nuffnang_bid = "6d3fefaa2657f8901dfaPages

Showing posts with label Nostalgia. Show all posts
Showing posts with label Nostalgia. Show all posts

Friday, 22 September 2017

Kebaya Renda


Assalam...
Koleksi yang pernah menjadi kebanggaan kepada pemakainya dahulu kala.  Lagi pula semua itu adalah hasil kerja tangan sendiri.  Suatu ketika dahulu baju kebaya adalah pakaian sehari-hari kaum wanita sebelum bertukar kepada pakaian moden.  Material daripada kain renda begini selalunya digayakan ketika ada keramaian seperti majlis kenduri kahwin.  Manakala baju kebaya yang dipakai (sehari-hari) sebagai basahan diperbuat daripada material yang kurang mewah.


Kalau melihat meterial dan design kebaya, memang berani mati kan si pemakainya.  Tetapi suatu masa dahulu benda tu sangat biasa, di mana-mana sahaja mereka memakai baju kebaya dengan kain batik sarung.


Renda atau lace yang digunakan juga dari jenis yang berkualiti, french lace.  Kiranya sejak dahulu orang kampung pun dah ada yang mengenali kain renda perancis ini.


Hanya nak abadikan sebagai koleksi kenang-kenangan walaupun diri sendiri tidak pernah memakai baju-baju ini.  Cukup menjadi peminat baju kebaya.


Sejak kecil, paling admired nak sarungkan kebaya kuning nie.  Berangan nak pakai dengan batik lepas dengan sanggul besar di kepala, tapi tak pernah pun sebab sejak azali badan bukan bentuk gitar.


Corak bunga seperti ini, jika diamati seakan sama dengan yang ada dipasaran hingga kini.  Mungkin evolusi kain renda juga sama seperti fasyen baju yang ada pasang surutnya mengikut peredaran zaman.


Material yang sama hanya warna berbeza daripada gambar yang mula.  Boleh ditafsirkan betapa obsesnya si pemakai terhadap kain renda sebegini.


Baju kebaya darilah jawa
Cantik dipakai nyonya melaka
Disulam manis bercorak bunga
Siapa pandang pasti tak lupa.

Cantik dara cantik teruna
Duduk bersama di tepi jeti
Molek sekali si bunga cina
Kebaya merah menawan hati.
Wassalam.

Monday, 17 July 2017

Ayam Masak Lengkuas @ Nasu Likku


Assalam..
Bagi saya apalah ertinya berhari raya tanpa hidangan masakan tradisi nenek moyang. Ada yang tak  setuju ker? saya dulu pun tak setuju juga, masa remaja selalu argue dengan mak, takde menu lain ke nak masak untuk raya.  Cuba masak benda yang best sikit, simple dan moden.  Jiwa muda memang suka nak memberontak bila diminta buat kerja-kerja yang renyah seperti menolong untuk menyediakan bahan untuk menu masak lengkuas ini.  Mak dulu tak suka bila lengkuas tu diblend, kena lah tumbuk dengan lesung kayu (lesung besar buat dari kayu keras, kayu belian) atau diracik halus mahupun diparut.  Itu baru cerita nak sediakan bahan,  bab nak parut kelapa, perah santan dan menumbuk rempah, belum masuk bab nak memasak lengkuas lagi.  Kalau kurang sabar memang cabut lari jawapnya, tak pun goreng jelah ayam tu jadi ayam goreng upin ipin.



Ayam tua atau ayam pencen ataupun ayam kampung yang terbaik untuk menyediakan ayam masak lengkuas.  Ini kerana masa memasak yang lama dan perlahan, akan dapat melembutkan isi ayam secara perlahan-lahan.  Jika menggunakan ayam daging atau ayam dara, jangan masukkan ayam terlalu awal.  Tunggu sehingga lengkuas dan santan menjadi pekat, baru masukkan ayam untuk mengelakkan ayam hancur.


Semasa memasak ayam lengkuas ini, perlu sentiasa di awasi supaya jangan sampai berkerak dan hangus.  Orang tua-tua memang tak tinggalkan dapur apabila kuali sudah bertenggek di atas tungku dapur.  Cara saya guna api yang sangat perlahan dan akan kacau dasar kuali setiap 10 minit or 15 begitu sehingga kering.


