nuffnang_bid = "6d3fefaa2657f8901dfaPages

Showing posts with label Resepi. Show all posts
Showing posts with label Resepi. Show all posts

Monday, 17 July 2017

Ayam Masak Lengkuas @ Nasu Likku


Assalam..
Bagi saya apalah ertinya berhari raya tanpa hidangan masakan tradisi nenek moyang. Ada yang tak  setuju ker? saya dulu pun tak setuju juga, masa remaja selalu argue dengan mak, takde menu lain ke nak masak untuk raya.  Cuba masak benda yang best sikit, simple dan moden.  Jiwa muda memang suka nak memberontak bila diminta buat kerja-kerja yang renyah seperti menolong untuk menyediakan bahan untuk menu masak lengkuas ini.  Mak dulu tak suka bila lengkuas tu diblend, kena lah tumbuk dengan lesung kayu (lesung besar buat dari kayu keras, kayu belian) atau diracik halus mahupun diparut.  Itu baru cerita nak sediakan bahan,  bab nak parut kelapa, perah santan dan menumbuk rempah, belum masuk bab nak memasak lengkuas lagi.  Kalau kurang sabar memang cabut lari jawapnya, tak pun goreng jelah ayam tu jadi ayam goreng upin ipin.



Ayam tua atau ayam pencen ataupun ayam kampung yang terbaik untuk menyediakan ayam masak lengkuas.  Ini kerana masa memasak yang lama dan perlahan, akan dapat melembutkan isi ayam secara perlahan-lahan.  Jika menggunakan ayam daging atau ayam dara, jangan masukkan ayam terlalu awal.  Tunggu sehingga lengkuas dan santan menjadi pekat, baru masukkan ayam untuk mengelakkan ayam hancur.


Semasa memasak ayam lengkuas ini, perlu sentiasa di awasi supaya jangan sampai berkerak dan hangus.  Orang tua-tua memang tak tinggalkan dapur apabila kuali sudah bertenggek di atas tungku dapur.  Cara saya guna api yang sangat perlahan dan akan kacau dasar kuali setiap 10 minit or 15 begitu sehingga kering.


Mak-mak kita masak takde resepi yang standard yang guna ukuran metrik, semua main agak-agak. Bawah ini saya dah kirakan bahan-bahan yang digunakan. 

*Nota penting: Guna lengkuas lebih, santan pun kena lebihkan. 



Ayam Masak Lengkuas
Sumber: Hajjah Timah

Bahan-bahan
1 ekor ayam tua / kampung - potong 16
1.5kg santan
500gm lengkuas - racik halus atau blender (buang jusnya)
15 biji bawang merah*
10 biji bawang putih*
6 batang serai*
3 batang serai - ketuk
2 inc. halia*
2 biji bawang holland - belah 4
5 biji bawang merah - hiris
2 sudu makan serbuk lada putih
1 sudu makan serbuk kunyit
Air asam jawa
Garam
Serbuk perasa


Cara Penyediaannya 
*  Gaul ayam bersama serbuk kunyit, asam jawa dan serbuk lada putih.
*  Blender halus bahan bertanda '*'.  Masukkan serai yang diketuk, tumis hingga naik bau.
*  Masukkan santan, bawang holland, bawang merah dan lengkuas, masak lagi hingga santan sedikit pekat.
*  Jika menggunakan ayam pencen atau ayam kampung, boleh masukkan sekali bersama santan.
*  Sekiranya guna ayam daging, masukkan kemudian ketika santan dan lengkuas telah pekat, ini untuk mengelakkan ayam menjadi hancur.
*  Masak menggunakan api sederhana dan perlu sentiasa di kacau.
*  Untuk tahan lama, masak hingga kering dan  lengkuasnya menjadi seredak.
* Masak lengkuas akan mengeluarkan minyak lebihan apabila kita memasak hingga kering, toskan minyak lebihan jika tidak suka.
*  Hidangkan bersama burasak, tumbuk, ketupat atau lemang. 



Takde gambar yang proper untuk ayam masak lengkuas kali ini, sebab belum masak tetamu dah sampai dan yang memasak pun dah tak sabar nak makan.  Makan bersama burusak (gambar bawah) yang tak semengah sikit cara ikatannya.  Dapat makanan tradisi baru lah ada mood raya kan.

