.
* Gaulkan buah campur dengan sedikit tepung.
* Pukul mentega bersama gula hingga putih.  Masukkan telur sebiji demi sebiji hingga habis.
* Masukkan esen vanilla dan buah campur.  Gaul sebati.
* Masukkan tepung sedikit demi sedikit sambil gaul sebati.
* Akhir sekali masukkan karemel ke dalam adunan dan sebatikan.
* Tuang adunan ke dalam loyang.  Tutup atas loyang dengan alminium foil untuk mengelakkan air kukusan jatuh terkena kek.
*  Kukus kek selama 3 jam.  
*  Bila air kukusan berkurangan tambahkan air menggunakan air panas. 
*  Selepas masak, sejukkan kek terlebih dahulu daru keluarkan dari loyang.


Kalau guna resepi ini, dapat sebiji kek yang besar, jadi kalau rasa terlalu banyak bolehlah buat untuk setengah resepi saja.  Kadang jadi masalah pula nak mengukus bila loyang terlalu besar, pengukus pun perlu besar.
Wassalam.

Thursday, 24 September 2015

Salam Aidil Adha...

Assalam...
Semoga segala amal ibadah dan pengorbanan kita diterima oleh Allah SWT.  Sentiasa suburkan niat moga kita terpilih dikalangan mereka yang beruntung dijemput manjadi tetamuNya pada tahun hadapan dan dapat mengerjakan Rukun Islam ke-5 di Baitullah.
Wassalam.

Wednesday, 22 July 2015

Jom Balik Beraya....

Assalam...
Hari ini dah 7 syawal orang dah raya kali kedua, bagi yang berpuasa sunat di bulan syawal (puasa 6).  Jom balik kampung sambut raya kat sana sekali lagi.  Ada yang dah habis bercuti dan mula bertugas esok lusa kan?...  Kami baru nak balik kampung, baru nak balik raya dengan mak bapak, adik beradik semua.  Doakan perjalanan kami lancar dan selamat sampai ke destinasi.  
Wassalam.

Monday, 20 July 2015

Salam Syawal: BERSILATURRAHIM DI HARI RAYA

Assalam...
Sedikit perkongsian yang dipetik daripada tazkirah oleh Ustaz Sihabuddin Muhaemin (USM).  Hal ini bertujuan memperoleh keberkatan dari silaturrahim yang dilakukan dan yang pentingnya tidak melanggar batasan syariat islam yang sedia ada.  Silaturrahim adalah usaha seorang muslim untuk menyambung tali persaudaraan dengan cara yang benar dengan memberikan kebaikan kepada saudaranya dan menolak keburukkannya dengan segala kemampuan yagn dimilikinya seperti berkunjung ke rumahnya, menolong kesusahannya, membantu dengan harta dan tenaga, mendoakan dan menolak keburukan yang ada padanya.

Hal ini dilakukan untuk saudaranya yang muslim, yang taat dan istiqamah dalam beramal ibadah. Sekiranya saudaranya adalah seorang yang kafir atau orang yang fasik, maka silaturrahim yang dilakukan dengan cara memberi nasihat agar kembali ke pangkal jalan serta mengajak kepada kebenaran dan mendoakannya agar Allah SWT memberikan hidayah.

Silaturrahim dan saling menziarahi merupakan akhlaq islam yang mulia.  Rasulullah SAW adalah contoh terbaik kepada sahabatnya dan umatnya yang sentiasa melakukannya.  Bahkan silaturrahim dan ziarah memiliki hubungan yang erat dengan keimanan.  Sabda beliau "Barang siapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah ia bersilaturrahim" (HR. Bukhari dan Muslim).

Silaturrahim juga dapat melapangkan rezeki dan memanjangkan umur.  Sabda Rasulullah SAW "Barang siapa menginginkan untuk diluaskan rizkinya serta diundurkan ajalnya; hendaklah ia bersilaturrahim" (HR. Bukhari dan Muslim).