Mak-mak kita masak takde resepi yang standard yang guna ukuran metrik, semua main agak-agak. Bawah ini saya dah kirakan bahan-bahan yang digunakan. 

*Nota penting: Guna lengkuas lebih, santan pun kena lebihkan. 



Ayam Masak Lengkuas
Sumber: Hajjah Timah

Bahan-bahan
1 ekor ayam tua / kampung - potong 16
1.5kg santan
500gm lengkuas - racik halus atau blender (buang jusnya)
15 biji bawang merah*
10 biji bawang putih*
6 batang serai*
3 batang serai - ketuk
2 inc. halia*
2 biji bawang holland - belah 4
5 biji bawang merah - hiris
2 sudu makan serbuk lada putih
1 sudu makan serbuk kunyit
Air asam jawa
Garam
Serbuk perasa


Cara Penyediaannya 
*  Gaul ayam bersama serbuk kunyit, asam jawa dan serbuk lada putih.
*  Blender halus bahan bertanda '*'.  Masukkan serai yang diketuk, tumis hingga naik bau.
*  Masukkan santan, bawang holland, bawang merah dan lengkuas, masak lagi hingga santan sedikit pekat.
*  Jika menggunakan ayam pencen atau ayam kampung, boleh masukkan sekali bersama santan.
*  Sekiranya guna ayam daging, masukkan kemudian ketika santan dan lengkuas telah pekat, ini untuk mengelakkan ayam menjadi hancur.
*  Masak menggunakan api sederhana dan perlu sentiasa di kacau.
*  Untuk tahan lama, masak hingga kering dan  lengkuasnya menjadi seredak.
* Masak lengkuas akan mengeluarkan minyak lebihan apabila kita memasak hingga kering, toskan minyak lebihan jika tidak suka.
*  Hidangkan bersama burasak, tumbuk, ketupat atau lemang. 



Takde gambar yang proper untuk ayam masak lengkuas kali ini, sebab belum masak tetamu dah sampai dan yang memasak pun dah tak sabar nak makan.  Makan bersama burusak (gambar bawah) yang tak semengah sikit cara ikatannya.  Dapat makanan tradisi baru lah ada mood raya kan.

Wassalam.

Thursday, 29 June 2017

Kueh Pejja-Pejja


Assalam..
Sejak dua menjak sukanya nak makan benda yang dah lama tak dijamah atau memang takde dijual kat mana-mana.  Menu yang dihidankan oleh nenek-nenek kita ketika zaman kanak-kanak dahulu.  Saya tak tahu kalau ada nama lain untuk kuih ini, mungkin tempat lain diberi nama lain.  Kuih simple dan gunakan bahan asas selalu dihidangkan untuk minuman petang oleh arwah nenek saya dulu.  



Pernah terdengar makcik-makcik laser di kampung cakap kalau nak tahu anak dara tu boleh buat kerja dapur, uji jer dengan buat kuih ini.  Kalau tak tahu juga tahu lah betapa s******* anak dara tu.  Itu mungkin KPI yang boleh digunapakai untuk anak dara zaman dahulu, sekarang zaman dah lain.


Tiada ukuran spesifik untuk bahan, semua main agak-agak saja.  Pesan nenek kalau adunan keras, tambah air.  Jika lembut tambah tepung.  Jomlah main air dan tepung.


Kueh Pejja-Pejja
Sumber: Mulia

Bahan-bahan
Tepung pulut
Sedikit garam
Sedikit pewarna
Air
Daun pandan
Kelapa parut putih
Gula pasir


Cara Penyediaannya 
*  Jerang air bersama simpulan daun pandan.
*  Campurkan tepung pulut dengan sedikit garam dan pewarna.  Masukkan air sedikit demi sedikit, gaul hingga menjadi adunan yang boleh dibentuk.
*  Ambil sedikit adunan bulat-bulatkan dan tekan menjadi sedikit nipis pada tengahnya.
*  Masukkan ke dalam air mendidih dan jerang hingga kueh terapung.
*  Campurkan kelapa parut dengan gula pasir dan sedikit garam.
* Angkat dan toskan kueh sebelum gaulkan dengan kelapa parut. 
*  Hidangkan.