Wassalam.

Thursday, 29 June 2017

Kueh Pejja-Pejja


Assalam..
Sejak dua menjak sukanya nak makan benda yang dah lama tak dijamah atau memang takde dijual kat mana-mana.  Menu yang dihidankan oleh nenek-nenek kita ketika zaman kanak-kanak dahulu.  Saya tak tahu kalau ada nama lain untuk kuih ini, mungkin tempat lain diberi nama lain.  Kuih simple dan gunakan bahan asas selalu dihidangkan untuk minuman petang oleh arwah nenek saya dulu.  



Pernah terdengar makcik-makcik laser di kampung cakap kalau nak tahu anak dara tu boleh buat kerja dapur, uji jer dengan buat kuih ini.  Kalau tak tahu juga tahu lah betapa s******* anak dara tu.  Itu mungkin KPI yang boleh digunapakai untuk anak dara zaman dahulu, sekarang zaman dah lain.


Tiada ukuran spesifik untuk bahan, semua main agak-agak saja.  Pesan nenek kalau adunan keras, tambah air.  Jika lembut tambah tepung.  Jomlah main air dan tepung.


Kueh Pejja-Pejja
Sumber: Mulia

Bahan-bahan
Tepung pulut
Sedikit garam
Sedikit pewarna
Air
Daun pandan
Kelapa parut putih
Gula pasir


Cara Penyediaannya 
*  Jerang air bersama simpulan daun pandan.
*  Campurkan tepung pulut dengan sedikit garam dan pewarna.  Masukkan air sedikit demi sedikit, gaul hingga menjadi adunan yang boleh dibentuk.
*  Ambil sedikit adunan bulat-bulatkan dan tekan menjadi sedikit nipis pada tengahnya.
*  Masukkan ke dalam air mendidih dan jerang hingga kueh terapung.
*  Campurkan kelapa parut dengan gula pasir dan sedikit garam.
* Angkat dan toskan kueh sebelum gaulkan dengan kelapa parut. 
*  Hidangkan.


Ada yang rajin buat dengan pelbagai warna dan mereka beri nama sebagai puteri salju.
Wassalam.

Kek Ketan Hitam @ Kek Pulut Hitam.

Assalam...
Sudah lama teringin nak makan kek ketan hitam hitam (kek pulut hitam) ini sejak pernah makan di rumah kenduri dulu-dulu.  Resepi dari seberang pemberian kakak sepupu pun dah ada, tapi macam renyah je nak siapakan adunan santan dan menyediakan tepung pulut hitam.  Bila terjumpa tepung pulut hitam ada dijual di tesco, terus beli dan simpan stok.  Sehingga terjumpa resepi yang lebih mudah guna majerin menggantikan santan.  Resepi yang saya guna ini pun guna kaedah kukus tapi tetapi saya bakar.  Boleh pilih nak kaedah kukus atau bakar begitu juga dengan ramuan yang digunakan terdapat pelbagai versi dalam penggunaan ramuan.


Kek Ketan Hitam @ Kek Pulut Hitam
Sumber: IG


Bahan A
6 biji telur
150gm gula halus
1/4 sudu teh garam
1sudu teh baking powder
1sudu teh ovelet (sp)

Bahan B
250gm tepung ketan hitam (tepung pulut hitam)

Bahan C
200gm majerin dicairkan (boleh campurkan 150gm majerin 50gm butter)
60gm susu pekat manis


Cara Penyediaannya
* Pukul bahan A dengan kelajuan tinggi hingga kembang (10-15 minit).
* Turunkan speed, masukkan tepung sedikit demi sedikit hingga adunan bercampur rata.  Matikan mixer.
*  Masukkan majerin cair sedikit demi sedikit, kacau menggunakan spatula dengan teknik kaup balik.  Akhir sekali masukkan susu pekat.

* Bakar dengan suhu 160'c selama 40 minit (bergantung kepada oven)
* Kek ini boleh juga di kukus, tapi pastikan kukusan dipanaskan terlebih dahulu hingga mengeluarkan wap.  Kukus selama 30-40 minit.