Dari kelebihan itu, amalan silaturrahim perlulah mengikut adat dan etika dalam Islam.  Berikut adalah adab-adab dalam bersilaturrahim dan ziarah menurut pandangan Islam antaranya;

1.  Memperhatikan hari dan jam yang sesuai untuk bersilaturrahim dan ziarah.
2.  Dianjurkan membawa hadiah atau buah tangan atau sesuatu yang bermanfaat baik.
3.  Memberi tahu terlebih dahulu sebelum datang.  Hal ini bertujuan untuk memastikan keberadaan tuan rumah yang akan kita datangi.
4.  Sangat digalakan menziarahi saudara mara yang terdekat terlebih dahulu atau jiran tetangga atau sahabat handai yang sakit atau yang sedang terkena musibah.
5.  Mengutamakan silaturrahim kepada orang-orang alim dan orang-orang sholeh untuk mengambil keberkatan daripada mereka.
6.  Sebaiknya orang-orang yang lebih muda mendatangi rumah orang-orang yang lebih tua terlebih dahulu.
7.  Saling memberi nasihat dan wasiat kepada kebaikan dan jika dilakukan dalam acara resmi maka sebaiknya mengundang penceramah untuk membri ceramah agama untuk keberkesanan silaturrahim tersebut.
8.  Tidak boleh mengatakan sesuatu ucapan atau perbuatan yang tidak disukai dan berusaha menjauhkan diri dari perbuatan ghibah.
9.  Memakai pakaian sopan, bersih dan kemas.
10.  Menjauhi pemborosan dan pembaziran dalam memberikan hidangan berupa makan, minum dan sebagainya.
11.  Menjauhi kemaksiatan serta perkara lagho; lalai mengerjakan shalat, bercampur aduk antara lelaki perempuan, berjabat tangan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram, tidak menutup aurat yagn mendatangkan fitnah dan nafsu syawat.
12.  Dianjurkan berjabat tangan atau bersalaman sama ada dengan berpelukan, cium tangan atau bersalaman biasa (lelaki dengan lelaki dan perempuan dengan perempuan), mengucapkan salam pada waktu bertemu dan berpisah serta saling mendoakan kebaikan.

Ya Allah berkatilah kami di bulan Syawal yang mulia ini serta berkatilah silaturrahim kami dengan saudara-saudara kami, sahabat handai serta umat islam umumnya, mudah-mudahan persaudaraan kami akan berkekalan hingga di akhir hanyat di dunia dan di akhirat nanti.  Aamiin Yaa Robbal Aalamiin...
Wassalam.

Friday, 17 July 2015

Eid Mubarak - Minal Aidzin Wal Faidzin...

Assalam....

Jika langkah membekas lara,
Jika kata merungkai dusta,
Jika jelingan jadi bisa,
Jika tingkah menoreh luka,
Jika suara menikam rasa,
Ampun dan maaf dipinta,
Hapuskan dosa tanpa dikira,
Agar sempurna sedia kala,
Tiada prejudis tiada wasangka,
Minal Aidzin Wal Faidzin...
mohon maaf zahir batin...
SELAMAT HARI RAYA IDULFITRI.

Wassalam.

Sunday, 12 April 2015

Red Velvet Cookies

Assalam...
Fenomena red velvet cake yang jadi jadi hangat beberapa tahun ini berlarutan hingga ke biskut pulak.  Rujuklah mana-mana blog masakan terkenal mesti ada resepi ini pada blog mereka, macam-macam stail dan mahupun warna.  Tapi dari segi warna tu takdelah jauh sangat bezanya, masih berkisar pada warna asal.  Yang saya buat  ini hasil intaian dari blog Bicara Kak Noor sebab tertarik dengan warnanya yang merah merhelik.
Kita copy paste jer resepinya di sini ye.
 

Red Velvet Cookies
Sumber:  Kak Noor yang dirujuk dari 
Juicy cafe & cake
Resepi Asal:  Ny. Liem Bandung




Bahan-bahan..

A
400 gm mentega
200 gm gula perang
180 gm gula kastor
1 sdk condensed milk*
20 gm pewarna merah
10 gm mocca hopyes*
1/4 sdk garam


B
2 biji telur A


C
475 gm tepung gandum*
2 sdk serbuk penaik*
2 sdk serbuk soda*
50 gm procake V. 45.5* - *satukan dan ayak*
200 gm serbuk badam - dibakar 5 minit

200 gm kacang gajus - dicincang kasar dan bakar 5 minit
200 gm coklat cip

Cara-caranya..




1. Dalam bekas mixer, satukan bahan-bahan A dan pukul sehingga mengembang.
2. Masukkan bahan B dan pukul lagi sehingga rata.