Ada yang rajin buat dengan pelbagai warna dan mereka beri nama sebagai puteri salju.
Wassalam.

Tuesday, 7 March 2017

Memori Kek Coklat...


Assalam...
Nostalgia, memang nostalgia kek coklat ini, suatu ketika dulu, ketika baru muncul kek ini, belum zaman wassapp sana sini orang bercakap kita pun nak cuba buat.  Masa tu email dan sms lah medan orang nak sebarkan berita.  Sesekali boleh lah rujuk di photopages sebab blog tak berapa masyur lagi.  Resepi jangan cakap lah, memang pelbagai versi yang muncul.  Kadang jemu juga sebab pergi mana-mana majlis mesti kek coklat ini yang dihidangkan, dari majlis jamuan tadika hingga majlis menyambut menteri. Kek coklat hitam legam dan lembab ini lah yang menjadi pujaan hati semua orang. 


Macam-macam versi resepi yang mereka kongsikan, namun paling suka dengan resepi yang Henny (orang Kulim) kongsikan melalui Norazimah (Azie).  Sebelum itu Azie ada kongsikan resepi kek coklat yang ibu saudara dia guna untuk jualan di Sungai Petani,  tapi macam agak leceh sikit.  Guna resepi Henny ini memang senang sangat nak buatnya semudah ABC.


Kenal Henny melalui rakan serumah sama tempat kerja dengan dia, dia buat kek dan letak di gerai orang yang berjualan di hadapan taman perumahan.  Sesekali kami beli juga dan memang sedap.  Tak sangka pula dia sudi nak kongsikan resepi kek coklat dia tu.


Selepas kahwin Henny pindah mengikut suami entah ke mana.  Tak dapatlah lagi nak beli kek coklat dia.  Rakan serumah yang lain pun minta kita cuba buat, Alhamdulillah menjadi.  Bermula dari situlah oven yang keluar setahun sekali bekerja setiap hari untuk membakar kek coklat. 


Nak jadikan cerita lagi, seorang rakan (liza) serumah tu rajin pula nak cari pasaran di dalam kampus USM.  Dia bawa ke kelas dan cafesiswa gemilang cahaya setiap pagi sebelum masuk ke dewan kuliah.  Agak lama juga membuat kek coklat ini sehingga seorang demi seorang berhijrah keluar membawa haluan masing-masing.  Kita pun dah sibuk dengan kerja baru, dah tak cukup tenaga balik kerja nak mengadun kek coklat.


Saya kongsikan di sini, resepinya.
 

Kek Coklat
Sumber: Henny

Bahan bahan
2 biji telur
1 cawan susu cair
1 cawan air panas mendidih
2/3 cawan minyak sayuran
2 cawan gula pasir
2 cawan tepung gandum*
1 cawan serbuk koko*
1 sudu teh baking powder*
1 sudu teh soda bikarbonat*
1 sudu teh esen vanilla


Cara penyediaannya.
* Sediakan loyang 8x8, gris dengan majerin dan lapik dengan baking paper.  Panaskan ketuhar.
* Campurkan bahan bertanda "*" dan ayak bersama.
* Campurkan bahan ayak dengan gula, gaul rata
*  Dalam mangkuk yang berasingan, pukul telur hingga ringan dan masukkan ke dalam bahan tepung tadi.  Gaul rata.
* Masukkan esen vanilla, susu cair dan gaul rata.
* Masukkan minyak sayuran, kacau hingga betul-betul sebati.
*  Akhir sekali masukkan air panas mendidih ke dalam adunan.  Gaul cepat-cepat hingga sebati.
*  Tuang ke dalam loyang dan bakar dengan suhu 180'C selama 45 minit.


Sekarang kalau buat kek ini, mesti teringat kenangan lama, kenangan dengan rakan-rakan serumah dulu.  Kenangan yang tak mungkin dilupakan.  Tak sangka dulu pernah jual kek, macam tak caya.  Kini jarak pemisah tu tak jauh mana, tapi susahnya nak jumpa sebab masing-masing sibuk dengan urusan sendiri.    
Wassalam.