Tak sabar nak tunggu kek sejuk dan lihat bagaimana hasilnya.  Walaupun bantat sedikit sebab terlupa letak baking powder dan mixer beronar, tetapi rasanya tetap sedap. Sambil potong susun kat pinggan sambil masuk mulut.  Rasa kek pulut hitam yang dibakar dengan versi kukus tetap ada kelainanya.  Versi bakar lebih wangi dan sedikit kering manakala versi kukus lebih moist dan rich.
Wassalam.

Wednesday, 29 March 2017

Sambal Kulat Sisik Dengan Kacang Panjang


Assalam...
Kalau orang kampung kenal lah apa itu kulat sisik atau cendawan kukur.  Cendawan yang tak tumbuh pada tanah tapi melekat pada batang pokok atau kayu mati.  Batang kayu getah mati tempat febret dia nak hidup, lagi-lagi kalau lepas hujan.  Petik cendawan ini memang kena sabar sebab saiznya yang kecil dan liat, tapi bila dah diolah menjadi lauk sedapnya alahai.  Kulat sisik boleh disimpan lama dalam keadaan kering, bila nak masak hanya perlu rendamkan dalam air sejuk.  Kulat sisik kering ini pemberian Mak Itam ketika balik kampung hari tu.  


Kebiasaan buat sambal kulat sisik ini berkuah, tapi kali ini nak buat yang jenis kering.  Resepi orang kampung main agak-gak saja tiada ukuran metrik.

 
Sambal Kulat Sisik
Sumber: Mulia

Bahan-bahan
Kulat sisik - bersihkan dan rendam 
Ikan bilis - goreng dan tumbuk
Kacang panjang
Kunyit hidup - tumbuk
Cili padi - tumbuk
Cili merah - hiris
Serai - titik
Bawang merah - hiris
Bawang putih - hiris
Minyak untuk menumis
Sedikit santan
Air
garam, gula
 

Cara Penyediaannya
* Tumiskan bawang hingga layu, masukkan bahan tumbuk dan serai.  Tumis hingga naik bau.
*  Masukkan kulat sisik.  Tambahkan air, santan dan ikan bilis tumbuk.
* Masukkan kacang panjang dan cili merah masak hingga layu.
* Perasakan dengan garam dan gula.
* Jika suka berkuah lebihkan air.
 


Note - 
Kulat sisik kena bersihkan betul-betul, rendam dengan air garam.  
Potong pangkal sekiranya ada kulit-kulit kayu mati.
Wassalam.

Sunday, 26 March 2017

Lempeng Pisang


Assalam...
Pengakhiran hikayat cerita pisang.  Mula-mula buat pisang goreng beberapa kali hingga pisang tu dah tak boleh digoreng (dah masak sangat, tak suka makan pisang goreng benyek) kena selamatkan jangan sampai masuk tong sampah.  Kupas dan letak dalam peti sejuk.  Buat cekodok dah berulang kali, tapi masih berbaki.


Kebetulan pergi jaya jumpa daun pisang, terus teringat lepat pisang.  Jumpa tu terus beli, hasilnya nak jadi apa selalu tak sama dengan niat masa membeli.  Then betul daun pisang tu hanya mampu jadi pelapik lempeng saja.  Ikut resam mak dah mati akal (bahasa barunya sel-sel otak tak berhubung) nak buat apa dengan stok pisang masak, kita buatlah lempeng.  Mudah dan senang, jadilah menu kampungku ini.


Lempeng Pisang
Sumber: Hajah Timah

Bahan-bahan
Pisang masak - lenyek bagi halus
1 biji telur (optional)
Tepung gandum
Kelapa parut (guna kelapa muda tapi saya tak letak)
Gula pasir
Garam
Daun pisang untuk melapik lempeng


Cara Penyediaannya
* Campur semua bahan (ukuran main agak-agak saja), gaul sebati hingga dapat adaunan seperti nak buat cekodok. 
* Tepek adunan ke atas daun pisang yang diletak sebagai alas fan atau kuali.  Tutupi adunan dengan sehelai lagi daun pisang di atas doh.
* Grill guna api slow hingga masak.  Balik-balikkan lempeng bersama daun pisang agar lemepeng masak sekata.  
* Boleh dihidang ketika panas sebagai sarapan atau minum petang.