3. Masukkan sedikit demi sedikit bahan-bahan C dan gaul rata.

4. Sudukan adunan sebanyak 1 sudu kecil dan susun atas loyang yang telah dialas dengan kertas minyak.

5. Bakar dalam oven yang telah dipanaskan dengan suhu 150C selama 20 minit kemudian turunkan suhu kepada 100C dan bakar lagi selama 20 minit.
6. Keluarkan dan apabila sejuk 'drizzle' dengan coklat putih cair.

(ini i tak buat sebab tetiba vitamin R tak cukup hehehe)..

7. Adunan ini menghasilkan kurang lebih 300 biji.

Nota..
*Condensed milk - milk flavor - (kalau takde pun takde masalah)
*Mocca hopyes - mocca emulco/flavor
*Procake V. 45.5 - susu tepung
*Masa pembakaran boleh juga gunakan 170C dan bakar selama 20 minit.



Ini warna hasil karya saya, amboi hasil karya konon.  Merah gelap, tak jadi merah cerah macam yang kak noor buat.  Kak noor tolong bagi tips nak buat yang merhelik-merhelik gitu.
Tak payah tunggu raya kalau rasa nak makan, boleh buat sebagai kudapan sehari-hari.
Wassalam.

Florentine - Cruncy Nut Cookies

Assalam...
Semua biskut yang baru nak publish tu buat yang tahun lalu sebenarnya.  Lama sungguh baru ada kekuatan nak menyudahkan segala yang terperam ini.  Tak terkecuali turut mencuba buat cookies terlaris dan bernilai tinggi sebab bahan-bahan yang digunakan tu semua mahal-mahal.  Jadi kalau nak hidang waktu hari raya, kenalah buat dekat-dekat harinya, kalau tidak tinggal balang jer nanti. 
Tepung florentine inilah yang mahal, tapi nasib saya baik masa membeli bahan-bahan, kedai tengah buat promosi, jadi saya dapat ini harga yang rendah.  Perlu di ingat ada beberapa istilah untuk tepung florentine seperti di bawah ini dikenali sebagai cruncy cookie mix.  Kalau tak pasti tanyalah pada tuan kedai bahan-bahan kek itu.  Sebab saya ini jenis minat bermusim jadi tak tahulah harga untuk bahan-bahan buat kek dan pastri terkini.  Mesti sudah mencanak-canak naiknya, itu yang saya dengar dari mereka yang sentiasa dalam bidang ini.
Resepi Florentine ini saya copy dari blog Wind of Change, sebab Ros dah tolong olah mengikut kuantiti tepung florentine dalam satu paket 500gm.  Memudahkan jadi takdelah lebihan tepung tu nanti yang dibazirkan.


Florentine Cookies / Crunchy Nut Cookies
Sumber: Reswati
Rujukan: Masam Manis

Bahan2:
500 gm tepung Florenta
300 gm badam keping
200 gm kuaci hitam
200 gm biji bunga matahari
Sedikit bijan putih
Sedikit bijan hitam
(mommy letak sedikit biji habbatussauda)
#boleh juga guna kekacang yg lain ikut citarasa
secukupnya greaseproof paper.

Caranya:

1. Badam, biji bunga matahari dan kuaci di bakar sebentar dalam oven pada suhu 160 C selama 5 minit (bijan & habbatussauda tak perlu di bakar).
2. Setelah kekacang sejuk, satukan semua bahan dalam bekas.
3. Gaul rata, hingga semuanya bersalut sempurna.
4. Sediakan loyang 14x14 inc, alas loyang dengan kertas kek sahaja (greaseproof paper).
5. Tuangkan adunan tadi dalam loyang dan ratakan nipis.
6. Bakar dalam oven selama 10 minit pada suhu 160C @sehingga karamelnya keperangan.
7. Sejurus keluar dari oven terus potong kepada kepingan empat segi menggunakan pisau pizza.
8. Apabila sejuk, leraikan kepingan & simpan dalam bekas kedap udara.


Mencabar juga nak buatnya walaupun senang pada yang pakar.  Buat ini kena cepat ketika step nak memotong florentine ini, kena potong cepat-cepat ketika masih panas-panas.  Masa membakar pun sekejap saja, jangan terleka duk main dengan handphone nanti rentung cookiesnya.  Lagi satu kertas pelapik tu kena betul, jangan pandai-pandai guna kertas minyak ker, kertas kajang ker, kang ada yang kena makan biskut bersama kertas.
Insha Allah tahun ini akan ulang lagi, tapi itu pun bergantung pada harga bahan-bahan.  Kalau dah bahan jadi tak mampu beli, kena cari option lainlah jawapnya.
Wassalam.