Tuesday, 28 February 2017

Padang Terbang Kudat, Sabah.


Assalam...
Aiport atau lapangan terbang yang hanya di panggil sebagai padang terbang dek kerana saiz yang kecil.  Sesuai dengan fungsinya yang hanya dapat menampung pendaratan dan perlepasan kapal terbang kecil dan helikopter.  Jadual penerbangan juga hanya beberapa kali pada hari-hari tertentu.



Minta kebenaran untuk ambil gambar dengan pegawai yang bertugas ketika itu.  Semasa kami sampai semua penerbangan untuk hari itu telah berlepas.


Ruang menunggu / balai perlepasan.


Kaunter daftar masuk.


Sebenarnya ada nostalgia di padang terbang ini, suatu hari ada kecemasan yang berkehendakkan segera untuk balik kampung.  Ketika itu masih perlu transit di Kota Kinabalu dan sambung penerbangan ke Sandakan.  Sebab agak kalut dan hendak cepat, saya memilih penerbangan paling awal ke Sandakan dengan memikirkan terbang paling awal, paling awal boleh sampai tanpa merujuk laluan pesawat.  Bila nak masuk perut kapal terbang baru tahu yang penerbangan saya itu menggunakan kapal kecil dengan penumpang kurang dari 10 orang dan perlu transit di Kudat untuk menurunkan dan pengambil penumpang ke Sandakan.  Bertambah lagi rasa cuak sebelum terbang penumpang masing-masing diarahkan untuk memakai jaket keselamatan dan penutup telingaBermusafir seorang diri, lagi macam-macam perasaan timbul, rasa nak lari keluar dari pesawat pun ada, nasib baik masih boleh berfikir secara waras ketika itu, tawakal saja moga-moga selamat sampai tempat tujuan. 


Ketika sampai di Sandakan, penerbangan pertama yang tiba dari Kota Kinabalu bukanlah penerbangan kami tetapi adalah yang berlepas sejam kemudian selepas kami.  Namun syukur selamat tiba walaupun agak lewat, tetapi diberi peluang merasai pengalaman menaiki pesawat kecil dan singgah di Kudat walaupun tidak dapat menjejakkan kaki di bumi Kudat ketika itu. Sangat manis pengalaman itu dengan pesawat terbang rendah, bunyi sangat bingit dan bergetar kuat.



Sungguhpun jaringan jalan darat bertambah baik, padang terbang seperti ini masih releven penggunaannya sehingga kini untuk Sabah dan Sarawak.  Lebih memudahkan perhubungan ke kawasan pedalaman dan pekan-pekan kecil terutama jika berlaku sebarang kecemasan.  
Wassalam.

Saturday, 24 December 2016

Sabah Road Trip: Daya 8 (Last Day - 22/05/2016)


Assalam...
Sebagai mengakhiri kembara kami selama seminggu, hari last hanya bersantai di pulau yang berdekatan dengan Kota Kinabalu.  Check out dari Angkasa Apartment jam 8 pagi, singgah di terminal bas ekspress Inanam sebelum meneruskan ke Jesselton Point untuk mendapatkan pakej ke pulau.  Kami deal dengan boat operator dan memilih untuk pergi 2 pulau sahaja (Pulau Sapi dan Pulau Manukan), sebenarnya masa ini kami hanya mengikut nasihat mereka, memandangkan ketika itu Pulau Mamutik ditutup sementara untuk kerja-kerja pembinaan.  Memadai kerana kami pun sebenarnya nak cepat dan tidak berhasrat untuk bermandi manda lagi.



Sebelum bergerak ke pulau, sebaiknya cari bekalan makanan dan minuman dahulu.  Boleh je kalau malas nak kelek semua tu sebab di pulau ada cafe di resort yang menjual makanan.  Cuma faham-fahamlah harga pun ikut standard pulau dan resort lah.  Terjumpa kuih ini dijual di salah satu gerai di Jesselton Point.  Dah lama tak makan kuih pasung nie, tu yang sambar beberapa ketul.