Buat hari itu dapatlah beberapa keping lempeng, rupa lebih kurang jer semua, ada hitam-hitam hangit tu.  Tapi luar biasa sambutannya, habis semua walaupun rupa paras lempeng tu tak lawa.
Wassalam.

Wednesday, 8 March 2017

Durian Crepe....


Assalam...
Ini kejadian ketika musim durian yang lepas, tak ingat dah musim yang bila.  Dapat stock durian kampung dari Pahang, separuh bekukan dan separuh lagi buat inti untuk durian crepe.  Musim lepas tak berapa banyak durian kat kampung, sebab itu dapat nak buat tempoyak dan lempuk durian (durian cake).  Sekadar untuk makan tu puas jugak lah sebab beberapa kali balik dapat buah yang elok.  Saya tak berapa tahu pasal durian tahu makan saja, suka yang rasa lemak-lemak, pahit dan isi tebal.  Kalau jenis D24 tu sangat sedap dah bagi saya.



Sudah lama menyimpan resepi dan hasrat nak cuba buat sendiri durian crepe ini.  Resepi yang simpan awal pun dah tak tahu ke mana, ini follow guna resepi dari seminit resepi, tengok video dari youtube.  Banyak video kat youtube tu pilih lah mana suka dan senang.




Durian Crepe
Sumber: Seminit Resepi

Bahan-bahan untuk Crepe
210ml air
3/4 cawan susu cair
210ml minyak sayur
1 biji telur
1 sudu makan tepung kastad
1 sudu makan tepung jagung*
1 sudu makan tepung ubi*
5 sudu makan tepung gandum*
Esen vanilla
Pewarna kuning


Cara Penyediaannya
*  Campur dan ayak semua tepung yang bertanda "*"
*  Campurkan susu, air, telur, minyak dan kastard powder.  Kacau hingga sebati.
*  Masukkan tepung yang telah diayak.  Kacau sebati.  Masukkan esen vanilla dan pewarna.
*  Tapis batter.
*  Lengserkan sedikit minyak pada kuali atau guna kuali non stick.
*  Tuang batter kedalam kuali dan ratakan.
*  Masak atas api sederhana hingga keliling crepe lekang daripada kuali.
*  Letakkan inti di bahagian tengah crepe.  Ini crepe dielang-selikan dengan cream dan isi durian.
*  Lipat kemas hujung crepe bahagian depan, belakang dan bahagian kiri dan kanan.
* Siap untuk dihidangkan.  Simpan crepe dalam chiller jika nak makan kemudian. 





Bahan Untuk Inti Durian 
1 cawan susu
1 sudu makan gula kastor
1 sudu makan tepung kastad
Isi durian (durian flesh) - kuantiti ikut suka

Cara Penyediaannya
* Campurkan susu, gula dan tepung kastad.  Kacau rata hingga tepung sebati dan tidak berketul
*  Masak dengan api sederhana hingga kental
* Masukkan isi durian dan kacau sebati.  Masak seketika dan tutup api.
*  Sejukkan inti sebelum digunakan.




Bahan Cream Filling
1 cawan whipping cream

* Pukul hingga cream kental.  Tapi jangan pukul terlalu lama, cream akan mencair balik.
* Masukkan dalam pipping bag, paipkan ke atas crepe bahagian tengah.
* Letak inti durian atas cream dan paipkan satu lapisan cream lagi di atas inti durian.
* Lipat crepe kemas menjadi segi empat.


Note:
* Tuang batter ke dalam fan yang tidak terlalu panas untuk dapatkan crepe yang licin.  Kalau terpanas, crepe jadi macam kulit ketayap, berlekuk-lekuk.  Lekuk tu nanti jadi lubang dan cream / inti meleleh keluar.
* Buat crepe senipis yang boleh.  Jika kulit crepe tebal, tak sedap rasa tepung dan susah nak lipat kemas.
* Sebaiknya guna fan yang saiz kecil, diameter 5 inc.  
* Nak sedap lagi, pilih isi durian paling sedap untuk dibuat inti, jenis musang king, D24 atau XoXo.
Wassalam.

Tuesday, 7 March 2017

Memori Kek Coklat...


Assalam...
Nostalgia, memang nostalgia kek coklat ini, suatu ketika dulu, ketika baru muncul kek ini, belum zaman wassapp sana sini orang bercakap kita pun nak cuba buat.  Masa tu email dan sms lah medan orang nak sebarkan berita.  Sesekali boleh lah rujuk di photopages sebab blog tak berapa masyur lagi.  Resepi jangan cakap lah, memang pelbagai versi yang muncul.  Kadang jemu juga sebab pergi mana-mana majlis mesti kek coklat ini yang dihidangkan, dari majlis jamuan tadika hingga majlis menyambut menteri. Kek coklat hitam legam dan lembab ini lah yang menjadi pujaan hati semua orang. 


Macam-macam versi resepi yang mereka kongsikan, namun paling suka dengan resepi yang Henny (orang Kulim) kongsikan melalui Norazimah (Azie).  Sebelum itu Azie ada kongsikan resepi kek coklat yang ibu saudara dia guna untuk jualan di Sungai Petani,  tapi macam agak leceh sikit.  Guna resepi Henny ini memang senang sangat nak buatnya semudah ABC.


Kenal Henny melalui rakan serumah sama tempat kerja dengan dia, dia buat kek dan letak di gerai orang yang berjualan di hadapan taman perumahan.  Sesekali kami beli juga dan memang sedap.  Tak sangka pula dia sudi nak kongsikan resepi kek coklat dia tu.


Selepas kahwin Henny pindah mengikut suami entah ke mana.  Tak dapatlah lagi nak beli kek coklat dia.  Rakan serumah yang lain pun minta kita cuba buat, Alhamdulillah menjadi.  Bermula dari situlah oven yang keluar setahun sekali bekerja setiap hari untuk membakar kek coklat. 


Nak jadikan cerita lagi, seorang rakan (liza) serumah tu rajin pula nak cari pasaran di dalam kampus USM.  Dia bawa ke kelas dan cafesiswa gemilang cahaya setiap pagi sebelum masuk ke dewan kuliah.  Agak lama juga membuat kek coklat ini sehingga seorang demi seorang berhijrah keluar membawa haluan masing-masing.  Kita pun dah sibuk dengan kerja baru, dah tak cukup tenaga balik kerja nak mengadun kek coklat.


Saya kongsikan di sini, resepinya.
 

Kek Coklat
Sumber: Henny

Bahan bahan
2 biji telur
1 cawan susu cair
1 cawan air panas mendidih
2/3 cawan minyak sayuran
2 cawan gula pasir
2 cawan tepung gandum*
1 cawan serbuk koko*
1 sudu teh baking powder*
1 sudu teh soda bikarbonat*
1 sudu teh esen vanilla


Cara penyediaannya.
* Sediakan loyang 8x8, gris dengan majerin dan lapik dengan baking paper.  Panaskan ketuhar.
* Campurkan bahan bertanda "*" dan ayak bersama.
* Campurkan bahan ayak dengan gula, gaul rata
*  Dalam mangkuk yang berasingan, pukul telur hingga ringan dan masukkan ke dalam bahan tepung tadi.  Gaul rata.
* Masukkan esen vanilla, susu cair dan gaul rata.
* Masukkan minyak sayuran, kacau hingga betul-betul sebati.
*  Akhir sekali masukkan air panas mendidih ke dalam adunan.  Gaul cepat-cepat hingga sebati.
*  Tuang ke dalam loyang dan bakar dengan suhu 180'C selama 45 minit.


Sekarang kalau buat kek ini, mesti teringat kenangan lama, kenangan dengan rakan-rakan serumah dulu.  Kenangan yang tak mungkin dilupakan.  Tak sangka dulu pernah jual kek, macam tak caya.  Kini jarak pemisah tu tak jauh mana, tapi susahnya nak jumpa sebab masing-masing sibuk dengan urusan sendiri.    
Wassalam.