Masa yang diperuntukan untuk di setiap pulau adalah 2 jam.  Seperti biasa cuti hujung minggu memang ramai pengunjung dari tanah besar ke Taman Laut Tun Abdul Rahman ini.  Sebab kira kami pun dah sampai lewat memang sukar nak dapatkan bangku yang disediakan dan port yang teduh.


Akhirnya bertenggeklah kami berlima pada satu batang kayu hampir reput dan buka bekalan makanan masing-masing.  Angin laut sudah tidak memberi kenyamanan lagi kerana cuaca yang sangat panas pada hari itu.  Bila dah dapat tempat duduk di bangku terus benamkan diri berehat dan sempat tidur.



Mereka berdua ini saja yang masih ligat beraktiviti, main tanam-tanam dalam pasir.  Orang kata bagus ye terapi ini, tapi waktu yang sesuai nak benam diri dalam pasir itu kena tahu juga bila masanya. 



Tiket masuk yang dibayar di Pulau Sapi tadi, masih boleh digunakan untuk masuk ke Pulau Manukan.  So tidak perlu bayar lagi, sebenarnya tiket itu sah digunakan dalam masa sehari untuk memasuki mana-mana taman dalam kumpulan yang sama iaitu Taman-Taman Tun Abdul Rahman.


Di Pulau Manukan, aktiviti kami pun lebih kurang sama je macam sebelum ini.  Nampak sangat tak ghairah nak menjelajah pulau dah semua, mencari tempat lepak pun hanya di hadapan bangunan pendaftaran masuk pulau.  Senang nak pantau boat bila datang nak jemput kami.  Saya dan en.Abe sempat ke belakang untuk mencari tandas dan surau, agak jauh terserok ke belakang resort jadi sempatlah nak melawat kawasan.



Selamat tiba di Jesselton Point semula lebih kurang jam 3 petang.  Di sini kami berpisah dengan Aireen yang akan balik dahulu ke Kota Belud. 


Tinggal kami berempat, sebelum bersurai kami cadang nak ke Pasar Kraftangan (Pasar Pelipin) dan pasar malam untuk mencari sedikit barang cenderahati.  Selepas beli apa yang patut, kami singgah minum sekejap di pasar malam sebelum hantar Fit menaiki bas di Inanam dan Ann ke Menggatal.


Sambil minum-minum petang terakhir tu,  kami sembang-sembanglah pasal kembara yang sudah terlaksana selama seminggu ini.  Tak sangka, dah sampai ke penamatnya.  Hasil dari sembang-sembang kedai kopi.  Bukan gah sangat pun, namun kami puas hati;
 
"The happiest people don't have the best of everything, they just make the best of everything they have".


Sebab penerbangan kami delay sejam malam itu dan dah siap pulangkan kereta awal, sempatlah kami berehat di surau KKIA.  Saya sempat melelapkan mata sekejap.  Nostalgia tempat ini, tempat saya dulu-dulu bergelandangan dengan kawan-kawan sementara menanti connection flight balik ke kampung masing-masing atau untuk ke Semenanjung.  Menjadi student waiting list untuk penerbangan Malaysia Airline sangat best ketika itu, untung sangat dengan tambang separuh harga, silap-silap boleh dapat tempat duduk business class.  Masih ada kah special discount macam ini sekarang untuk student?.
Wasalam.

Tuesday, 22 November 2016

Kuih Nona Manis


Assalam...
Kuih yang boleh dianggap sebagai fenomena juga dikalangan tukang-tukang masak dan suri rumah sekarang di negara ini.  Asal usul kuih ini tak dapat saya nak pastikan jadi jangan tanya ada yang kata kuih ini asal dari kelantan, ada yang kata kuih asal dari Indonesia.  Karang bagi fakta yang salah dan orang percaya itu dah kira menipu.  Sila rujuk dengan sejarawan kuih ye (ada ker individu tersebut).  Saya sebenarnya ada menyimpan resepi kuih nona manis (yang kadang kala mereka panggil kuih cantik manis) sejak dari tahun 1998 lagi lama kan peram resepi.  Bila dah viral baru keluarkan dari peti besi.  Resepi pemberian dari ibu saudara di Indonesia (Petta Jume'), ketika itu saya sendiri sempat saksikan cara penyediaan kuih nona manis yang mereka sediakan untuk satu majlis keramaian.  Dulu memang minat kumpul dan simpan resepi  (sebelum zaman internet) masaknya jer tidak, salin dari majalah, tv, radio ataupun ambil daripada tukang-tukang masak di kampung.  Tetapi sebab tak diamalkan jadi tak berkembang ilmunya.    