Tuesday, 22 November 2016

Kuih Nona Manis


Assalam...
Kuih yang boleh dianggap sebagai fenomena juga dikalangan tukang-tukang masak dan suri rumah sekarang di negara ini.  Asal usul kuih ini tak dapat saya nak pastikan jadi jangan tanya ada yang kata kuih ini asal dari kelantan, ada yang kata kuih asal dari Indonesia.  Karang bagi fakta yang salah dan orang percaya itu dah kira menipu.  Sila rujuk dengan sejarawan kuih ye (ada ker individu tersebut).  Saya sebenarnya ada menyimpan resepi kuih nona manis (yang kadang kala mereka panggil kuih cantik manis) sejak dari tahun 1998 lagi lama kan peram resepi.  Bila dah viral baru keluarkan dari peti besi.  Resepi pemberian dari ibu saudara di Indonesia (Petta Jume'), ketika itu saya sendiri sempat saksikan cara penyediaan kuih nona manis yang mereka sediakan untuk satu majlis keramaian.  Dulu memang minat kumpul dan simpan resepi  (sebelum zaman internet) masaknya jer tidak, salin dari majalah, tv, radio ataupun ambil daripada tukang-tukang masak di kampung.  Tetapi sebab tak diamalkan jadi tak berkembang ilmunya.    


Sukatan resepi yang digunakan dalam kuantiti yang banyak, jadi kalau nak sediakan untuk ahli keluarga yang kecil, kena kurangkan sukatan.
 

Nona Manis (Cantik Manis)
Sumber: Petta Jume'

Bahan - A
5 mangkuk tepung gandum
5 mangkuk santan
pewarna hijau / pati daun pandan
4 biji telur
2 mangkuk gula pasir

Cara penyediaanya
*  Bahan A - pukul telur dan gula hingga kembang.
*  Campurkan santan dengan pewarna hijau atau pati daun pandan hingga dapat warna hijau yang diingini.
*  Masukkan tepung ke dalam telur tadi dan kacau rata.
*  Masukkan santan dan gaul rata.


Bahan - B
1/2 mangkuk tepung jagung
4 mangkuk santan
pewarna hijau / air pati
1/4 mangkuk gula
sedikit garam

Cara penyediaanya
*  Bahan B - Campurkan tepung jagung, santan, gula dan garam, gaul hingga rata sehingga tiada tepung yang berketul.
*  Masak di atas api sederhana sambil terus dikacau.
*  Masak hingga pekat, berkilat dan meletup-letup.
*  Tutup api.


Bahan - C
2 sudu besar tepung gandum
2 mangkuk santan pekat
1 sudu garam

Cara penyediaanya
* Bahan C - Campurkan semua bahan dan kacau rata hingga tepung sebati dengan santan.
*  Masak atas api sederhana sambil terus di kacau.
*  Masak hingga adunan tepung kental dan meletup-letup.



Cara Penyediaan Keseluruhan

* Sediakan periuk kukusan.  Acuan oles dengan minyak.
*  Campurkan olahan bahan B ke dalam olahan bahan A.  Gaul rata atau guna mixer / blend untuk sebatikan adunan.
*  Sendukkan adunan ke dalam acuan hingga 3/4 penuh.
*  Sendukkan / paipkan adunan putih (bahan C) ke atas adunan hijau tadi.
*  Susun dalam kukusan dan kukus hingga masak (lebih kurang 10 ke 15 minit).
*  Bungkus penutup kukusan dengan kain bersih untuk mengelakkan air kukusan menitis ke atas kuih.
*  Angkat dan sejukkan kuih sebelum mengeluarkan daripada acuan.
* Boleh letakkan acuan kuih dalam dulang yang berisi air sejuk untuk mempercepatkan proses penyejukkan.
*  Dah sejuk boleh keluarkan daripada acuan dan hidangkan.


Kena dapatkan tips macamana nak buat warna putih tu cantik terletak si atas warna hijau.  Sebab ini titikan guna sudu saja, tu yang tak sama rata ada besar dan kecil titikannya itu.  Katanya ada yang guna piping beg atau botol sos ya.  Huduh sungguh hasil percubaan pertama, bukan itu saja mereka yang makan kata kurang lemak dan kurang manis.  Nasib tak patah semangat untuk mencuba lagi.


Yang paling win apabila resepi dah sampai kepada mereka yang lebih kreatif.  Maka terhasilnya banyak versi kuih nona manis yang mana asalnya hanya rasa pandan dan berwarna hijau, sekarang dah ada versi durian, kacang merah, jagung, keladi, coklat dengan pelbagai warna.  As long ianya boleh diterima ramai oleh tekak si pemakan tiada salahnya, itulah yang dikatakan revolusi sesuatu menu dan resepi.
Wassalam.

Sunday, 13 November 2016

Kerabu Mangga


Assalam...
Cerita my cucu yang bawa mangga muda datang rumah hari itu, pada saya amat masam bila hendak di makan begitu saja.  Tak tahu lah sejak dua menjak ini ini tak boleh terima masam yang terlampau, salah satu nikmat dah kena tarik agaknya.  My cucu cakap sedap tak masam, en.Abe pun boleh layan makan mangga tu dengan serbuk asam masin tu.  Hasrat nak buat jeruk mangga asam boi terpaksa dilupakan, sebab nak juga merasa mangga muda, ambil lah 2 biji untuk buat kerabu dengan harapan kuranglah rasa masamnya.


Sebagai penambah lauk makan tengahari kami hari ahad tu.  Ikut petua emak sangat, buatlah apa-apa sambal untuk memenuhkan dulang hidangan.  Menjadilah seperti di bawah ini, lauk penuh satu dulang bukan satu meja ya.  Sebab tetap masam mangga tu, saya pilih makan cili, ikan bilis dan udang kering, mangga tu ambil sikit sahaja.



Kerabu Mangga (Lawak Pao)
Sumber: Mulia


Bahan-bahan
Mangga muda
Udang kering
Ikan bilis
Cili padi
Sedikit garam


Cara Penyediaannya
* Mangga cincang atau guna peeler khas untuk meracik buah.  
*  Jika guna buah mangga jenis yang berair banyak, perah dan buangkan jusnya untuk mengurangkan rasa masam.
* Goreng ikan bilis dan udang kering.
* Campurkan semua bahan dan gaul rata.

Selamat mencuba.
Wassalam.

Saturday, 12 November 2016

Lemak Cili Padi Telur Itik Dengan Kacang Buncis


Assalam... 
Dapat hadiah telur itik 6 biji dari rumah kenduri hari tu, nak buat telur masin macam sikit sangat nak mengolahnya.  Lama juga peram dalam peti ais, nak buat kuih pula lebih suka guna telur ayam.  Sebelum ianya rosak sebab di pindah-pindah beberapa kali, baik kita masak lemak cili padi.  Selalu kalau masak begini, telurnya tak menjadi bulat, akan pecah dan tak cantik.  Itu gara-gara sikap tak penyabor nak kacau.



Lemak Cili Padi Telur Itik Dengan kacang Buncis
Sumber: Mulia


Bahan-bahan
4 biji telur itik
10 batang kacang buncis
1 kotak kecil santan
3 cawan air
20 biji cili padi*
Kunyit hidup*
2 biji bawang merah*
4 biji bawang putih*
1/2 inc halia*
asam keping
Garam dan serbuk perasa


Cara Penyediaannya
* Tumbuk lumat bahan bertanda "*"
* Campurkan santan dengan air dalam periuk.  Masukkan bahan tumbuk dan asam keping, didihkan dengan api sederhana.
* Pecahkan telur dalam mangkuk atau pinggan sebiji.
* Tuangkan telur yang dalam mangkuk ke dalam kuah santan perlahan-lahan.  Pecahkan ke dalam mangkuk sebiji dan tuang ke dalam kuah demi sebiji sehingga habis.
* Biar mendidih perlahan dan jangan kacau hingga kuning telur keras.
*  Masukkan garam dan serbuk perasa.  Masukkan kacang buncis.
* Didihkan sekejap dan sesuaikan rasa. Tutup api.
* Sebaiknya kacang buncis dimasak sekejap sahaja dan tidak sampai layu. 


Note - berjaya bersabar dan tidak mengacau sampai telur pecah.  Next time nak cuba try test guna telur masin pula.
Wassalam.

AYAM SAMBAL TOMATO DAUN SELASIH


Assalam...
Jenis sambal ini selalu buat untuk ikan, tapi hari itu buat untuk ayam pula.  Suka buat sambal guna cili hidup berbanding cili kering atau cili boh. Kebetulan daun selasih ada stock, beli sebab nak masak menu lain, tapi tak termasak-masak, jadi daripada layu tak terguna, kita masukkan dalam sambal ayam.  Lepas chef rasa dan dia kata ok, kembang setaman dalam hati, lepaslah piawai untuk kenyangkan perut sendiri.
 