Sukatan resepi yang digunakan dalam kuantiti yang banyak, jadi kalau nak sediakan untuk ahli keluarga yang kecil, kena kurangkan sukatan.
 

Nona Manis (Cantik Manis)
Sumber: Petta Jume'

Bahan - A
5 mangkuk tepung gandum
5 mangkuk santan
pewarna hijau / pati daun pandan
4 biji telur
2 mangkuk gula pasir

Cara penyediaanya
*  Bahan A - pukul telur dan gula hingga kembang.
*  Campurkan santan dengan pewarna hijau atau pati daun pandan hingga dapat warna hijau yang diingini.
*  Masukkan tepung ke dalam telur tadi dan kacau rata.
*  Masukkan santan dan gaul rata.


Bahan - B
1/2 mangkuk tepung jagung
4 mangkuk santan
pewarna hijau / air pati
1/4 mangkuk gula
sedikit garam

Cara penyediaanya
*  Bahan B - Campurkan tepung jagung, santan, gula dan garam, gaul hingga rata sehingga tiada tepung yang berketul.
*  Masak di atas api sederhana sambil terus dikacau.
*  Masak hingga pekat, berkilat dan meletup-letup.
*  Tutup api.


Bahan - C
2 sudu besar tepung gandum
2 mangkuk santan pekat
1 sudu garam

Cara penyediaanya
* Bahan C - Campurkan semua bahan dan kacau rata hingga tepung sebati dengan santan.
*  Masak atas api sederhana sambil terus di kacau.
*  Masak hingga adunan tepung kental dan meletup-letup.



Cara Penyediaan Keseluruhan

* Sediakan periuk kukusan.  Acuan oles dengan minyak.
*  Campurkan olahan bahan B ke dalam olahan bahan A.  Gaul rata atau guna mixer / blend untuk sebatikan adunan.
*  Sendukkan adunan ke dalam acuan hingga 3/4 penuh.
*  Sendukkan / paipkan adunan putih (bahan C) ke atas adunan hijau tadi.
*  Susun dalam kukusan dan kukus hingga masak (lebih kurang 10 ke 15 minit).
*  Bungkus penutup kukusan dengan kain bersih untuk mengelakkan air kukusan menitis ke atas kuih.
*  Angkat dan sejukkan kuih sebelum mengeluarkan daripada acuan.
* Boleh letakkan acuan kuih dalam dulang yang berisi air sejuk untuk mempercepatkan proses penyejukkan.
*  Dah sejuk boleh keluarkan daripada acuan dan hidangkan.


Kena dapatkan tips macamana nak buat warna putih tu cantik terletak si atas warna hijau.  Sebab ini titikan guna sudu saja, tu yang tak sama rata ada besar dan kecil titikannya itu.  Katanya ada yang guna piping beg atau botol sos ya.  Huduh sungguh hasil percubaan pertama, bukan itu saja mereka yang makan kata kurang lemak dan kurang manis.  Nasib tak patah semangat untuk mencuba lagi.


Yang paling win apabila resepi dah sampai kepada mereka yang lebih kreatif.  Maka terhasilnya banyak versi kuih nona manis yang mana asalnya hanya rasa pandan dan berwarna hijau, sekarang dah ada versi durian, kacang merah, jagung, keladi, coklat dengan pelbagai warna.  As long ianya boleh diterima ramai oleh tekak si pemakan tiada salahnya, itulah yang dikatakan revolusi sesuatu menu dan resepi.
Wassalam.