Ayam Sambal Tomato Daun Selasih
Sumber: Mulia

Bahan-bahan
1/2 ekor ayam potong kecil
- perap dengan garam kunyit
3 tangkai daun selasih
2 biji tomato*
3 biji cili merah*
15 biji cili padi*
2 biji buah keras*
2 inci belacan*
2 biji bawang merah*
1 labu bawang putih*
2 biji bawang besar - hiris
garam secukupnya
2 cawan air
minyak untuk menggoreng



Cara Penyediaannya
* Goreng ayam hingga masak tetapi jangan garing.
* Blend bahan bertanda "*".
* Panaskan minyak dan tumis bahan blender hingga wangi atau naik minyak.
* Masukkan garam, bawang hiris dan ayam yang telah digoreng terlebih dahulu.  Tambah sedikit air dan kacau sebati.
*  Masak hingga kuah pekat dan tutup api.
*  Masukkan daun selasih dan hidangkan.

note- boleh tukar guna daun kemangi.

Wassalam.

Wednesday, 2 November 2016

Mee Kari Ala Che Abe...


Assalam...
Badan lesu kurang bermaya balik kerja, tiba-tiba dapat booster energy bila nampak makanan penuh meja sudah terhidang.  Tambahan bonus lagi bila menu itu adalah makanan kegemaran.  Oh ini sudah bagus, tinggal basuh tangan tarik kerusi dan makan saja.  Jangan lupa baca bismillah.



Sesekali buat kejutan begini kan best.  Mudah sangat cair kan, belanja makan sikit mood happy gila.  Tak perlu belanja mahal-mahal pun senyum sampai ke telinga kita.  Lagi satu legah sebab hari itu kita tak perlu masuk dapur.  Selesai makan tambahan mangkuk kedua, makanan tu masih berbaki banyak lagi.  Risau macamana nak menghabiskannya, rupa-rupanya en.Abe dah plan  nak agih-agihkan kepada adik-beradik yang di PJ, TTDI dan Klang.  Alhamdulillah sesekali dapat merasa dia masak dan lepas makan kita ronda-ronda hantar mee kari.
 



Mee Kari Ala Che Abe
Sumber: Nasa


Bahan-bahan
Mee kuning / bihun / koay teow (celur bila gunakan bihun, sementara untuk koay teow dan mee, basuh)
Sawi - potong dan celur
Telur rebus
Tahu - goreng dan hiris
Fish ball
Fish cake - hiris
Isi ayam / daging - rebus dan hiris nipis
Taugeh
Cili merah - hiris
Daun bawang - hiris
Daun sup - hiris
Bawang goreng
 

Bahan-bahan untuk Kuah
Serbuk kari ayam
Tulang ayam
Taupok
Daun kari
Bawang putih*
Bawang merah*
Serai*
Sedikit lengkuas*
Sedikit halia*
Udang kering*
Santan
Air secukupnya
Minyak untuk menumis
Garam dan perasa






Cara Penyediaannya
* Blend halus bahan bertanda "*" untuk kuah.
* Panaskan minyak dan tumis bahan blend hingga wangi.  Masukkan serbuk kari dan tumis hingga rempah naik minyak.
*  Masukkan air, tulang ayam dan daun kari, rebus hingga empuk.
*  Tambahkan tau pok, santan dan garam, didihkan seketika.
*  Sesuaikan rasa kuah dan tambahkan dengan serbuk perasa kegemaran.
*  Sendukkan mee, dan bahan-bahan pelengkap lainnya ke dalam mangkuk.  Kemudian tuangkan kuah ke atas mee tadi.




Tiada alasan untuk tidak mencuba mee kari ini, tak nak mee kuning, makan dengan koay teow, tak suka koay teow boleh makan bihun pula.  Nak campur ketiga-tiganya sekali pun boleh.



Alhamdulillah, licin pinggan saya makan.  Lain kali masak lagi ye Abe.
Wassalam.