Tuesday, 1 November 2016

Hati Lembu Goreng Berjintan


Assalam..
Resepi bagi mereka yang makan organ dalaman seperti hati, limpa, perut, paru, pedal dan seangkatan dengannya.  Bagi yang tak makan tu duduk diam-diam jangan kecam ok.  Citarasa masing-masing.  Pada yagn suka sangat tu, boleh makan tapi jangan selalu dan memang bagus pun bagi mereka yang tak makan organ dalaman ini (full mark).



Sukatan resepi itu untuk portion yang sikit, jadi pandai-pandailah adjust ya  kalau nak buat banyak.  Tidak suka dengan hati lembu boleh lah tukar dengan hati ayam.  Janji hati mau ada.  Kalau tukar buat pedal jangan lupa tajuk pun tukar yek.



Hati Lembu goreng Berjintan
Sumber: Mulia

Bahan-bahan
150gm hati lembu (boleh ganti dengan hati ayam)
1 sudu teh jintan manis
2 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
1/2 inci kunyit hidup
Sedikit garam
Sedikit minyak


Cara Penyediaannya
* Rebus hati lembu terlebih dahulu.
* Tumbuk lumat semua bahan bertanda "*".
* Gaulkan hati lembu yang telah dipotong kecil bersama bahan tumbuk.
* Panaskan minyak dan goreng hati.  Masukkan sedikit air jika perlu.
*  Saya tambah beberapa biji cili padi sebab suka yang pedas.
*  Bila masak boleh lah dihidang.





Nota- pernah dimasak dan disajikan kepada pemeriksa ketika peperiksaan kelas SRT dulu.
Wassalam.

Rojjo' aka Sup Ubi Kayu



Assalam...
Pulun nak clearkan list dalam draf yang tak terpublish.  Maaf bila ada yang jelak atau nak termuntah sebab kebanyakkan entry adalah pasal makanan je.  Sup ubi kayu nie, antara sup orang kampung yang selalu dibuat ketika berkumpul ramai-ramai.  Masak ramai-ramai makan pun ramai-ramai lah.  Selalunya dihidangkan ketika waktu minum petang dan hidangan ini dimasak bukan untuk dijadikan lauk seperti sup lainnya.   





Alkisah jiranku yang membekalkan ubi kayu ini, bawa dari kampungnya.  Dapat-dapat tu bukan nak buat terus, sebaliknya biar dulu alih-alih ubi dah busuk dalam plastik.  Dapatlah selamatkan sikit untuk buat sup rojjo'.  Resepi asal rojjo' tak guna pun bihun, tetapi sebab ubi kayunya sikit sangat saya tambahkan bihun dalam sup.  Seeloknya guna ubi kayu yang warna putih sebab kanji asal yang terdapat dalam ubi dapat memekatkan kuah rojjo' / sup.  Puluhan tahun sebenarnya tak menjamah menu ini, itu yang teringat-ingat nak makan.



Bahan-bahan yang digunakan semua main agak-agak tiada sukatan metrik.


Rojjo' akak Sup Ubi Kayu
Sumber: Timah 


Bahan-bahan
Ubi kayu - potong dadu
Isi udang
Lobak merah - potong dadu
Ubi kentang - potong dadu
Daun sup
Daun bawang
Bawang goreng
Bawang merah*
Bawang putih*
Serbuk lada putih*
Sup bunjut
Garam dan serbuk perasa
Telur - pukul sekejap
Bihun - celur (optional)

Cara Penyediaan
* Didihkan air, masukkan ubi kayu dan sup bunjut.
* Tumbuk bahan bertanda "*" dan masukkan ke dalam sup.
*  Masukkan isi udang, lobak merah dan ubi kentang.
*  Bila ubi lembut, perasakan dengan garam.  Sesuaikan rasa.
*  Tuangkan telur yang telah dipukul sedikit ke dalam sup sambil kacau hingga habis.
*  Sesuaikan rasa sup dan tutupkan api.  Letakkan daun bawang, daun sup dan bawang goreng.
*  Hidangkan ketika panas-panas bersama sambal.





Sup tambah nikmati bila dipadankan dengan sambal tomato atau sambal kicap.
Wassalam.